Cuti bersalin diberikan kepada pekerja wanita yang bakal melahirkan anak. Tak kira dalam sektor kerajaan atau swasta, pemberian cuti bersalin tertakluk pada Akta Kerja 1955.

Dalam sektor awam, seseorang pekerja boleh memilih untuk mengambil cuti bersalin selama 60 hari atau 90 hari. Manakala bagi pekerja swasta, buat masa ni tempoh cuti bersalin yang diberikan hanya selama 60 hari.

Malahan, demi menghormati hak bakal ibu, Kementerian Sumber Manusia telah mempertimbangkan untuk meluluskan cuti bersalin bagi sektor swasta kepada 90 hari. Kerajaan mengambil berat gesaan kesatuan sekerja untuk memberi kelonggaran kepada pekerja swasta.

Kepentingan Cuti Bersalin

cuti bersalin
Imej via Bidadari

Walau bagaimanapun, artikel ni tak bertujuan untuk menyentuh aspek perundangan cuti bersalin secara mendalam. Penulisan ni hanya akan membincangkan kepentingan cuti bersalin kepada ibu dan anak yang baru dilahirkan.

Dapat buat Persediaan Sebelum Melahirkan

Cuti bersalin yang diberikan kepada bakal ibu mempunyai banyak kebaikan kepada ibu dan anak. Seseorang wanita yang sudah sampai masa untuk melahirkan anak, boleh ambil cuti bersalin awal. Namun, perkara ni tertakluk kepada perundangan dan budi bicara majikan.

Jika ambil cuti sebelum bersalin, mungkin seminggu sebelum tarikh due, ia boleh memberi kemudahan bagi bakal ibu dan bapa. Lebih-lebih bagi kelahiran sulung, dah tentu pasangan suami isteri tiada pengalaman untuk berdepan dengan pelbagai situasi.

Di sinilah kelebihan cuti bersalin yang sepatutnya tak perlu dipertikaikan. Ada ibu yang berhadapan dengan risiko kesihatan dan perlu diberikan perhatian. Kemungkinan mereka menghidapi penyakit diabetes, darah tinggi, asma dan sebagainya.

Pasangan yang bakal menempuh alam ibu bapa juga boleh membuat persediaan untuk menyambut kedatangan bayi mereka. Ibu yang dah hampir tarikh due, biasanya akan mudah panik dan berasa takut. Dengan membawa mereka ke pusat membeli-belah untuk mencari kelengkapan anak, sedikit sebanyak hati mereka menjadi tenang.

Masa untuk Merehatkan Diri

Proses kehamilan tak boleh dipandang enteng kerana ia melibatkan nyawa ibu dan anak. Oleh itu, si ibu perlu berada dalam keadaan yang benar-benar bersedia dan selesa.

Selepas melalui proses tu, si ibu perlu berehat panjang untuk menjaga diri dan anak. Lebih-lebih lagi jika kehamilan sulung, penjagaannya lebih rumit dan teliti. Cuti bersalin boleh dianggap cuti istimewa yang diberikan untuk para ibu. Mereka telah bertarung nyawa menambahkan umat manusia sebagai generasi pelapis.

Hargai Hak Pekerja sebagai Ibu

Kenapa perlu dipanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari? Tak cukup ke selama 60 hari? Dalam berita Astro Awani pada tahun 2014, dinyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai cuti bersalin paling pendek di dunia.

Negara Asia seperti Vietnam memperuntukkan cuti bersalin selama 6 bulan. Manakala negara jiran, Singapura pula memberikan cuti bersalin selama 4 bulan.

Yang lebih menarik, Albania memberikan kelonggaran secukupnya untuk ibu bersalin. Di negara tu, sebelum kelahiran seseorang wanita tu boleh ambil cuti 12 bulan dan 150 hari selepas bersalin. Wah, seronok tu! Macam nak pindah ke Albania pula.

Di United Kingdom misalnya, cuti bersalin yang diberikan ialah antara 39 minggu hingga 52 minggu. Di Republik Czech, cuti sebelum bersalinnya ialah antara 6 hingga 8 minggu dan 20 minggu selepas bersalin.

Mengapa negara-negara ni begitu mementingkan pemberian cuti bersalin? Ni kerana cuti bersalin boleh dianggap sebagai tempoh ‘honeymoon’ selepas penat berkhidmat kepada majikan. Setiap komitmen dan usaha wanita untuk membangunkan syarikat dan organisasi perlu dihargai.

‘Bonding Time’ untuk Ibu dan Anak

Pemberian cuti bersalin yang panjang dapat menjalinkan hubungan yang lebih akrab antara ibu dan anak. Pada waktu cuti sebegini, si ibu hanya perlu memberi perhatian kepada bayinya. Kemungkinan urusan rumah tangga yang lain seperti mengemas rumah, memasak dan sebagainya dilakukan oleh suami atau ahli keluarga.

Janganlah dibebankan si ibu dengan pelbagai tugas rutin. Ini bukan bermaksud mereka tak perlu bergerak aktif, namun janganlah diberikan tugas yang berat-berat. Penat dan kesakitan dari sebelum melahirkan pun belum habis, ditambah pula dengan bebanan lain.

Namun, semua ni terpulang pada si ibu sendiri. Ada yang suka membuat kerja-kerja rumah yang ringan, ada pula yang suka berehat dan minta dimanjakan. Bagilah ruang untuk para ibu menyesuaikan diri dengan alam baru.

Melalui Proses Pemulihan dengan Tenang

Dengan adanya cuti bersalin, si ibu boleh menjalani proses berpantang dengan lebih baik. Tak kiralah pantang secara moden atau tradisional, proses ni memerlukan masa yang panjang iaitu antara 40 hingga 100 hari. Salah satu sebabnya, untuk proses pemulihan luka akibat bersalin sama ada normal atau secara pembedahan.

Dapat Fokus Menjaga Bayi

Jika tempoh cuti bersalin hanya 60 hari, ada pasangan suami isteri yang dilema untuk menghantar bayi mereka ke pusat jagaan. Ini kerana, si ibu perlu kembali bekerja. Jika ada ahli keluarga atau pembantu rumah yang tolong jaga, mungkin tak ada masalah.

Masalah mula timbul jika tiada sesiapa pun yang boleh diharapkan untuk menjaga bayi yang baru berusia 2 bulan. Dalam usia tu, anak sekecil tu belum stabil untuk diserahkan kepada orang lain. Mereka perlu diberikan perhatian oleh si ibu kerana pada usia ni sentuhan ibu amat penting bagi tumbesaran dan emosi bayi.

Dapat Susukan Bayi Secukupnya

Jika ibu berada di rumah, proses penyusuan boleh dilakukan dengan selesa tanpa gangguan. Bayi yang masih kecil tidak boleh beritahu bila masa mereka lapar dan haus. Hanya si ibu yang mampu ‘membaca’ permintaan anaknya tu.

Pemberian susu ibu memberi peluang kepada si ibu dan bayinya untuk berinteraksi sepenuhnya. Malahan, ia akan membangkitkan perasaan selamat kepada si anak apabila berada dalam pangkuan ibunya.

Seseorang wanita dapat menyesuaikan diri menjadi ibu dengan lebih baik apabila berada dalam keadaan tenang di rumah. Tanpa gangguan bunyi bising, bebanan kerja yang tak akan habis, mereka boleh berehat dengan lebih selesa.

Justeru, cuti bersalin boleh dianggap sebagai ‘me time’ untuk si ibu dan anak. Mereka dah mula berinteraksi dari saat awal kelahiran sehingga proses penyusuan. Sebab itulah, si bayi boleh mengenal ibunya dengan cepat berbanding orang lain. Begitu tulus hubungan antara anak dan ibu.

Kesimpulannya, cuti bersalin yang lebih panjang sehingga 90 hari bolehlah dianggap ‘bonding time’ bagi ibu dan anak. Cuti yang panjang bukan bertujuan untuk menjadikan seseorang tu menjadi pekerja yang tak produktif. Namun, dengan adanya faedah sebegini, ia memudahkan seseorang wanita untuk bekerja.

Cuti bersalin memberi kelonggaran kepada pekerja wanita untuk berehat dan melalui proses kehamilan dengan lebih selesa. Malahan, produktiviti kerja juga boleh ditingkatkan. Ini kerana mereka akan berasa lebih seronok dengan kelebihan yang diberikan oleh majikan.

Jangan dirampas dan dipersoalkan hak wanita untuk mengambil cuti bersalin. Apa pula pandangan anda, cukup hanya 60 hari atau perlu dipanjangkan lagi?

Jemput juga membaca artikel bersalin lain seperti tanda-tanda bersalin.

Rujukan

  1. AstroAwani. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/cuti-bersalin-malaysia-paling-singkat-berbanding-negara-luar-28657
  2. Moh.gov.my. https://hrpb.moh.gov.my/baru/index.php/20-news-and-events/latest-news/announcement/427-kemudahan-cuti-bersalin-pengawai-perkhidmatan-awam
  3. HMetro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/06/467428/cuti-bersalin-swasta-90-hari

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.