Mari kenali Salahuddin al-Ayyubi serta sumbangannya besarnya kepada Islam.

Nama Salahuddin al-Ayyubi yang sebenar ialah Yusuf bin Najmuddin Ayyub. Beliau dilahirkan pada tahun 543H bersamaan 1138M di kota Tarkit (Iraq),  Baghdad. Salahuddin al-Ayyubi berketurunan Kurdish. Ibunya bernama Monsun manakala ayahnya Najmuddin Ayub bin Shadhi yang merupakan seorang gabenor.

Salahuddin al-Ayyubi juga mempunyai susur galur kepahlawanan yang terbilang. Bapa saudaranya, Asadudin merupakan panglima perang kepada Sultan Nur ad-Din. Bahkan bapanya juga merupakan anak saudara kepada Sultan Nurudin Zenggi, keturunan Kurdistan yang berasal dari Azerbaijan.

Pendidikan Salahuddin al-Ayyubi

Sejak kecil lagi Salahuddin al-Ayyubi telah terdedah dengan ilmu kepahlawanan dan kepimpinan, serta diajar dengan pelbagai ilmu peperangan, seperti seni mempertahankan diri,  memanah, menunggang kuda dan sebagainya.

Di samping itu, beliau juga mendalami ilmu keagamaan seperti tafsir al-Quran, akidah, fikah, syariah ilmu hadis berserta sanad berserta perawinya. Beliau juga banyak menghafal syair-syair Arab.

Salahuddin al-Ayyubi mendapat pendidikan di Damsyik selama 10 tahun dan selama itulah beliau tinggal di kawasan istana milik Sultan Nur ad-Din.

Salahuddin al-Ayyubi Menumbangkan Kerajaan Fatimiyah

Menginjak dewasa, Salahuddin al-Ayyubi menyertai tentera berkuda Sultan Nur ad-Din. Beliau banyak mempelajari ilmu ketenteraan daripada bapa saudaranya. Sehingga sekitar tahun 1160M, beliau diperintahkan untuk menyertai misi ketenteraan ke Mesir.

Salahuddin al-Ayyubi diberi tanggungjawab oleh bapa saudaranya untuk menjatuhkan kerajaan Fatimiyah di Mesir yang berfahaman Syiah. Dengan kekuatan semangat dan tanggungjawab menegakkan agama, beliau bersama para tenteranya berjaya menumbangkan Fatimiyah dan mengembalikan Islam yang sebenar di kota itu.

Di Mesir barulah Salahuddin al-Ayyubi tahu bahawa, berlaku banyak konflik seperti perebutan kuasa para gabenor serta permasalahan dalam pentadbiran, namun beliau tidak boleh bertindak sewenangnya. Ini lantaran beliau merupakan ketua tentera dari Syria yang tidak berkuasa ke atas para tentera di Mesir yang ketika itu dimpimpin oleh Khalifah al-Adid.

Apabila khalifah meninggal dunia pada tahun  1171, Salahuddin al-Ayyubi mengarahkan para imam mengumumkan nama Khalifah al-Mustadi (Khalifah Abbasiyyah di Baghdad) semasa solat Jumaat.

Selepas kemangkatan khalifah, Salahuddin al-Ayyubi dilantik menjadi pemerintah yang juga  wakil Sultan Nur ad-Din di Mesir. Banyak perubahan dilakukan dalam pentadbiran, ekonomi, termasuk menyusun semula angkatan tentera, di samping menuruti nasihat ayahnya supaya tidak berkonflik dengan Sultan Nur ad-Din.

Sehinggalah sultan itu mangkat pada tahun 1174, barulah beliau memulakan beberapa siri kempen ketenteraan. Salahuddin al-Ayyubi kemudiannya menjadi Sultan Mesir lalu mengisytiharkan kemerdekaan daripada kerajaan Seljuk dan mengasaskan kerajaan Ayubbiyyah.

Pada awalnya Salahuddin al-Ayyubi melancarkan misi ketenteraan  terhadap beberapa kerajaan kecil sebelum menentang tentera Salib dan mengembalikan kota suci Baitul Maqdis kepada umat Islam. Beliau sedaya upaya mempertahankan Mesir daripada diserang oleh pasukan Salib di bawah pimpinan Almaric I.

Sifat Peribadi Salahuddin al-Ayyubi

Banyak sikap baik dan mulia yang dimilik oleh Salahuddin al-Ayyubi. Beliau bukan sahaja seorang muslim yang taat, tetapi seorang tentera dan pahlawan sejati yang melengkapkan dirinya sebagai seorang pemimpin dan pemerintah yang jarang-jarang ditemui. Selain itu, Salahuddin al-Ayyubi juga seorang yang;

  1. Tidak Berbangga Diri

Walaupun beliau dibesarkan dalam keturunan yang terhormat dan ternama, beliau tidak pernah bangga diri dan bersikap sombong.  Membesar sebagai anak gabenor dan tinggal di kawasan istana, beliau tidak pernah menunjukan keistimewaan tersebut dengan memperkecilkan orang lain. Hal ini berikutan pendidikan agama yang diterimanya lebih awal sejak kecil lagi.

  1. Memiliki Cita-cita dan Matlamat Yang Jelas

Selain menentang musuh Islam serta menegakkan kebenaran Islam, cita-cita Salahuddin al-Ayyubi adalah untuk menawan semula Baitul Maqdis daripada tangan pasukan Salib yang mengusai wilayah itu. Lalu beliau bertekad dan bersiap sedia serta merancang strategi peperangan, selain  menguatkan fizikal para tenteranya.

Beliau menyatupadukan semua penduduk Islam terlebih dahulu, selain mensyaratkan semua tenteranya mendirikan solat lima waktu.

  1. Pempimpin yang Mengutamakan Rakyat

Dicatatkan, Salahuddin al-Ayyubi seorang pemimpin yang akan memberi masa kepada orang ramai pada hari Isnin dan Selasa setiap minggu. Iaitu, beliau sendiri yang  akan membacakan aduan yang diterima, serta penyelesaiannya, lalu diucapkanya dan dicatat  oleh jurutulisnya dan terus ditandatanganinya. Beliau tidak membenarkan pengadu tersebut meninggalkannya selagi beliau tidak menyelesaikan masalah orang itu.

  1. Berakhlak

Salahuddin al-Ayyubi sangat menjaga akhlaknya walau dengan pihak musuh sekalipun, beliau tidak mencederakan atau melakukan kekerasan terhadap  orang-orang Kristian yang menyerah kalah.

Beliau juga mengarahkan pasukannya untuk menghormati peraturan perang serta menjaga adab walaupun dalam situasi peperangan. Bahkan ada suatu waktu, ketika seorang pemimpin pasukan Kristian sakit, beliau mengirimkan buah dan ucapan selamat melalui wakilnya. Beliau tetap melakukan kebaikan walaupun terhadap musuh atau golongan yang bukan Islam.

  1. Pemurah

Salahuddin al-Ayyubi juga sering menyerahkan semua wang atau harta yang dimilikinya kepada orang lain tanpa mengira apa-apa pulangan. Sewaktu pasukannya berjaya menawan bandar ‘Amad. Lalu seorang tentera menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati, Salahuddin al-Ayyubi menyerahkan kota itu kepadanya. Beliau juga sanggup menjualkan harta miliknya hanya untuk membeli hadiah kepada orang lain tanpa berkira-kira.

  1. Tidak Terpengaruh dengan Harta

Selepas kematian Khalifah Adid semua harta tinggalannya langsung tidak diambil oleh Salahuddin al-Ayyubi. Termasuklah harta-harta rampasan perang yang langsung tidak disentuhnya, tetapi diagihkan kepada semua tenteranya.  Bahkan sepanjang hidupnya, beliau tidak pernah menyimpan atau mengumpul apa-apa harta.

Sumbangan Salahuddin al-Ayyubi yang Tak Ternilai

Jasa dan sumbangan Salahuddin al-Ayyubi dalam perkembangan Islam khasnya memang tidak dapat dinafikan lagi, terlalu banyak. Terutamanya dalam peperangan menentang musuh Islam. Antara sumbangan jasa yang Salahuddin al-Ayyubi yang terbesar dalam peperangan adalah;

  1. Memenangi Peperangan Salib di Hittin

Dalam satu siri peperangan sengit antara pasukan Salahuddin al-Ayyubi menentang pasukan Salib di Tiberias, iaitu  berhampiran kaki Bukit Hittin tentera Salib berjaya dikalahkan pada 24 Rabiulakhir 583H.

Bahkan Raja Kristian yang memerintah Palestin dan adiknya Reginald dari Chatillo dapat ditawan, termasuklah para pembesarnya dan beberapa pemimpin tentera Salib berjaya ditangkap.

Pasukan Salib menjadi lumpuh lantaran kalah teruk dengan tentera Islam.  Diriwayatkan setiap tentera Islam membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawan dan diikat dengan tali khemah.

Mayat-mayat tentera Salib berkelimpangan dan bertimbun seperti batu-batu yang memutih. Dianggarkan lebih 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini.

  1. Menawan Baitul Maqdis

Kemenangan Perang Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin al-Ayyubi dan pasukan Islam untuk menawan kota suci Baitul Muqaddis. Beliau sangat bercita-cita tinggi dan berimpian untuk menawan Baitul Muqaddis demi Islam tak tidak rela kota itu dimiliki oleh orang bukan Islam.

Selepas berhempas pula penuh semangat, mengorbankan  nyawa melawan pasukan Salib, Salahuddin al-Ayyubi bersama tentera Islam akhirnya berjaya menawan kota itu pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H.

Selepas 90 tahun,  laungan ‘Allahu Akhbar’ berkumandang, solat Jumaat didirikan semula di  Baitul Muqaddis dan lambang salib telah diturunkan. Peristiwa itu menjadi satu kemenangan besar yang begitu bermakna bagi seluruh umat Islam, dan diraikan oleh para ulama seluruh dunia sehinggalah seluruh umat Islam berkumpul untuk menyaksikan peristiwa bersejarah itu.

  1. Menguasai Perang Salib Ketiga

Perang Salib Pertama merupakan detik kejatuhan Baitul Maqdis kepada tentera Salib iaitu pada  tahun 1099 (490H), manakala Perang Salib Kedua telah dimenangi oleh Salahuddin al-Ayyubi dan pasukan Islam dalam Perang Hittin pada tahun 1187M (583H) yang kemudiannya berjaya menawan semula Baitul Maqdis.

Seluruh penganut Kristian amnya tidak dapat menerima kekalahan itu, lalu pelbagai bantuan ketenteraan dari negara-negara di Eropah ditawarkan untuk mendapatkan semula Baitul Maqdis.

Hampir semua raja, pemerintah dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa iaitu raja Jerman, Philips Augustus yang juga maharaja Perancis, Leopold dari Austria, Richard The Lion iaitu pemerintah England, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersepakat dan bersatu untuk menyerang balas demi mendapatkan semula kota suci itu.

Salahuddin al-Ayyubi bersama-sama saudara-maranya, para pembesar dan pasukan Islam tetap teguh dan langsung tidak berundur melawan pasukan Salib sehinggga serangan dari pasukan Kristian yang berjumlah besar itu berjaya dipatahkan.

Peperangan itu berlanjutan selama 5 tahun sehinggakan kedua-dua belah pihak menjadi lesu dan semakin kurang semangat, namun demi memiliki semula kota Baitul Maqdis pasukan Islam tidak sesekali undur dengan pimpinan Salahuddin al-Ayyubi. Sehingga akhirnya kedua-dua belah pihak bersetuju untuk membuat perjanjian di Ramla pada September 1192M atau 588H.

Perjanjian tersebut mengakui Salahuddin al-Ayyubi sebagai penguasa Palestin seluruhnya, kecuali bandar Acra yang diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Dengan itu berakhirlah Perang Salib ketiga dan kota suci Islam kekal di bawah naungan umatnya.

Kematian Salahuddin al-Ayyubi

Salahuddin al-Ayyubi meninggal dunia pada pagi Rabu,  sebelum subuh pada 27 Safar tahun 589H. Ketika itu usianya 57 tahun. Diriwayatkan, ketika meninggal dunia, beliau tidak meninggalkan apa-apa harta kecuali satu dinar dan 47 dirham sahaja selain tidak juga mempunyai rumah, mahupun tanah atau apa-apa harta. Bahkan semua barangan tinggalannya juga tidak cukup untuk membiayai kos pengebumiannya dan keluarganya terpaksa berhutang.

Ini membuktikan beliau seorang pemimpin yang mengorbankan segala hartanya demi negara dan kepada sesiapa yang memerlukan. Beliau lebih mementingkan orang lain daripada mengumpulkan kekayaan demi dirinya sendiri. Apatah lagi bertindak tidak amanah dengan harta negara.

Penutup: Salahuddin al-Ayyubi pahlawan Islam sejati yang mengembalikan kota al-Quds kepada umat Islam.

Salahuddin al-Ayyubi telah membuktikan bahawa pemimpin yang baik adalah yang berpegang teguh kepada agama, serta berperibadi soleh untuk dijadikan contoh kepada golongan bawahannya. Bahkan ianya juga akan dihormati dan dipandang tinggi oleh orang yang bukan beragama Islam.

Salahuddin al-Ayyubi boleh diumpamakan sebagai sebutir bintang yang pernah dilahirkan dalam dunia sejarah Islam. Beliau bukanlah calang-calang pemimpin tetapi seorang tokoh yang telah membebaskan kota suci al-Quds dengan nyawa dan darahnya menjadi gadaian, jasa dan baktinya sememangnya tidak terbayar. Semoga roh beliau sentiasa dirahmati-Nya dan ditempatkan dalam golongan yang Allah kasihi, amiin.

 

Jemput juga membaca artikel-artikel kami yang menarik seperti, Mengenali Umar al-Khattab dan Sumbangannya kepada Islam, Biodata Ibnu Sina yang Boleh Kita Pelajari dan Muhammad Al-Fatih, Siapa Dia Sebenarnya? Didik Anak Kita Sepertinya.

 

Rujukan

  1. The Patriot
  2. www.indahnyaislam.my
  3. tzkrh.com
  4. Salahudin Ayubi; Penakhluk Jerusalem, Abdul Latip Talib (2009)

 

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.