Air dicincang takkan putus, ini adalah pepatah melayu lama yang menggambarkan betapa hubungan kekeluargaan terutamanya adik-beradik  tidak akan terputus walau apa pun yang terjadi. Tidak dinafikan ada masanya kita akan bergaduh, bertengkar, salah faham, bermasam muka, dan berasa tidak puas hati.

Namun percayalah ianya takkan berlarutan dan berpanjangan. Lama-kelamaan perasaan marah dan tak puas hati akan hilang lalu diganti dengan perasaan rindu dan rasa bersalah.

Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan tips rapatkan hubungan adik beradik yang boleh diamalkan agar keluarga kita akan sentiasa bahagia dan harmoni tanpa perselisihan faham atau sengketa. Apa yang menarik, tips ini bukan sahaja perlu diamalkan oleh adik beradik sahaja malah semua ahli keluarga yang lain termasuk ibu bapa, menantu, ipar duai, biras, dan sebagainya.

air dicincang tidak akan putus

Sumber: Siraplimau

1. Ibu bapa jangan sesekali pilih kasih

Jika kita inginkan hubungan yang erat di antara anak-anak, jangan sesekali amalkan sikap pilih kasih. Sikap pilih kasih pada ibu bapa akan menyebabkan anak berasa kecil hati dan berdendam. Ini akan menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang.

2. Ibu bapa jangan libatkan diri bila anak bergaduh

Apabila anak-anak bergaduh, ibu bapa jadi sebagai pemerhati dan perhatikan dari jarak jauh sahaja. Jangan libatkan diri. Didik anak untuk menyelesaikan masalah di antara adik beradik dengan sendiri. Namun apabila keadaan menjadi semakin teruk dan tiada jalan penyelesaian, baru masanya untuk ibu bapa masuk campur tanpa memenangkan mana-mana pihak.

3. Ibu bapa jangan biasa arahkan yang besar mengalah dengan yang kecil

Biasanya bila ada pergaduhan, ibu bapa akan mengarahkan anak besar untuk mengalah dengan adik yang kecil. Ini adalah silap besar yang biasa dilakukan ibu bapa. Cara yang lebih tepat ialah arahkan pihak yang salah untuk mengalah dan minta maaf. Ini adalah yang terbaik untuk mengeratkan hubungan di antara anak-anak agar tiada dendam di antara mereka.

"

4. Jangan tanam sikap cemburu pada adik beradik yang lain

Perasaan cemburu tidak dapat dielakkan dari diri kita. Lebih-lebih lagi bila ada adik beradik yang nampak lebih berjaya atau lebih disayangi berbanding diri kita. Jangan tanamkan perasaan cemburu malah didik hati untuk berasa gembira dan bangga dengan kelebihan yang ada pada adik beradik yang lain.

5. Belajar menjadi seorang yang memaafkan dan melupakan

Jika ingin mendapat hubungan adik beradik yang erat, kita perlu berkorban membuang ego diri untuk menjadi seorang yang pemaaf dan melupakan segala salah silap yang dilakukan oleh orang lain kepada kita. Melupakan adalah perkara yang  tak mudah namun ianya bukan sesuatu yang mustahil.

air dicincang tidak akan putus

Sumber: Studyfinds

6. Ipar duai jangan masuk campur dalam urusan keluarga pasangan

Walau apa pun yang berlaku, ipar duai selaku orang luar jangan sesekali masuk campur dalam urusan keluarga. Cukup sekadar menjadi pemerhati dan menasihati pasangan masing-masing secara diam-diam. Penglibatan ipar duai dalam sengketa keluarga adalah di antara punca masalah gagal untuk diselesaikan.

7. Jangan bercerita tentang ahli keluarga yang tiada semasa berkumpul beramai-ramai

Ini adalah tips eratkan hubungan adik beradik yang sangat penting. Jangan sesekali mengumpat atau bercakap buruk tentang adik beradik di hadapan ahli keluarga yang lain. Ianya akan menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang. Lagi pun secara logiknya, tak mustahil mereka akan bercakap buruk tentang kita semasa kita tiada. Ia akan menjejaskan keharmonian keluarga.

8. Jika ada salah faham, usaha untuk diselesaikan dengan kadar segera

Tak ada keluarga yang diuji dengan masalah. Pergaduhan, salah faham, bertengkar adalah lumrah biasa. Namun apa yang membezakan di antara keluarga bahagia atau sebaliknya ialah ahli keluarga yang bahagia akan menyelsaikan salah faham dengan kadar segera. Jika anda nakkan hubungan adik beradik yang erat, jangan dibiarkan pergaduhan berlarutan untuk tempoh yang lama.

9. Selalu ingatkan diri bahawa kita adik beradik adalah sedarah sedaging

Ingatlah bahawa walau apa pun yang terjadi kita adik beradik adalah sedarah sedaging. Kita datang dari benih ibu bapa yang sama. Kita keluar dari rahim ibu yang sama malah kita disusukan dan dibesarkan oleh ibu yang sama. Tiada manusia lain di dunia yang layak untuk kita sayang selain adik beradik. Ada masanya mungkin kita terlalu kecil hati atau terluka dengan apa yang terjadi namun kalau kita ingat akan perkara ini, pastinya hubungan adik beradik akan erat semula.

10. Selalu ingatkan diri bahawa satu hari apabila ibu bapa sudah tiada, cuma tinggal kita adik beradik

Tips rapatkan hubungan adik beradik yang terakhir ingin kami kongsikan ialah dengan cara selalu mengingatkan diri bahawa satu hari nanti kedua ibu bapa kita akan meninggal dunia. Mereka berdua tidak aka nada bersama kita selama-lamanya. Apabila kedua mereka tiada lagi di dunia, apa yang tinggal hanyalah adik beradik kita. Adik beradiklah saudara sedarah sedaging yang akan sentiasa ada bersama kita di saat susah dan senang. Merekalah tempat kita menumpang kasih dan berkongsi kerinduan kepada ibu bapa yang tiada lagi. Jika kita adik beradik selalu ingat akan perkara ini, insya Allah hubungan kekeluargaan akan menjadi erat.

air dicincang tidak akan putus

Sumber: Jomfaham

Itulah dia info tentang air dicincang takkan putus beserta tips rapatkan hubungan adik beradik yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang tazkirah pendek  hukum gantung gambar keluarga, dan ciri-ciri keluarga bahagia

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.