Makanan yang seimbang ialah diet makanan yang mengandungi semua nutrien yang diperlukan bagi seseorang menjalani urusan seharian dan membesar. Namun, setiap orang mempunyai keperluan makanan yang tertentu, contohnya mengikut peringkat umur.

Oleh itu, artikel ini akan mengupas mengenai kepentingan makanan seimbang mengikut peringkat umur dan jenis makanan seimbang yang sesuai bagi setiap daripada mereka. Olahan artikel ini adalah berdasarkan penerbitan kajian saintifik lepas.

Kepentingan Makanan Seimbang Bayi Berusia 0-6 Bulan

Imej via Bidadari

Pada peringkat umur ini, susu ibu merupakan makanan semula jadi yang terbaik buat bayi. Susu ibu adalah selamat, tidak perlu mengeluarkan kos dan menyediakan pelbagai nutrisi yang diperlukan oleh bayi bagi tempoh 6 bulan pertama dalam hidup mereka.

Antara kepentingan utama susu ibu kepada bayi ialah meningkatkan ketahanan bayi terhadap penyakit kerana si ibu menurunkan faktor imun kepada si anak melalui susu tersebut. Selain itu, bayi pada usia ini selesa dengan susu yang diberikan ini sahaja sambil menyediakan dan mematangkan sistem penghadaman mereka sebelum boleh menjamah makanan selain susu ibu.

Kolostrum merupakan susu ibu yang terhasil pada detik anak mula dilahirkan. Kandungan vitamin A dan bahan antioksidan yang lain membantu melindungi bayi yang baru lahir ini daripada serangan penyakit dan jangkitan kuman. Di samping itu, susu ibu didapati lengkap dengan amaun protein, lemak, karbohidrat dan nutrisi yang lain bagi perlindungan dan perkembangan si bayi.

Bagi si ibu yang kurang bernasib baik tidak mampu memberikan susu badan, masih terdapat cara untuk memberikan zat dan nutrisi yang secukupnya kepada anak yang baru lahir ini. Khidmat nasihat pakar perubatan boleh dirujuk untuk mencari pengganti susu badan. Kini, terdapat pelbagai susu formula di pasaran yang boleh dijadikan alternatif susu ibu.

Kepentingan Makanan Seimbang Bayi Berusia 6-24 Bulan

Imej via Bidadari

Susu ibu merupakan makanan asas yang penting bagi bayu tetapi semakin si bayi membesar, susu ibu tidak memadai untuk membekalkan nutrisinya untuk membesar. Namun, adalah disarankan supaya si bayi bergantung sepenuhnya kepada susu ibu sehingga sekurang-kurangnya berusia 18 bulan kerana sistem penghadaman dan sistem imun bayi yang masih belum matang.

Pemberian makanan secara kerap (4-5 kali sehari) kepada bayi yang sedang membesar ketika usia ini sebagai tambahan kepada susu badan adalah amat penting supaya mereka terus membesar dengan normal dan sihat.

Pada 12 bulan pertama kelahiran, berat bayi akan berganda sebanyak 3 kali dan menambah ketinggian sebanyak 50%. Penambahan kalori, protein dan zat besi beserta vitamin dan mineral yang lain adalah penting untuk memenuhi keperluan tumbesaran ini.

Makanan yang disediakan buat mereka hendaklah bersih, lembut, mudah ditelan dan dicerna serta berkhasiat. Antara cadangan makanan seimbang yang boleh diberikan ialah puri makanan daripada:

  • Buah-buahan
  • Sayur-sayuran
  • Legume
  • Produk haiwan

Apabila si bayi mula mengeluarkan gigi, makanan semi pepejal dan makanan pepejal boleh diberikan ke dalam diet mereka. Namun, penyediaan makanan ini perlulah tanpa menggunakan garam lagi kerana sistem penghadaman mereka pada usia ini masih belum boleh mencerna garam dengan baik.

Kepentingan Makanan Seimbang Kanak-kanak Berusia 2-10 Tahun

Imej via Bidadari

Di usia ini, kanak-kanak memerlukan makanan seimbang yang boleh membekalkan mereka tenaga dan nutrisi mencukupi. Namun, perut mereka masih bersaiz kecil dan tidak boleh mengambil makanan dalam kuantiti yang besar pada satu-satu masa.

Oleh itu, kanak-kanak pada usia ini perlu diberi makanan yang kaya protein dan nutrisi lain sekurang-kurangnya 3 kali sehari dengan 2-3 snek makanan ketika siang hari. Walaupun mereka sedang membesar, hakikatnya kadar pertumbuhan mereka adalah lebih perlahan jika dibandingkan dengan usia 12 bulan selepas kelahiran tadi.

Kanak-kanak tanpa mengira jantina memerlukan jumlah makanan yang sama ketika ini sehinggalah mereka mencecah akil baligh. Mereka juga memerlukan makanan seimbang kerana mereka sedang dalam fasa bersekolah yang memerlukan mereka memberikan perhatian dan memahami ilmu yang baru dipelajari.

Kepentingan Makanan Seimbang Remaja Berusia 11-17 Tahun

Imej via Bidadari

Waktu remaja merupakan waktu tumbesaran yang paling cepat dan menuntut keperluan nutrisi dan tenaga yang paling tinggi. Tempoh tumbesaran bagi perempuan bermula pada usia 10 atau 11 tahun, manakala lelaki bermula pada usia 12 atau 13 tahun dan berlanjutan selama 2 tahun setengah berikutnya.

Golongan remaja memerlukan nutrisi yang secukupnya untuk menempuh usia akil baligh, antaranya:

  • Makanan tinggi kalori untuk membekalkan tenaga
  • Vitamin A, C dan D
  • Zat besi terutamanya bagi remaja perempuan yang sudah mengalami kitar haid
  • Kasium untuk pembentukan tulang yang sedang membesar

Tempoh waktu ini juga adalah amat penting untuk melatih tabiat pemakanan remaja supaya dapat diteruskan corak pemakanan yang sihat sehingga dewasa.

Kepentingan Makanan Seimbang untuk Orang Tua

Imej via Bidadari

Diet makanan seimbang ketika usia lanjut bermula dewasa boleh meningkatkan kebolehan individu untuk kekal aktif dan sihat. Sesetengah orang yang berusia mula hilang selera makan terutamanya apabila mereka tidak mempunyai banyak aktiviti fizikal yang memerlukan mereka mendapatkan kalori dan nutrisi dari diet makanan. Namun, sistem tubuh masih memerlukan zat dan nutrisi tersebut supaya sistem tubuh kekal bertenaga.

Malah, vitamin D dan kalsium adalah sangat diperlukan bagi mengatasi isu kehilangan kalsium daripada tulang. Makanan kaya protein pula amat penting bagi membaiki tisu badan dan melawan jangkitan penyakit yang mudah menyerang golongan berusia. Pemilihan makanan perlulah dalam julat yang pelbagai seperti:

  • Bijirin
  • Buah
  • Sayuran
  • Legum
  • Produk tenusu

Kesimpulan

Keperluan makanan seimbang untuk kesihatan sebenarnya bergantung kepada peringkat umur masing-masing. Selain itu, jenis aktiviti seharian menentukan keperluan makanan yang mencukupi untuk tubuh. Ditambah dengan gaya hidup dan aktiviti fizikal yang tetap, amalan makanan seimbang ini boleh menjadikan tubuh kita terus sihat dan kekal bertenaga. Amalan hidup sihat ini perlu diterapkan kepada anak-anak yang masih kecil supaya mereka terbiasa dan jadikannya sebagai cara hidup.

Artikel menarik lain:

Rujukan

  • Buttriss, J. L. (2016). The Eatwell guide refreshed. (link)
  • Skerrett, P. J., & Willett, W. C. (2010). Essentials of healthy eating: a guide. Journal of midwifery & women’s health55(6), 492-501. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.