Nak tahu tugas suri rumah? Penat tahu sebenarnya.

‘Tangan yang menghayun buaian, mampu menggoncangkan dunia.’ Itulah gambaran paling sesuai yang boleh diberikan tentang kekuatan seseorang wanita. Dengan kudrat yang tak seberapa berbanding kaum lelaki, wanita boleh mentadbir rumah tangga dengan cemerlang.

Sebagai pembantu suami menguruskan rumah tangga, kaum wanita yang tak bekerja ni tiada bezanya dengan wanita bekerjaya. Malahan, tugas mereka bermula dari saat celik mata sehinggalah nak masuk tidur.

Jadi, kali ni penulis ingin kongsikan penatnya tugas suri rumah. Tanpa mengeluh dan mengenal erti penat, mereka tetap menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu dengan baik. Cukuplah jadikan ibu atau nenek kita sebagai contoh terbaik.

Selagi mampu mereka akan memberikan sepenuh tenaga demi keluarga tersayang. Walaupun kurang sihat, mereka tetap akan gagahkan diri menyiapkan makanan untuk anak-anak dan suami. Jika melayan rasa sakit, jawabnya tak berasaplah dapur.

Oleh itu, jangan pandang enteng profesion sebagai seorang suri rumah. Walaupun tak membantu dari segi kewangan suami, namun banyak jasa mereka yang tak mampu dibalas. Jika suami bergaji tinggi, tak menjadi masalah. Suami boleh mengupah tukang gaji untuk membantu kerja rumah.

Bagi yang mempunyai masalah kewangan, ada isteri yang menjual kuih, pakaian secara online dan macam-macam lagi. Bayangkan sambil menguruskan kerja rumah yang tak pernah habis, mereka mampu menjadi ‘superwoman’ demi keselesaan anak-anak.

Jom lihat senaraikan beberapa tugas suri rumah penting yang selalu dilakukan oleh suri rumah. Semua tugas ni bermula dari seawal pagi hinggalah tengah malam. Jom baca!

#1 Siapkan Anak ke Sekolah

Jika anak yang bersekolah sesi pagi, para ibu perlu menyiapkan sarapan dan bekal makanan untuk anak-anak. Usai solat subuh, bermulalah rutin harian suri rumah. Jika anak-anak menaiki bas sekolah, mereka perlu siap sebelum bas sekolah tiba.

#2 Siapkan Suami ke Tempat Kerja

Biasanya fokus suri rumah lebih kepada anak-anak yang masih kecil. Sarapan untuk suami juga harus disiapkan. Ada suami yang suka membawa bekal untuk menjimatkan kos. Oleh itu, makanan yang sedikit berat perlu dimasak seperti mi goreng, nasi goreng atau nasi lemak.

Biasanya bahan-bahan untuk dimasak telah disiapkan malam sebelumnya. Setelah semuanya selesai, barulah para isteri boleh berehat sebentar.

#3 Mengemas Rumah

Dalam pukul 10.00 pagi misalnya, bermulalah aktiviti mengemas dan membersihkan rumah. Ini termasuklah menyapu dan mengemop lantai. Mengemaskan barang-barang atau permainan anak-anak yang bersepah.

Bilik tidur anak-anak perlu dikemaskan. Bilik air juga perlu dicuci. Jika ada bela binatang peliharaan seperti kucing, perlu diberi makan dan membersihkan sangkar. Segenap ruang rumah perlu dibersihkan iaitu halaman, ruang tamu, dapur, bilik air dan bilik tidur.

#4 Membasuh dan Menyidai Pakaian

Pakaian-pakaian kotor mestilah dibasuh setiap hari. Lebih-lebih lagi pakaian sekolah anak-anak dan uniform kerja suami. Pakaian yang telah dibasuh perlu disidai ketika cuaca sudah mula panas. Lebih kurang pukul 3.00 atau 4.00 petang, pakaian yang kering akan diangkat.

#5 Menyiapkan Makan Tengah Hari

Agar suami dan anak-anak yang pulang nanti tak kelaparan, makanan tengah hari perlu disediakan. Ada anak-anak yang cerewet, ada masalah alahan atau kesihatan. Bagi anak-anak ni, makanan yang lain perlu disediakan.

Anak-anak yang pulang dari sekolah pada sesi pagi akan diberikan makan tengah hari, mandi dan bersiap sedia pula untuk ke sekolah agama atau pusat tuisyen.

#6 Membersihkan Dapur

Setelah siap memasak, dapur perlu dibersihkan agar bersih dan tak berminyak. Sementara menanti kepulangan suami dan anak-anak, mereka akan membersihkan diri dulu.

#7 Melipat Kain Baju

Waktu terluang yang ada digunakan untuk menonton televisyen sambil melipat kain baju yang telah kering. Jika tiada sebarang kerja yang nak dibuat, biasanya ada yang membaca buku, menjahit, menanam pokok bunga dan sebagainya. Ada yang terus terlelap.

Bagi anak-anak yang bersekolah sesi petang, ibu mereka akan menyediakan makan malam yang lebih awal. Ini kerana mereka perlu menyiapkan kerja sekolah dan sebagainya.

Masa yang terluang digunakan untuk menggosok uniform sekolah anak-anak dan baju kerja suami. Pagi-pagi nanti taklah kelam kabut nak cari baju.

#8 Melayan Suami Pulang Kerja

Lewat petang biasanya ada suami yang sudah pulang dari tempat kerja. Selepas mandi, para isteri akan menyiapkan hidangan buat suami. Jika rajin, ada juadah lain seperti kuih-muih, biskut atau kek dibuat.

#9 Menyemak Kerja Sekolah dan Mengajar Anak

Dengan bantuan suami, para isteri akan mengajar anak-anak membuat kerja sekolah, menyemak dan memantau mereka. Jika ada aktiviti di sekolah keesokan harinya, mereka akan memastikan anak-anak tak ketinggalan membawa barang yang disuruh oleh guru. 

#10 Tugas-Tugas Lain

Jika pada hujung minggu dan cuti sekolah, tugasan harian si ibu mungkin sedikit berubah. Mereka tak perlu menyiapkan persiapan anak ke sekolah. Namun, aktiviti lain akan dibuat agar anak-anak gembira.

Mungkin mereka perlu masak lebih sedikit. Anak-anak yang sedang membesar memang suka makan lagi-lagi kek dan biskut. Ada suri rumah yang perlu menghantar anak-anak ke pusat tuisyen atau kelas lukisan.

Ada juga yang tak menggunakan khidmat bas sekolah. Mereka lebih selesa membawa anak ke sekolah. Semua ni bergantung kepada kemampuan suri rumah tersebut.

Kesimpulan

Anda bersetuju tak, kalau dikatakan bahawa tugas suri rumah tak semudah yang disangka. Jika ada tukang gaji, suami yang kaya, rasanya tiada masalah. Bagaimana dengan keluarga yang hidup sederhana dan susah?

Oleh itu, kita mestilah menghargai kaum wanita yang bersusah-payah mentadbir sesebuah keluarga. Anak-anak perlu mengasihi dan menghormati ibu mereka. Manakala, suami pula hargailah pengorbanan isteri selama ini.

Merekalah yang sanggup melahirkan anak-anak, membuat segalanya untuk keluarga tercinta. Hormat dan sanjungilah para suri rumah di seluruh dunia.

Jemput juga abc artikel kehebatan menjadi suri rumah cara kemas rumah dan kemas rumah cara Konmari

 

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.