Nak cari cara membuat bawang goreng?

Bawang sering digunakan sebagai bahan utama dalam kebanyakan masakan di dunia. Di negara kita sendiri, penggunaan bawang merupakan perkara ‘wajib’ dalam masakan. Tak kiralah dalam masakan Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Selain memberikan aromanya yang tersendiri, penggunaan bawang dapat memberikan rasa manis semula jadi dalam masakan. Oleh itu, jika hendak kurangkan penggunaan gula, anda boleh memasukkan lebih banyak bawang dalam masakan. Lebih sihat dan sedap.

Oleh itu, dalam artikel ni, penulis ingin berkongsi tentang bawang. Bukan jadi makcik bawang ya! Tentunya kita biasa memasukkan bawang goreng dalam sup, soto, bakso, nasi ayam, nasi biryani dan banyak lagi.

Ada yang menaburnya di dalam sup atau kuah. Ada pula yang menjadikan bawang goreng sebagai hiasan untuk menyerikan lagi masakan. Yang pastinya bila ada bawang goreng yang crispy dan manis, lebih bertambah selera jadinya.

Kadangkala, kita malas nak mengupas bawang dan menggorengnya. Cara mudah, beli saja bungkusan bawang goreng yang siap digoreng di kedai. Namun, kebanyakan bawang goreng tu kurang sedap, tengik, lemau dan tawar.

"

Apa kata kita rajinkan diri membuat bawang goreng di rumah? Rasanya lebih enak, bersih dan selamat. Buat para pembaca yang dikasihi, penulis akan memberikan tips cara membuat bawang goreng lebih crispy dan tahan lama. Jom baca!

bawang goreng

#1 Gunakan Bawang Kecil

Untuk membuat bawang goreng yang sedap dan crispy, anda mestilah menggunakan bawang kecil. Jangan gunakan bawang besar atau bawang bombay. Ini disebabkan bawang besar mengandungi kandungan air dan kelembapan yang lebih tinggi. Hasilnya, bawang goreng anda susah nak crispy.

#2 Pastikan Bawang Segar

Untuk mendapatkan bawang goreng yang sedap dan rangup, gunakan bawang yang segar dan muda. Jangan gunakan bawang yang hampir rosak atau sudah tumbuh tunas pokok.

#3 Tak Perlu Dibasuh

Seelok-eloknya, pastikan bawang kecil yang nak digoreng sentiasa kering. Setelah mengupas kulit bawang, cukup sekadar mengelapnya dengan tisu atau kain lembap. Apabila anda membasuhnya, air akan terperangkap dalam pusaran isi bawang.

Air tersebut akan menyebabkan bawang yang digoreng lambat garing dan mudah lemau. Jika disimpan, ia akan berkulat.

#4 Jemur Di Luar

Jika anda tak yakin dengan kebersihan bawang yang dibeli, anda boleh membasuhnya selepas kulitnya dikupas. Kemudian, jemur di luar semasa cahaya matahari terik. Fungsinya supaya air akan terserap dan bawang akan sentiasa kering.

Anda juga boleh terus menghirisnya selepas dibasuh. Kemudian, masukkan ke dalam dulang yang besar atau dikeringkan di atas surat khabar. Setelah benar-benar kering, anda boleh terus menggorengnya.

#5 Hiris Halus-Halus

Perkara ni perlu dititikberatkan. Untuk mendapatkan bawang goreng yang masak sekata dan crispy, anda perlu menghirisnya halus-halus. Cara terbaik adalah menggunakan penghiris atau dikenali sebagai mandoline slicer.

Jika menggunakan pisau, takut nanti saiz bawang yang dihiris tak sama. Akibatnya nanti ada pula bawang yang terlebih masak dan ada yang masih mentah. Selain itu, penggunaan alat ni juga dapat menjimatkan masa.

#6 Arah Hirisan Bawang

Sebenarnya tanpa kita sedar, selama ni ada antara kita salah cara menghiris bawang. Termasuklah penulis sendiri. Bawang perlulah dihiris dari arah akar ke pucuk iaitu dari bawah ke atas dan bukannya dari sisi ke sisi.

#7 Salut dengan Tepung Beras dan Tepung Jagung

Selepas dihiris halus-halus, anda boleh golek-golekkannya di tisu terlebih dahulu untuk membuang lebihan air. Kemudian, campurkan sedikit tepung beras dan tepung jagung. Jangan tambah air seperti nak buat goreng pisang atau cekodok.

Terus saja masukkan hirisan bawang dan gaul sekata. Kemudian, anda bolehlah memulakan proses menggoreng.

#8 Campurkan Bawang dengan Garam

Jika tak nak gunakan tepung, anda boleh campurkan hirisan bawang dengan sedikit garam. Garam dapat menyerap kandungan air yang terdapat dalam bawang. Oleh itu, jika tak mahu bawang menjadi terlalu kering, tambahkan garam ketika hampir nak menggoreng.

#9 Gunakan Periuk atau Kuali

Gunakan periuk atau kuali yang mempunyai kedalaman. Jangan sesekali gunakan pan kerana minyak tak dapat bertakung dengan banyak. Selain itu, pan akan mudah panas kerana fizikal dan saiznya yang lebih kecil.

#10 Goreng dengan Minyak yang Banyak

Pastikan anda menuang minyak yang agak banyak sehingga hirisan bawang mampu tenggelam. Jika kurang minyak, bawang akan mudah hangus. Ketika proses menggoreng, gunakan senduk atau penapis untuk mengacau bawang.

Ini dapat membantu menenggelamkan hirisan bawang dan ia akan masak sekata. Apabila suhu minyak meningkat, air yang terdapat pada bawang akan tersejat dan mula menguning. Apabila warnanya sudah sekata, anda boleh mengangkatnya.

Paling penting, pastikan api sentiasa berada pada suhu rendah. Jika api terlalu tinggi, bawang akan cepat masak. Namun, ia akan menjadi berminyak, lembik, hangit dan pahit.

#11 Gunakan Penapis

Bawang yang telah siap digoreng, perlulah dikeluarkan menggunakan penapis. Goncang penapis beberapa kali untuk mengeluarkan lebihan minyak. Jangan terus letakkan di atas pinggan. Dikhuatir minyak yang bertakung akan membuat bawang menjadi lembik.

#12 Serap Bawang Goreng Menggunakan Tisu

Setelah ditapis, alas pinggan menggunakan sehelai tisu (kitchen towel). Serakkan bawang tersebut dan biarkan sehingga sejuk. Jangan longgokkan bawang yang digoreng di satu bahagian yang sama.

#13 Simpan dalam Bekas Kedap Udara

Setelah betul-betul sejuk, anda bolehlah menikmatinya dengan bubur, sup dan sebagainya. Jangan lupa simpan baki bawang goreng ke dalam bekas kedap udara supaya ia kekal crispy dan tahan lama.

Kesimpulan

Mudah bukan? Anda juga boleh menggunakan tips yang sama untuk menggoreng bawang putih. Jika ada yang dah cuba tips cara membuat bawang goreng yang dikongsikan ni, jangan lupa ceritakan pengalaman anda kepada kami. Selamat mencuba!

Jemput juga baca artikel tentang cara potong daging dan jenis rempah ratus

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.