Kanak-kanak memang fitrahnya suka memasak dan mencuba sesuatu perkara yang baru. Teringat kembali zaman kanak-kanak kita dahulu, di mana sangat gemar bermain pondok-pondok dan masak-masak bersama rakan-rakan yang lain. Antara memori yang pasti diingati ialah:

  • Ambil tanah dicampur air untuk dijadikan kuih-muih.
  • Petik daun-daun untuk jadikan sayur-sayuran.
  • Petik buah belimbing untuk dijadikan lauk-pauk.

Begitulah zaman kanak-kanak kita dahulu. Memori main masak-masak bersama rakan taulan masih segar terpahat dalam ingatan hingga kini.

Namun, peredaran masa dan perbezaan minat generasi kini telah menyaksikan perubahan dalam corak permainan zaman kanak-kanak waktu ini. Sudah jarang kita dapat lihat anak-anak bermain seperti zaman kita dahulu yang bebas bermain di luar. Mungkin faktor keselamatan, kawasan perumahan yang tidak sesuai atau isu gajet yang keterlaluan pada zaman sekarang telah menyebabkan segala permainan tradisi sudah semakin dilupakan.

Sebagai ibu bapa kita perlu mengambil inisiatif agar anak-anak masih boleh bebas bermain dengan menyediakan persekitaran yang selamat sama ada di dalam atau di luar rumah. Contohnya, anak-anak boleh diajak bersama-sama untuk memasak makanan kegemaran mereka di rumah. Jom kita lihat koleksi resepi mudah untuk memasak bersama si kecil anda!.

1. Muffin Pisang

Bahan-bahan:

  • 4 hingga 5 pisang yang sudah masak.
  • 2 cawan tepung gandum.
  • 1/2 cawan minyak masak.
  • 1/2 cawan gula (saya tidak letak, memandang pisang sudah manis).
  • 1 sudu kecil soda bikarbonat.
  • 1 sudu kecil baking powder.
  • 2 biji telur dipukul.
  • Sedikit garam.

Cara-cara:

  • Lecek pisang.
  • Di dalam bekas lain, campurkan tepung gandum, soda bikarbonat, baking powder dan garam. Ayak untuk mendapatkan tekstur yang halus.
  • Pukul telur, masukkan minyak dan kacau sehingga sebati. Kemudian, masukkan pisang yang telah dilenyek tadi.
  • Tambahkan bahan-bahan yang telah diayak tadi dan kacau sehingga sebati perlahan-lahan.
  • Panaskan ketuhar pada suhu 180 darjah celcius selama 10 minit.
  • Susun cawan muffin dan masukkan adunan 3/4 dalam cawan tersebut.
  • Bakar selama 15 hingga 20 minit.

2. Popia Ketam

Bahan-bahan:

  • Kulit popia.
  • Ketam.
  • Sedikit air untuk melekatkan kulit popia.

Cara-cara:

  1. Leraikan kulit popia satu demi satu.
  2. Sementara itu, rebus isi ketam sehingga masak.
  3. Gulung isi ketam bersama kulit popia yang telah dileraikan tadi.
  4. Lekatkan hujung kulit popia dengan sedikit air.
  5. Goreng popia ketam dengan minyak yang panas.

3. Jejari Popia Bersalut Cokelat

Bahan-bahan:

  • Kulit popia.
  • Cokelat Masakan.
  • Colourful chocolate rice.

Cara-cara:

  1. Leraikan kulit popia satu demi satu. Kemudian, gulung kulit popia tersebut dan lekatkan dengan air pada hujungnya.
  2. Goreng kulit popia sehingga kekuningan.
  3. Sejukkan terlebih dahulu sebelum disalut dengan lapisan cokelat.
  4. Sementara itu, cokelat masakan dicairkan menggunakan teknik double boiling.
  5. Celupkan hujung kulit popia yang telah sejuk ke dalam cokelat itu tadi.
  6. Tabur chocolate rice yang berwarna-warni sebagai hiasan.

4. Roti Ketam

Bahan-bahan:

  • Roti gardenia.
  • Isi ketam.
  • Telur.
  • Serbuk roti.

Cara-cara:

  1. Rebus isi ketam sehingga masak.
  2. Gulung isi ketam dengan roti.
  3. Sapu sedikit telur di hujung roti supaya gulungan roti tidak terlerai.
  4. Salut roti ketam yang telah siap digulung dengan telur.
  5. Kemudian, salut pula dengan serbuk roti.
  6. Goreng dengan minyak yang panas sebentar.
  7. Siap dihidang.

5. Sate Ayam

Resepi:

  1. Potongan isi ayam.
  2. Kunyit.
  3. Serbuk kari ayam/daging.
  4. Gula dan garam.

Cara-cara:

  1. Potong isi ayam kecil-kecil (kiub)
  2. Perapkan isi ayam yang telah dipotong dengan kunyit, serbuk kari, garam dan gula selama sejam.
  3. Cucuk isi ayam pada lidi sate.
  4. Bakar sate atas api.

6. Bebola Keju

Bahan-bahan:

  • 3-5 biji ubi kentang.
  • 1 cawan tepung gandum.
  • Setengah cawan minyak masak.
  • Keju.
  • Serbuk roti.
  • 2 biji telur.

Cara-cara:

  1. Rebus ubi kentang sehingga empuk. Kemudian, toskan terlebih dahulu.
  2. Ubi kentang yang telah empuk dilenyek sehingga hancur.
  3. Masukkan tepung gandum dan minyak.
  4. Uli adunan sehingga menjadi doh.
  5. Kemudian, ambil sedikit adunan dan leperkan untuk diletakkan inti keju yang telah dipotong dadu.
  6. Tutup dan bulat-bulatkan seperti bentuk bebola.
  7. Salutkan bebola keju itu tadi dengan telur dan serbuk roti.
  8. Goreng dengan minyak yang panas.
  9. Sedia dihidang.

7. Aiskrim Homemade

Bahan-bahan:

  • 1 tin susu cair.
  • 1 sudu besar ovalette.
  • 1 sudu besar susu pekat.
  • 1 sudu kecik esen vanila.

Cara-cara:

  1. Masukkan semua bahan ke dalam mesin pengisar.
  2. Kisar selama 10-15 minit.
  3. Masukkan ke dalam bekas yang sesuai.
  4. Taburkan chocolate rice sebagai hiasan.
  5. Sejukkan di dalam peti ais selama 24 jam.

8. Aiskrim Malaysia

Resepi:

  1. Plastik aiskrim.
  2. Bancuhan air untuk dijadikan aiskrim seperti perisa milo, bandung, asam boi, laici dan lain-lain.
  3. Jus buah-buahan seperti jus tembikai, mangga atau oren untuk aiskrim yang lebih sihat.

Cara-cara:

  1. Masukkan bancuhan ais yang berperisa ke dalam plastik yang telah disediakan.
  2. Ikat hujung plastik dengan ketat agar bancuhan air tidak terkeluar.
  3. Masukkan semua ke dalam peti ais.
  4. Tunggu semalaman sehingga beku.

9. Susu Kurma

Bahan-bahan:

  • 2 cawan susu segar.
  • 7 biji kurma.
  • Sedikit serbuk koko jika ingin susu kurma berperisa cokelat.

Cara-cara:

  1. Asingkan biji dan isi kurma.
  2. Masukkan isi kurma ke dalam blender.
  3. Tambahkan 2 cawan susu segar.
  4. Tambahkan sedikit serbuk koko.
  5. Kisar semua bahan sehingga sebati.
  6. Tapis susu kurma yang telah dikisar dan sedia diminum.

10. Aiskrim Buah-buahan

Bahan-bahan:

  1. Kon aiskrim.
  2. Pelbagai jenis buah-buahan seperti mangga, epal dan tembikai.
  3. Chocolate syrup.
  4. Chocolate rice sebagai topping

Cara-cara:

  1. Potong buah menjadi bentuk kiub.
  2. Susun campuran buah ke dalam kon aiskrim.
  3. Hiaskan dengan chocolate syrup dan chocolate rice.

Resepi di atas memang sangat mudah dilakukan oleh anak kecil. Bukan sahaja dapat mengisi masa lapang mereka, malah dapat belajar pelbagai kemahiran semasa proses memasak seperti kemahiran motor halus, membaca dan mendengar arahan.

Daya fokus dan keyakinan diri turut meningkat apabila mereka mampu menyelesaikan setiap tugasan masakan yang diberikan. Jom main masak-masak!

Penulis: Faz

Merupakan graduan Psikologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sekarang memilih untuk menjadi surirumahtangga sepenuh masa demi keluarga. Seorang ibu yang sangat mempunyai minat yang mendalam dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan kekeluargaan. Diharapkan dapat berkongsi ilmu seluas-luasnya dengan masyarakat melalui setiap penulisan yang ditulis. Klik sini untuk Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.