Kahwin sempadan atau nikah di Siam (Thailand) sudah berlaku sejak dulu lagi. Ada juga yang memilih untuk kahwin di Indonesia. Malah kahwin sempadan sekarang siap ada pihak yang tawarkan perkhidmatan untuk bantu pasangan ini bernikah. Ramai juga yang berfikir, adakah sah kahwin di sempadan ini? Bagaimana pula caranya? Namun pernahkah anda terfikir apakah sebenarnya punca mengapa kahwin di sempadan ini terus berlaku dari hari ke hari.

kahwin di sempadan

image via : Unsplash

7 Sebab Utama Mengapa Ramai Pasangan Boleh Terjebak Dengan Kahwin Di Sempadan

1 – Tidak Mendapat Restu Dari Kedua Orang Tua

Tidak mendapat restu adalah salah satu sebab pasangan kahwin lari. Kebanyakan ibu bapa yang mementingkan harta tidak akan memberi restu jika anak mereka tidak mengikut apa yang mereka mahukan. Tindakan segelintir masyarakat yang begini secara tidak langsung telah menyebabkan kebanyakan pasangan mengambil keputusan untuk kahwin lari. Lagi-lagi untuk pasangan yang masih muda yang sedang buta dengan cinta. 

Seharusnya ibubapa diluar sana perlu hormat pilihan anak-anak bagi memudahkan urusan berkaitan soal perkahwinan. Jika semua ibubapa bersikap sporting sudah tentu peratus pasangan untuk kahwin lari akan semakin rendah. Sedangkan dalam Islam juga ada menyebut supaya memudahkan urusan perkahwinan, jadi kenapa perlu menghalang niat baik anak-anak mereka. 

Walaubagaimanapun, jangan terus dikecam sikap ibubapa yang menghalang ini kerana tidak semua membantah perkahwinan si anak dek kerana faktor darjat dan pangkat. Ada juga sesetengan ibubapa ini yang menghalang disebabkan oleh sikap bakal pasangan itu sendiri yang tidak seindah khabar. Adalah tidak mustahil ibubapa tidak restu itu kerana pasangan tidak sebaik yang disangka.

nikah di sempadan

image via : BH Online

2 – Mahu Berpoligami

Keinginan suami mahu berpoligami juga manjadi penyumbang besar sebab pasangan kahwin lari. Isu suami mahu berpoligami dan membuat keputusan untuk kahwin lari ini bukanlah suatu isu yang baru. Saban tahun jika kita lihat, jumlah suami yang berpoligami dan berkahwin di sempadan Malaysia semakin meningkat. Jumlah peningkatan sebegini, sememangnya amat membimbangkan.

Mana tidaknya, kebanyakan wanita yang menjadi isteri kedua merupakan anak gadis. Jika perkara sebegini masih berleluasa dibimbangi akan mendatangkan masalah pada masa akan datang. Antara sebab kenapa para suami mengambil keputusan untuk kahwin lari adalah kerana isteri pertama tidak memberi restu. Biasalah isteri mana akan senang-senang beri izin untuk suami nikah satu lagi. Ianya suatu lumrah dan fitrah bagi wanita untuk tidak mahu berkongsi kasih dengan orang lain. 

3 – Telanjur / Mengandung 

Antara sebab lain kenapa pasangan memilih untuk terus kahwin lari adalah faktor pergaulan. Pasangan muda yang bercinta ditambah dengan rasa seronok dan sebagainya, dengan mudah akan menjerumuskan mereka ke dalam kancah maksiat.

Akibat ketelanjuran mereka dalam percintaan itulah yang akan menyebabkan mereka rasa susah hati jika termengandung dan sebagainya. Bila timbul rasa bersalah dan taubat, mereka mula mengambil keputusan untuk berkahwin dan bila sesetengah ibubapa melarang disebabkan tidak tahu hal sebenar, si pasangan ini akan mengambil keputusan untuk kahwin lari dan menjauhkan diri dari keluarga. 

4 – Kos Perkahwinan Yang Tinggi

Kos perkahwinan di Malaysia saban tahun semakin meningkat. Ia memberi kesan buat mereka yang berpendapatan kecil untuk berkahwin. Ini juga merupakan salah satu sebab kenapa pasangan membuat keputusan untuk kahwin lari. Ini kerana, dengan berkahwin di sempadan Malaysia kosnya amat rendah dan tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak. Jadi tidak hairanlah kenapa setiap tahun ramai pasangan muda memilih untuk kahwin secara lari begini. 

kahwin di sempadan

image via : mstar

5 – Jumlah Wang Hantaran Yang Over 

Selain dari kos perkahwinan untuk sediakan majlis, permintaan hantaran yang tinggi dari pihak keluarga perempuan juga menjadi sebab pasangan kahwin lari. Mungkin bagi segelintir ibu bapa diluar sana ia adalah perkara biasa. Namun sikap segelintir ibu bapa yang gemar meminta hantaran yang terlalu tinggi hingga kadangkala tidak munasabah telah menambah beban buat si pasangan terbabit. Akibatnya dari ingin berkahwin secara baik, si pasangan terus buat keputusan untuk kahwin di sempadan asalkan mereka dapat terus bersama sebagai suami isteri sebagaimana yang dihajati.

6 – Tersepit Dengan Permintaan Keluarga 

Faktor seterusnya ini mungkin anda tidak percaya tetapi ia memang ada berlaku di dalam kalangan masyarakat kita. Untuk pengetahuan, masih ada ibubapa yang mementingkan adat. Sebagai contoh nak pilih pasangan mesti dari negeri yang sama dan sebagainya.

Sikap segelintir ibu bapa yang mementingkan diri sendiri begini telah menjadi sebab pasangan kahwin lari. Inikan zaman moden maka sudah tiba masanya untuk ibu bapa memberi kebebasan untuk anak mereka memilih pasangan masing-masing. Bukan adat yang menjadi ukuran untuk sebaliknya budi pekerti dan agama yang perlu dipentingkan. 

 

7 – Proses Kahwin Di Sempadan Lebih Mudah 

Proses perkahwinan di sempadan yang mudah turut menjadi sebab pasangan kahwin di sempadan. Bagi mereka proses berkahwin di Malaysia adalah rumit, sebab itu mereka mengambil keputusan untuk berkahwin lari. Tetapi apa yang mereka tidak tahu proses yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia adalah untuk mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari sebenarnya. Sikap segelintir pasangan yang acuh tidak acuh inilah yang akan menimbulkan masalah apabila mereka punya anak atau akan bercerai jika jodoh tidak panjang nanti. 

Jangan Terus Kahwin Di Sempadan Sebelum Tahu Akan  Risikonya

Kahwin di sempadan ini sebenarnya sah cuma bagi undang-undang perkahwinan negara ia tidak patut dilakukan kerana akan mendatang masalah yang lebih besar. Lagipula ada banyak risiko yang boleh berlaku. Sebagai contoh :

1 – Si wanita mungkin terpedaya dengan janji manis pasangan konon anak di ajak kahwin sedangkan cuma ingin bawa lari ke sempadan untuk tujuan pelacuran dan sebagainya.

2 – Pasangan mungkin dijanjikan untuk mudah berkahwin tetapi rupanya menjadi sindiket penipuan.

3 – Pasangan terlajak teruja hingga tidak tahu kena daftar semula di dalam negara. Akhirnya perkahwinan membawa masalah apabila surat beranak untuk anak tidak dapat dikeluarkan kelak.

Sesungguhnya kahwin lari atau kahwin di sempadan ini lebih banyak keburukan berbanding dengan kebaikan. Perkahwinan di sempadan banyak risiko dan tidak boleh dijadikan jalan pintas untuk bernikah. Walaupun dalam Islam, seorang lelaki itu tidak akan dihalang untuk berkahwin di mana sekalipun termasuk berkahwin di sempadan tetapi janganlah terlalu mengikut perasaan. Kaji dulu segala baik buruk dan pandanglah jauh ke depan sebelum tersilap membuat keputusan.

Sumber :

My Metro

Baitulmuslim

Penulis: Siti Awadah

Siti Awadah

Minat menulis untuk pelbagai topik seperti kesihatan, keibubapaan, perhubungan, kecantikkan, makanan, travel, Islamik dan sebagainya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.