Pemakaian aksesori pada bahagian telinga ternyata boleh menambahkan seri kepada gaya penampilan seseorang itu. Tidak dapat dinafikan yang mengenakan subang atau anting-anting tampak cantik, tetapi perlu diingat bertindik melibatkan tanggungjawab yang besar khususnya dari segi penjagaan terutama sekali kepada kenak-kanak.

Lazimnya, ibu bapa akan menindik telinga anak mereka seawal usia mereka lagi. Namun begitu, ramai yang tidak tahu akan pelbagai risiko terhadap kesan tindikan ini. Jadi, bagaimana ingin mengelakkan kesan sampingan tindikan di telinga anak-anak?

Mari kami kongsikan info sebenar mengenai tips menjaga tindikan telinga anak-anak. Tips ini dikongsikan oleh Dr. Kamarul Ariffin. Beliau adalah seorang pegawai perubatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Beliau juga merupakan antara barisan doktor di sebalik Medikal Mythbusters Malaysia.

tindik telinga anak
Image via wanista.com

Kesan tidak menjaga tindikan telinga.

Ramai ibu-ibu yang membawa anak mereka untuk melakukan tindikan di cuping telinga sejak anak-anak itu kecil lagi. Jika ia dilakukan di klinik, biasanya doktor akan nasihatkan tentang penjagaan tindikan baru.

Antaranya, cucian luka, tanda-tanda jangkitan, dan tidak dibenarkan buka subang dalam jangka masa lama selagi belum melebihi 6 minggu dari hari tindikan. Ibu bapa lazimnya menjaga dengan baik sepanjang 6 minggu itu.

Namun selepas itu, ramai ibu bapa terlupa tentang penjagaan lubang tindikan pada anak masing-masing. Jika anak anda bertindik sejak awal usia (1-4 tahun), kalian harus jaga tindikan mereka dengan baik sehingga mereka mampu menjaganya sendiri.

1. Jangkitan pada tindikan agak mudah berlaku pada kanak-kanak. Ini kerana, mereka belum tahu menjaga kebersihan tubuh sendiri. Mereka juga kadang kala tidak pandai mengadu jika ada tanda jangkitan.

2. Kanak-kanak agak lasak, dan berisiko mencederakan cuping telinga kerana subang terkait pada baju, rambut, langsir, pokok atau apa jua di persekitaran mereka.

3. Kecederaan dan jangkitan yang terabai boleh menyebabkan keradangan pada lubang tindikan, dan menyebabkan komplikasi pada cuping telinga seperti:

– bernanah

– terbelah

– bengkak(berubah bentuk) 

– subang tertanam dalam cuping

Tips penjagaan tindikan di cuping telinga anak.

Oleh itu, ibu bapa yang mempunyai anak kecil yang bertindik disarankan agar mengamalkan perkara-perkara berikut:

1. Periksa cuping telinga anak anda setiap 2-4 minggu. Pastikan tidak sakit, merah, bengkak, berbau, kulit berubah warna atau bentuk.

2. Semasa periksa, buka subang. Bersihkan cuping telinga dengan sabun. Cuci subang dengan larutan yang sesuai. Keringkan sebelum pakai.

3. Digalakkan gunakan subang dengan material yang tidak menyebabkan alahan. Jika subang logam, emas paling kurang sebabkan alergi.

4. Elak memakai subang lebih sebulan tanpa membuka dan memeriksa. Ajar anak tentang kebersihan.

5. Jika ada tanda-tanda jangkitan atau kecederaan, bawa jumpa doktor dengan segera untuk mendapat rawatan yang bersesuaian.

*Ikuti tips seperti di atas, Insyaalah telinga anak tidak akan ada kesan sampingan selepas tindik telinga. Setiap ibu bapa ingin memberikan anak-anak mereka dengan pakaian dan aksesori yang cantik sebagai tanda kasih sayang mereka kepada anak-anak. Tetapi, perlu diingat keselamatan dan kesihatan juga perlu dijaga, ia juga tanda kasih sayang. Semoga tips ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.

Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel penuh di sini.

Penulis: aqirah

Seorang yang rajin dan gemar untuk kongsikan sesuatu yang bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.