Topik tentang bunga-bunga ni pasti menjadi kegemaran kaum mak-mak kan? Kali ini, penulis nak kongsikan tips dan cara melebatkan bunga kertas. Rasanya bukan kaum wanita sahaja yang suka, para suami pun tak kurang minatnya.

Pokok bunga kertas ni bukanlah tanaman yang rare dan susah dijaga. Di mana-mana pun, kita senang terserempak pokok ni. Disebabkan pokok bunga kertas tidak memerlukan penjagaan yang cerewet, jadi ia memang pilihan utama untuk mencantikkan rumah.

Pokok Bunga Kertas

Pokok bunga kertas atau bougainvillea sememangnya sejenis pokok yang menghasilkan bunga yang cantik. Bunganya ringan dan nipis seakan-akan tekstur kertas. Itulah sebabnya ia dipanggil bunga kertas.

Ia merupakan sejenis pokok yang berbunga sepanjang tahun. Kelebihan pokok bunga kertas ialah warna bunga-bunganya pelbagai dan sangat cantik. Ada ungu, putih, merah, merah jambu, kuning dan sebagainya.

Yang istimewa tentang pokok ini ialah ada spesies yang boleh menghasilkan bunga lebih daripada 1 warna. Jadi, anda jangan pula terkejut kalau ternampak pokok yang mengeluarkan bunga berwarna putih dan ungu.

Tips Lebatkan Bunga Kertas

bunga
Imej Via Impiana

Jarang sekali kita nampak pokok bunga kertas yang bunganya merimbun-rimbun sampai batang dan daun pun tak nampak. Kalau ada pun, bunganya sekadar hidup segan mati tak mahu. Kenapa jadi begitu?

Sudah disiram, sudah dibaja. Namun, bunganya keluar berjarak-jarak dan sedikit. Teringin juga hendak lihat pokok bunga kertas kita itu merimbun sehingga menutup pintu pagar. Sampai pokoknya pun tak nampak. Bunga sahaja yang penuh.

Jadi, kalau nak tahu tips lebatkan bunga kertas, jangan malas membaca. Mana tahu tips yang dikongsikan ini akan menjadikan halaman rumah anda seperti taman bunga. Jom baca!

Untuk memastikan pokok bunga kertas anda cantik merimbun, ada beberapa perkara yang anda perlu lakukan, iaitu:

  • Jika sebelum ini anda tanam pokok bunga kertas di dalam pasu, alihkan ke atas tanah. Ini kerana pokok ini hidup lebih subur di atas tanah. Akar pokok ini perlu membesar untuk menyerap nutrien secara optimum.
  • Sebelum dipindahkan ke atas tanah, pastikan tanah tersebut jenis sedikit berpasir. Tanah yang berpasir mempunyai rongga-rongga yang dapat melancarkan pengaliran udara. Fungsi pasir yang lain ialah dapat menstabilkan kelembapan iaitu tanah tidak akan terlalu kering atau basah.
  • Jika hendakkan pokok bunga kertas anda hidup lebih lama dan berbunga lebat, pastikan anda mengutamakan 2 perkara ini. Pertama, pastikan tanah tersebut tidak terlalu lembap. Keduanya, pastikan juga tiada takungan air di situ.
  • Tanam pokok bunga kertas di kawasan yang menerima pancaran matahari yang terik sepanjang hari. Jangan tanam di kawasan yang teduh kerana akan membuatkan tumbesaran pokok terbantut.
  • Walaupun baja organik bagus untuk tanaman, tetapi tidak bagi pokok bunga kertas. Apabila menggunakan baja organik, ia akan menarik perhatian serangga seperti semut untuk membina sarang. Jadi, lebih baik gunakan baja kimia.
  • Apabila pokok bunga kertas anda sudah mula membesar, jangan biarkan rantingnya memanjang. Cantas ranting-ranting tersebut supaya percambahan daun dan bunga menjadi lebih cepat, lebat dan sihat.

Ranting-ranting perlu dipotong kira-kira 50 cm atau 60 cm dari batang pokok. Pertumbuhan ranting-ranting baru akan menghasilkan bunga yang lebat.

  • Jika cuaca panas dan permukaan tanah kering, siram pokok bunga kertas 2 kali sehari. Anda tidak perlu menyiramnya ketika musim hujan. Air yang terlalu banyak akan merencatkan pertumbuhan pokok.
  • Berbanding pokok-pokok lain, bunga kertas perlu disiram pada waktu tengah hari.
  • Pastikan anda memberi baja khas untuk penghasilan bunga. Baja perlu diberi dalam 2 minggu sekali atau lebih lama selangnya. Pastikan anda mengikut sukatan baja yang betul.
  • Apabila bunga-bunga sudah mula gugur, anda boleh meletakkan baja semula.

Cara Tanam Pokok Bunga Kertas

bunga
Imej Via Kartel Dakwah

Bagi yang baru nak mencuba-cuba tanam pokok bunga kertas, cubalah langkah ini.

  • Campurkan tanah bakar, baja organik dan pasir sungai. Anda boleh membeli pasir sungai di nurseri. Pasir ini sangat baik untuk saliran air pokok bunga kertas.
  • Jika pokok masih kecil, anda boleh menanamnya di dalam polibeg hitam atau pasu.
  • Sebelum diisi dengan tanah campuran (rujuk nombor 1), bahagian bawah pasu perlu diletakkan batu-batu kecil untuk menutup lubang pasu.
  • Kemudian, masukkan baja organik setebal 2 inci. Pada bahagian atas sekali, barulah dimasukkan tanah campuran.
  • Pacakkan kayu di tengah-tengah pasu untuk memberi sokongan. Batang pokok dinaikkan ke atas dan dililit pada kayu. Kemudian, gunakan tali dan ikat pada bahagian bawah pokok untuk mengemaskannya.
  • Pastikan tanah tersebut digemburkan dengan kerap. Pokok bunga kertas disiram pada bahagian tanahnya sahaja. Anda tidak perlu menyiramnya di bahagian pokok.

Setakat ini sahaja perkongsian penulis tentang tips lebatkan bunga kertas. Sebenarnya tidaklah susah mana untuk menghasilkan pokok bunga kertas yang merimbun dan cantik. Yang penting ia mendapat cahaya matahari yang cukup dan baja secara konsisten.

Kalau anda ada tips-tips rahsia yang ramai tak tahu, sudi-sudilah berkongsi dengan kami. Kita boleh bertukar-tukar pandangan dan berkongsi ilmu dalam bidang tanaman. Anda juga boleh mengongsikan gambar pokok bunga kertas anda yang cantik dengan kami.

Jemput juga baca tentang tips jenis tanah untuk bercucuk tanam ,tips tanam bunga orkid dan penanaman jagung.

Rujukan

  • Tanam Bunga Kertas Nampak Merimbun (link)
  • 8 Cara Ini Boleh Buat Bunga Kertas Anda Mabuk Bunga (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.