Biarpun sudah bercerai, tanggungjawab bapa terhadap nafkah anak sememangnya tidak dapat dinafikan. Dalam Al-Quran lagi telah dijelaskan bahawa ia adalah satu kewajipan yang harus dilaksanakan oleh seorang bapa.

Sekiranya mengikut susunan tertib wali, tanggungjawab membayar nafkah tetap jatuh kepada bapa kandung dan kaum kerabat lelaki sebelah bapa juga. Selain tanggungjawab dalam agama, ia juga sangat sah dan tepat di sisi undang-undang.

Disebabkan itu juga, komuniti, masyarakat dan organisasi yang terlibat mempertahankan hak nafkah anak sering dirujuk. Salah satunya adalah mahkamah syariah yang akan membantu setiap proses dan urusan tuntutan nafkah anak.

Hukum Beri Nafkah Kepada Anak

tuntutan nafkah anak
Imej via [bharian]

Sabda Nabi SAW, daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.” (Riwayat Abu Daud – 1692)

Jelaslah bahawa nafkah bapa terhadap anak adalah wajib dari segi hukum. Selepas anak berusia 18 tahun, bapa tidak wajib lagi memberikan nafkah kepada anak. Anak juga sudah mampu berdikari, bekerja dan boleh menggunakan tenaga serta kudrat untuk berusaha sendiri.

Tuntutan Nafkah Anak Dari Segi Perundangan

tuntutan nafkah anak
Imej via [bharian]

Berdasarkan perundangan Islam Malaysia, mahkamah akan menentukan jumlah dan banyak mana nafkah yang harus diberikan oleh seorang bapa kepada anaknya. Ia akan dilihat berdasarkan jumlah anak dan komitmen bapa. Namun, terdapat beberapa cara dalam mendapatkan tuntutan nafkah buat anak.

Seksyen 73(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2004 memperuntukkan bahawa bapa wajib memberi nafkah kepada anaknya sama ada tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan dan pelajaran berdasarkan kepada taraf kehidupan dan kemampuan biarpun anaknya dibawah jagaan orang lain atau tinggal bersamanya. Oleh sebab itulah, keluarnya perintah pembayaran nafkah kepada anak-anak.

Kesan Mengabaikan Tuntutan Nafkah Anak

tuntutan nafkah anak
Imej via [promenad]

Sekiranya semua sudah jelas dan suami sudah tahu akan tuntutan nafkah anak yang harus diberikan, suami harus mengikut perintah mahkamah. Sekiranya ingkar, ia merupakan satu penghinaan kepada mahkamah. Berdasarkan seksyen 133, mahkamah akan mengenakan denda atau penjara jika tuntutan nafkah anak ini diabaikan (sekiranya permohonan perintah nafkah untuk tujuan ini dibuat oleh isteri). Nafkah anak akan dikira sebagai hutang jika adanya perintah mahkamah.

Jika difikirkan logik, anak-anak yang membesar tanpa nafkah dari seorang bapa juga sama seperti anak yang telah diabai dan teraniaya. Bapa bukan sahaja menerima hukuman di dunia, tetapi juga hukuman di akhirat kelak. Pelajaran dan kehidupan anak mungkin akan ketinggalan belakang dari orang lain.

Perintah Pelaksanaan Tuntutan Nafkah Anak

tuntutan nafkah anak
Imej via [maskulin]

Isteri boleh membuat permohonan kepada pihak Mahkamah untuk pelaksanaan perintah mendapatkan hak anak-anak. Ia bertujuan untuk memastikan perintah nafkah ini berkuatkuasa dan perlu dilaksanakan oleh suami atau bapa tersebut.

Menurut Enakmen Tatacara Mal Negeri Melaka 2002, di bawah Aturan 159 Enakmen Tatacara Mal Negeri Melaka 2002, pelaksanaan tuntutan nafkah atau tindakan penguatkuasaan penghakiman boleh dibuat berdasarkan beberapa cara berikut.

1. Perintah Penyitaan Dan Penjualan

Mahkamah mempunyai kuasa untuk memerintahkan harta-harta alih milik suami disita dan dijual secara lelong. Hasil jualan harta tersebut akan diberi kepada anak-anak sebagai bayaran nafkah.

2. Prosiding Garnismen

Mahkamah memerintahkan supaya harta kepunyaan suami yang dipegang atau dimiliki oleh pihak ketiga ditahan dan dijual. Sekiranya suami tiada harta, maka apa-apa hutang yang perlu dibayar oleh pihak ketiga kepada suami akan diberikan kepada anak sebagai bayaran nafkah.

3. Perintah Pengkomitan

Mahkamah akan merampas dan menyerahkan barang-barang suami kepada isteri. Isteri boleh menjual barang-barang tersebut untuk mendapatkan bayaran nafkah anak-anak.

4. Perintah Penahanan Pendapatan

Mahkamah akan menahan pendapatan suami dan mempunyai prosedur yang teratur untuk terus diberikan sebagai nafkah anak. Nafkah anak akan diberikan terus dari pemotongan gaji bekas suami.

Isteri perlu membuat permohonan yang paling sesuai untuk tuntutan nafkah anak terhadap suami. Pastikan ia benar-benar berkesan dan efektif. Keempat-empat tindakan ini adalah tindakan yang akan diambil oleh mahkamah supaya perintah akan dipatuhi oleh bekas suami. Mereka wajib mematuhi apa sahaja perintah yang telah mahkamah tetapkan.

tuntutan nafkah anak
Imej via [islami]

Cara Memfailkan Tuntutan Nafkah Anak

Cara memfailkan tuntutan nafkah anak tidaklah sukar jika anda fahami prosedur dan caranya. Prosedur menjadi lebih mudah sekiranya anda tahu jumlah atau kedudukan harta bekas suami. Jika tidak, pihak mahkamah akan membuat kira-kira berdasarkan kemampuan bekas suami dan keperluan anak-anak.

  • Tempat Membuat Tuntutan Nafkah Anak

Selalunya, tuntutan nafkah anak akan dibuat di mahkamah syariah berdekatan dengan tempat pemohon bermastautin. Ia akan memudahkan isteri untuk menguruskannya pada bila-bila masa yang diperlukan.

  • Bawa Dokumen Yang Lengkap Dan Tepat

Terdapat beberapa dokumen penting wajib anda bawa ke mahkamah untuk membuat permohonan tuntutan nafkah anak. Antara dokumen yang diperlukan adalah kad pengenalan, surat beranak atau sijil pengangkatan, sijil nikah dan sijil cerai, serta dokumen sokongan yang dapat membantu sokongan tuntutan nafkah anak.

Pihak mahkamah akan mengambil sedikit tempoh masa bagi memproses dan akan maklumkan kepada pemohon semula. Jangan risau, ia akan berjalan dengan lancar sekiranya dokumen yang diberikan adalah lengkap dan tepat.

tuntutan nafkah anak
Imej via [kantorpengacara]

Kenal pasti cara tuntunan nafkah anak yang betul dan ambillah pendapat daripada pihak mahkamah sebelum memfailkan tuntutan. Semoga panduan dan maklumat yang dikongsikan ini bermanfaat buat anda. Jom baca juga Anak tak sah taraf (dari segi perundangan), Tempat lihat anak bulan (Panduan lengkap) dan Tuntutan hak penjagaan anak.

Rujukan:

  1. sistersinislam
  2. jbg
  3. muftiwp

Penulis: zulrina

Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.