Masih ramai yang terlupa akan adab kunjung mengunjung sewaktu berziarah. Jom ketahui!

Amalan kunjung mengunjung sudah sebati dalam masyarakat tanpa mengira musim perayaan atau pada hari kebiasaannya. Saling menziarahi merupakan salah satu cara untuk menghubungkan silaturahim yang sangat disukai  Allah SWT. Sesungguhnya silaturahim itulah bukti bahawa umat Islam itu bersaudara.

Bahkan Islam juga menyenaraikan begitu banyak kelebihan sekiranya menyambung hubungan sesama Islam.  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, dalam kegembiraan berkunjung ke rumah sanak-saudara, teliti dahulu beberapa adab yang perlu dipatuhi apabila kita berziarah. Antaranya ialah:

Tidak mempunyai Niat yang Salah

Aktiviti berziarah mampu mendekatkan hubungan yang renggang, sifat buruk menjadi baik dan kasih sayang kembali bersinar. Apabila kita ikhlas, rahmat Allah SWT akan datang.

Betulkan niat untuk mengeratkan silaturahim bukannya untuk bermegah-megah, menunjuk harta yang dimiliki atau memanjangkan persengketaan.

Pastikan Kehadiran Tetamu Diketahui

Sebelum berkunjung ke rumah seseorang, adalah lebih baik jika  tuan rumah mengetahui akan kehadiran tetamunya. Hal ini bagi memudahkan tuan rumah membuat persiapan dan kehadiran tetamu tidak membebankannya. Kita tidak tahu, jika tuan rumah mempunyai urusan yang lebih penting semasa kita ingin bertandang atau sebagainya.

Memilih Masa Yang Sesuai

Elakkan datang berkunjung pada tiga waktu ini iaitu, selepas subuh, waktu tengahari dan selepas isyak. Jika bertandang pada juga, dibimbangi masa rehat tuan rumah akan terganggu. Tuan rumah pula berasa tidak selesa dan serba salah untuk melayan tetamu.

Jadi pilihlah masa yang sesuai untuk bertandang kerana faktor ini lebih memudahkan tuan rumah dan tetamu sendiri.

Memberi Salam

Umat Islam diajar untuk sentiasa mengikut adab sopan. Begitu juga apabila kita berkunjung ke rumah orang. Berilah salam sebelum masuk ke dalam rumah. Salam adalah ucapan selamat yang berbentuk doa demi mendoakan kesejahteraan kepada sesiapa yang mendengarnya. Had memberi salam adalah sebanyak tiga kali, seperti dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud;

“Apabila seseorang kamu meminta izin sampai tiga kali belum juga diberi izin, maka hendaklah dia beredar balik.”

Perkara mengenai memberi salam sebanyak tiga kali ini turut difirmankan Allah  SWT dalam al-Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu terlebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). Maka, sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin), maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin dan jika dikatakan kepada kamu ‘baliklah’, maka hendaklah kamu berundur pulang; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.”

(an-Nur: 27-28)

Maka, jika kita sudah memberi salam sebanyak tiga kali dan masih tiada jawapan, hendaklah berundur pulang dan bukannya memberi salam dengan lebih banyak serta menunggu dengan lebih lama. Mungkin tuan rumah tiada di rumah atau belum sedia menerima tetamu.

Berpakaian Sopan

Allah itu cantik dan suka umatnya ‘bercantik-cantik’ dan kemas. Bahkan sesama manusia sendiri sukakan benda yang cantik termasuklah yang gemarkan fesyen terkini.

Namun, pakailah pakaian yang mengikut garis panduan  Islam iaitu menutup aurat dan tidak terlalu berlebihan dalam berhias. Pilihlah pakaian yang sopan serta tidak mencolok mata sesiapa yang memandang. Pasti tuan rumah juga berasa selesa apabila menerima kehadiran tetamunya yang berpenampilan kemas dan menarik.

Membawa Buah Tangan

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencinta.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sekiranya berkemampuan, bawalah buah tangan kepada tuan rumah yang kita bertandang. Buah tangan tidak semestinya mahal atau berjenama, tapi cukuplah sebagai  satu tanda penghargaan dan kasih sayang kerana kesudian tuan rumah menerima kunjungan kita. Antara buah tangan yang sesuai adalah makanan, seperti buah-buahan.

Menjaga Adab

Apabila berada di rumah orang, hendaklah berusaha menjaga pandangan serta tutur kata. Walaupun kita akan memerhati keadaan sekeliling, usahlah mata dibiarkan melilau dan menganggar nilai harga perkakas atau perabot dalam rumah.

Lukman al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya;

“Wahai anakku! Sekiranya kamu di dalam solat, jagalah hatimu, sekiranya kamu makan, jagalah kerongkongmu, sekiranya kamu berada di rumah orang lain, jagalah kedua matamu dan sekiranya kamu berada di kalangan manusia, jagalah lidahmu.”

Malah, sangatlah dilarang untuk membawa pulang barang tanpa izin tuan rumah.  Jika membawa anak kecil, amat perlu mengawasi mereka agar tidak melakukan kerosakan mahupun mengambil sebarang barangan dalam rumah. Walaupun itu hanya sekadar barang permainan yang kecil.

Tidak Bercerita Keburukan Orang

Apabila bertemu dengan ahli keluarga, rakan, jiran atau kenalan kita, pasti akan ada isu yang akan dibualkan sebagai topik utama.

Walaupun sedang rancak bercerita, hendaklah saling mengingati agar tidak berkata perkara yang boleh mengundang perselisihan atau bercerita akan keburukan orang lain. Elakkkan daripada mengumpat, mengeji mahupun memfitnah orang lain. Bahkan gurauan yang boleh membuatkan orang lain terasa hati juga patut dielakkan.

Makan Dengan Tertib

Semasa menikmati hidangan, seeloknya, ambil makanan yang terdekat terlebih dahulu sebelum mengambil makanan lain. Nikmati hidangan dengan sopan, tidak tamak dan gelojoh.

Usah mudah mengkritik makanan yang disediakan jika tidak kena dengan selera kita. Jamahlah sedikit, bagi menghormati perasaan tuan rumah yang berusaha menyediakan makanan. Sebaiknya berikan pujian yang baik yang menyedapkan hati dan mengembirakan tuan rumah.

Selain itu, paling penting mulakan  dan akhiri makan dengan doa serta habiskan makanan yang berada dalam dalaz pinggan.

Tidak Berlama-lamaan

Sebaiknya, kita tidak berlama-lamaan sewaktu berziarah, kerana khuatir akan menyusahkan   tuan rumah serta membuatkan mereka berasa kurang selesa.

Meminta Izin Untuk Pulang

Sepertimana kita datang dengan izin, maka kita juga perlu memaklumkan kepada tuan rumah sewaktu ingin beransur pulang. Perbuatan ini tanda kita menghormati tuan rumah dan mengikut hadis Nabi SAW;

“Apabila salah seorang dari kalian mengunjungi saudaranya lalu ia duduk bersamanya, maka janganlah ia bangkit sehingga saudaranya itu mengizinkannya.”

(Hadis Riwayat ad-Dailami)

Berterima Kasih Kepada Tuan Rumah

Ucapkanlah terima kasih kepada tuan rumah yang sudi meluangkan masa, menerima kehadiran kita dan bersusah payah menyediakan juadah terbaik untuk kita nikmati. Ucapan ini walaupun ringkas dan pendek tetapi mampu membuatkan tuan rumah berasa  tenang dan bersedia untuk menerima kunjunga kita lagi.

Penutup: Kunjung-mengunjung dan saling berziarah adalah budaya zaman berzaman yang perlu diteruskan.

Berziarah atau berkunjungan bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan yang sedia terjalin, bahkan  dapat meluaskan jangkauan kenalan sesama insan. Namun, adab semasa berziarah perlu diamalkan agar perbuatan dikira sebagai berpahala dan pertemuan diberkati Allah.

Jangan lupa untuk membaca lebih banyak artikel menarik kami seperti:

Rujukan:

  1. Berita Harian
  2. Mstar
  3. TZKRH.com

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.