maghrib

Dulu, ayah ibu saya cukup tegas dengan waktu pulang ke rumah selepas bermain. Jika saya pulang selepas azan Maghrib berkumandang, pasti rotan akan hinggap di tangan. Ibu saya terutamanya, cukup tegas dalam memastikan anak-anaknya pulang ke rumah sebelum waktu Maghrib.

Saya pasti, ramai yang punya pengalaman serupa dengan saya. Biasa saya dengar dari rakan-rakan yang membesar di kampung, waktu Maghrib adalah waktu pantang bagi anak-anak keluar rumah.

Bahkan ada juga saya dengar yang menakut-nakutkan anak dengan mengatakan bahawa waktu itu ‘hantu’ banyak berkeliaran dan nanti diculik oleh jin.

Sebelum saya mengenal hadis-hadis nabi, saya memikirkan bahawa larangan untuk keluar malam, terutamanya pada waktu Maghrib adalah hanya satu budaya masyarakat Melayu sahaja.

Akan tetapi, perkara ini sebenarnya telah disebut oleh baginda Nabi SAW dan dijadikan budaya dalam masyarakat kita.

Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila gelap malam mulai merangkak, maka hendaklah kamu melindungi anak-anak kamu. Ini kerana sesungguhnya pada saat itu syaitan-syaitan telah bertebaran.

Apabila waktu Isya’ telah berlalu, maka simpanlah atau lindungi mereka dan tutuplah pintumu seraya menyebut nama Allah.

Padamkanlah lampu-lampumu seraya menyebut nama Allah, tutuplah bekas-bekas airmu seraya menyebut nama Allah dan tutuplah bejanamu meskipun dengan sebatang kayu.”

Hadis sahih. (Silsilah As Sahihah, no 40)

Dalam riwayat lain disebut:

“Hendaklah kamu melindungi anak-anak kamu menjelang Maghrib kerana pada saat itu bangsa jin menyebar dan menyambar.”

Dari hadis ini, ada banyak pelajaran yang boleh kita ambil seperti menutup tingkap dan pintu rumah dengan membaca Bismillah, menutup bekas-bekas air dan waktu utama syaitan dan jin keluar bertebaran.

Kanak Kanak Terdedah Kepada Gangguan Jin Dan Syaitan

Dalam aspek pendidikan dan keselamatan anak-anak, hadis ini memberi panduan kepada ibu bapa agar memastikan anak-anak kembali ke rumah sebelum masuk waktu Maghrib. Displin ini perlu dijadikan rutin utama dalam keluarga kerana ancaman jin dan syaitan kepada anak-anak terlalu besar untuk kita abaikan.

Anak Menangis

Pernah satu ketika, anak saya menangis tanpa henti dengan keadaan yang cukup pelik sepanjang malam walaupun telah selesai segala urusannya kerana saya membawanya keluar pada waktu Maghrib. Selepas berlaku peristiwa itu, saya serik dan memastikan sebelum azan, anak-anak mesti berada di rumah atau di tempat yang selamat.

Ancaman Kepada Bahaya

Tambah-tambah zaman sekarang di mana anak-anak terdedah kepada pelbagai bahaya di luar pada waktu malam yang sumbernya juga banyak datang dari jin di kalangan manusia.

Biarlah digelar kolot atau konservatif sekalipun, asalkan anak-anak kita selamat dari gangguan jin dan syaitan.

Penulis: Hisham Sharif

Merupakan hamba, anak, ayah dan seorang suami. Merupakan penulis "Suami Bukan Malaikat Isteri Bukan Bidadari"," 43 Inspirasi Mendidik Anak" dan "Begini, Sayang". Beliau boleh dihubungi di websitenya

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.