Kes kehadiran orang ketiga dalam pasanga kita bukan perkara yang disukai. Tiada siapa mahu perkara ini berlaku. Lebih-lebih lagi apabila usia perkahwinan yang telah dibina sudahpun bertahun lamanya. Dalam kes seperti ini siapa yang sebenarnya bersalah?

Tulisan daripada Puan Amalina Adam ini menarik untuk dilihat. Puan Amalina merupakan peguam dalam bidang Syarie. Boleh lihat link ini jika anda berminat untuk mengetahui perkara ini.

Pesalah Kasih? Sayang Tetapi Benci

Kali ini saya mempunyai kelapangan untuk menceritakan tentang isu “Orang Ketiga” yang seringkali menjadi “Pesalah Kasih” atau “Pesalah Cinta” dalam sesebuah rumahtangga yang harmoni. Adakah benar-benar mereka ini wajib dipersalahkan? atau yang wajib dipersalahkan adalah “Orang Kedua” sebenarnya? atau kedua-duanya sekali wajib dipersalahkan?

Siapakah pula “Orang Kedua” ini? Kini bukan lagi dipertontonkan hanya dalam sinetron mahupun drama ‘latin’ yang berpanjangan, namun menjadi kenyataan yang sebenarnya telah berlaku dalam norma kehidupan masyarakat kita ketika ini. Tambahan pula, keadaan semakin parah apabila timbulnya isu “Orang Ketiga” maka masing-masing akan membuka kisah silam mereka secara berleluasa di media sosial. Apakah yang terjadi? dan Bagaimana pula “Pesalah Kasih” ini boleh membebaskan dirinya sebebas-bebasnya? Baiklah.

Sebenarnya pelbagai alasan untuk menjadi seorang “Pesalah Kasih” ataupun “Orang Ketiga” dalam sesebuah perhubungan pasangan terutamanya yang mempunyai ikatan perkahwinan yang sah. Kini tidak lagi hanya dikhaskan kepada wanita sahaja malah lelaki pun semakin memberanikan diri merebut posisi sebagai “Orang Ketiga”. Pendapat saya mudah sahaja tentang isu “Pesalah Kasih” ini iaitu kewujudan “Orang Ketiga” disebabkan terbentuknya ruang dalam sesebuah rumahtangga oleh pasangan kelamin itu sendiri sehingga diri mereka sebenarnya telah menjadi “Orang Kedua” dalam mewujudkan hubungan sulit bersama “Orang Ketiga”.

Lebih mudah difahami dengan ungkapan “Seseorang yang bertamu tidak akan masuk dan duduk di dalam rumah tersebut sebelum dipersila oleh tuan rumah itu sendiri masuk ke dalam rumahnya”. – Maka Kini Secara Rasionalnya Anda Sendiri Boleh Menilainya.

Kebanyakan di antara kita masih berdebat sesama sendiri tentang isu ‘Pesalah Kasih” dengan beranggapan bahawa suami yang lebih cenderung untuk terpengaruh dengan “Orang Ketiga” hanya alasan nafsu semata-mata dan ada pula sebahagian yang lain berpendapat isteri yang lebih cenderung untuk berlaku curang disebabkan faktor “Orang Ketiga” ini lebih kebendaan (harta), mempunyai sifat penyayang dan memberi lebih perhatian terhadap dirinya berbanding suaminya sendiri. Dalam ilmu sosial yang lebih luas, sebenarnya isu gender tidak seharusnya dipertikaikan lagi apabila seseorang itu sendiri sama ada lelaki mahupun wanita yang memilih untuk tidak berkelakuan jujur iaitu berlaku curang pada pasangannya sendiri.

Dalam pengertian ini pula “Benci tetapi Sayang”, sebenarnya ayat tersebut lebih sesuai diungkapkan kepada “Orang Kedua” yang berpura-pura menafikan hubungan barunya apabila selepas sudah “terkantoi” dengan pasangan mereka bersama pembuktian yang wajar dan setelah itu masing-masing memikirkan alasan semunasabah mungkin seperti secara tiba-tiba pula membenci “Orang Ketiga” yang muncul dalam rumahtangga pihak-pihak tanpa sedar kononnya. Jadi, kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang, bukan?

Menariknya, bilamana seseorang suami yang “kantoi” rata-rata memberi alasan “Islam membenarkan Poligami” maka isteri tidak boleh menghalang hubungannya dengan “Pesalah Kasih”. Sebenarnya Ya betul ! Islam tidak melarang seseorang suami untuk memperisterikan wanita lain disebabkan itu adalah fitrah yang tumbuh dalam jiwa mereka tetapi perlu dilihat semula bagaimana pula cara mengawal dan mengungkapkan kecintaan poligami tersebut. Penulisan kali ini bukanlah untuk menjelaskan isu poligami atau dosa pahala mahupun hukum berpoligami dan sebagainya tentang poligami. Mungkin pada penulisan seterusnya nanti.

Hendaklah diingatkan kepada “Pesalah Kasih” ini bahawa jika anda dengan sengaja berniat untuk memisahkan suami mahupun isteri atau menganggugugat rumahtangga dalam sesebuah ikatan perkahwinan yang sah di sisi syarak maka itu adalah “Haram”, termasuklah juga orang yang sengaja berpakat menjadi punca utama pasangan yang berkahwin itu menuntut perceraian tanpa sebab yang munasabah terhadap suami atau isterinya itu supaya mana-mana lelaki atau wanita lain boleh berkahwin dengan orang yang diceraikan ataupun orang yang meminta cerai. Langsunglah :

نعوذ بالله من ذلك
“Kami Berlindung kepada Allah dari Perkara itu”

Oleh itu, jika anda berniat untuk menjadi “Pesalah Kasih” ini yang hendak mencintai suami ataupun isteri orang lain, maka berfikirlah terlebih dahulu jika anda pula yang berada di tempat pasangannya mahupun anda adalah dari ahli keluarga pasangan yang teranaiya itu suatu hari nanti, bagaimana pula perasaan anda pada ketika itu. Sekiranya anda adalah orang yang teranaiya dan dianaiya, maka laporkanlah kepada pihak yang berwajib. Waallahu’alam.

Artikel ini telah diterbitkan dengan kebenaran oleh penulis. Sumber asal link.

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.