Namun itu semua sememangnya sudah sering berlaku di dalam kehidupan yang sebenar. Terdetik di hati ini. Mengapa perlu bergaduh? Mengapa perlu berebut harta pusaka yang sememangnya bukan hasil tulang empat kerat sendiri?

sumber : Bersama Islam

Tak kasihankah pada roh ibu ayah yang memandang dengan penuh sedih dari sana? Ya Allah terasa sayu di hati andainya suatu masa kelak anak sendiri berbuat perkara yang sama. Kembali pada tajuk sebenar kita, panduan pengiraan pembahagian faraid ini sudah ada di dalam AlQuran.

Ya, pengiraan asas pembahagian faraid ada dinyatakan dalam al-Quran, iaitu ayat 11 dan 12 surah an-Nisa’. Mari kita renung dulu akan firman Allah S.W.T dalam ayat 11 yang terkandung di dalam surah an-Nisa’ ini.

Sumber : Cahaya Islam

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati.

Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak.

Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.

(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu.

(Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

sumber : Hibah Harta

Jelas nyata terang lagi bersuluh yang Allah SWT sendiri telah sampaikan bagaimana pentingnya untuk dibahagikan harta pusaka yang ada mengikut landasan Islam demi untuk mengelakkan daripada berlakunya perpecahan dalam keluarga. Itulah Islam. Segalanya ada di dalam AlQuran yang menjadi panduan gaya hidup masyarakat muslim.

Nak tahu bagaimanakah sebenarnya jumlah penentuan dan garis panduan pembahagian faraid ini? Di sini disertakan serba sedikit info untuk bacaan anda di sana. Semoga dengan adanya perkongsian ini dapatlah memberi gambaran yang lebih jelas mengenai isu faraid ini.

Apakah Maksud Faraid?

Perkataan faraid itu sendiri membawa maksud KETETAPAN yakni garis panduan yang telah ditetapkan untuk diikuti dengan baik. Dan mengikut istilah dalam hukum Syarak, Faraid adalah proses pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Muslim.

Siapakah Waris Yang Sah Boleh Menerima Faraid?

Faraid ditetapkan di bawah hukum syarak ke atas waris yang sah dan layak seperti:

  • Anak,
  • Isteri,
  • Suami,
  • Ibu bapa, dan lain-lain.

Apakah bentuk atau jenis harta yang perlu dibahagikan dalam bentuk faraid ini?

Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara Faraid adalah:

  • Tanah, bangunan (rumah, kilang, gudang, dan lain-lain),
  • Barang kemas (emas, perak, dan lain-lain),
  • Insuran, saham, bon, tunai (sama ada dilabur atau tak),
  • Tanah, kebun, ladang, dan lain-lain,
  • Binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau, dan lain-lain.

Apakah harta yang ditinggalkan si mati boleh terus dibahagikan serta merta?

Harta yang akan dibahagikan kepada waris adalah baki harta yang ada selepas tolak:

  • Kos pengurusan jenazah,
  • Langsaikan segala hutang pewaris sama ada dalam bentuk agama (seperti Zakat, Nazar, dan lain-lain),
  • Atau segala hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan oleh hukum syarak.

Berapakah Jumlah Pembahagian Yang Akan Diterima Itu?

  • Sekiranya meninggal dunia dan meninggalkan anak lelaki dan anak perempuan, maka bahagian anak lelaki adalah 2 kali bahagian anak perempuan
  • Sekiranya meninggal dunia dan meninggalkan dua atau lebih anak perempuan sahaja (tiada anak lelaki), maka bahagian mereka adalah dua pertiga (2/3) daripada nilai harta pusaka, yang mana perlu dibahagikan sama rata kepada semua anak perempuan yang terlibat
  • Sekiranya meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak perempuan sahaja (tiada anak lelaki), maka bahagiannya adalah satu perdua (1/2) atau separuh
  • Sekiranya meninggal dunia dan meninggalkan ibubapa serta anak (tanpa mengira bilangan dan jantina anak), maka bahagian untuk setiap seorang ibu dan bapa adalah satu perenam (1/6); untuk ibu 1/6 dan untuk bapa 1/6
  • Sekiranya meninggal dunia dan meninggalkan ibubapa sahaja (tidak mempunyai anak), maka bahagian ibu adalah satu pertiga (1/3) manakala bapa pula mendapat bahagian dua pertiga (2/3)
  • Sekiranya meninggal dunia dan meninggalkan ibubapa serta adir-beradik (tidak mempunyai anak), maka bahagian ibu adalah satu per enam (1/6) dan selebihnya adalah bahagian adik-beradik lelaki
  • Sekiranya isteri meninggal dunia dan meninggalkan suami sahaja (tidak mempunyai anak), maka bahagian suami adalah satu perdua (1/2). Tetapi, sekiranya isteri tersebut mempunyai anak, maka bahagian suami adalah satu perempat (1/4)
  • Sekiranya suami meninggal dunia dan meninggalkan isteri sahaja (tidak mempunyai anak), maka bahagian isteri adalah satu perenam (1/6) (dibahagikan sama rata daripada 1/6 tersebut jika isteri lebih daripada seorang). Tetapi, sekiranya suami tersebut mempunyai anak, maka bahagian isteri adalah satu perlapan (1/8) (dibahagikan sama rata daripada 1/8 tersebut jika isteri lebih daripada seorang)
  • Sekiranya meninggal dunia dan tidak mempunyai waris usul (ibu dan bapa, datuk dan nenek) dan waris furu’ (anak, isteri atau suami), tetapi mempunyai saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu sahaja, maka bahagian mereka adalah satu perenam (1/6) manakala selebihnya diserahkan kepada baitulmal. Tetapi, sekiranya saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu lebih daripada 2 orang, maka bahagian mereka adalah satu pertiga (1/3) yang perlu dikongsi sama rata antara mereka, manakala selebihnya dua pertiga (2/3) diserahkan kepada baitulmal
  • Sekiranya meninggal dunia dan tidak mempunyai waris usul dan furu’, tetapi mempunyai saudara lelaki dan saudara perempuan seibu dan sebapa, maka bahagian mereka adalah seluruh harta yang ditinggalkan (lelaki 2 bahagian, perempuan 1 bahagian)

Apakah Ada Kesan Jika Kewajipan Untuk Bahagikan Harta Mengikut Faraid Ini Tidak Dipedulikan?

Semestinya ada. Sekiranya umat Islam mengabaikan pembahagian harta pusaka dengan sistem Faraid ni, kesan yang paling ditakuti ianya boleh memberi masalah lain yang lebih besar seperti :

  • Memakan harta anak yatim
  • Memakan harta saudara-mara
  • Memakan harta Baitumal

AWAS! Tolong jangan pandang mudah kerana pembahagian faraid kepada yang berhak hukumnya WAJIB untuk ditunaikan dan FARDHU KIFAYAH kepada umat Islam (terutama sekali waris-waris) untuk selesaikan. Apabila hukumnya wajib maka akan berdosa besar jika tidak ditunaikan sebagaimana yang telah di tuntut oleh Islam.

Dari jauh didoakan semoga urusan anda dipermudahkan dan jika ada sebarang kemusykilan anda boleh terus ke pejabat agama terdekat untuk mendapatkan pencerahan dan info yang lebih banyak untuk perkara yang berkaitan dengan isu faraid ini.

Untuk pengetahuan anda juga, kini telah ada Sistem Maklumat Faraid versi web yang telah disediakan oleh pihak USM dan dengan wujudnya lamanweb ini anda boleh cuba lakukan contoh pengiraan bagi faraid secara kasar dengan lebih mudah.

Sumber :

Penulis: Siti Awadah

Minat menulis untuk pelbagai topik seperti kesihatan, keibubapaan, perhubungan, kecantikkan, makanan, travel, Islamik dan sebagainya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.