Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya di dunia. Yang tinggal hanya 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak-anak yang soleh.

Begitu hebatnya amalan bersedekah sehingga kita tetap akan dapat ganjaran walau dah meninggal dunia.

Menurut Islam, bersedekah ialah pemberian ikhlas dengan hati yang bersih tanpa mengharapkan balasan. Tujuan utama bersedekah ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dan mencari keredhaan.

Secara umumnya, sedekah dibahagikan kepada 2 jenis iaitu yang wajib (fardhu) dan yang sunat. Jika yang wajib ia dikenali sebagai pengeluaran zakat. Manakala bagi sedekah sunat, ia amatlah dituntut oleh agama untuk membantu orang yang memerlukan.

Penganut Islam yang kaya-raya mahupun miskin amat digalakkan untuk bersedekah mengikut kemampuan mereka. Kita dianjurkan memberi sedekah barangan dan pertolongan yang diperlukan oleh penerima. Misalnya wang belanja, makanan, tempat tinggal, pendidikan dan sebagainya.

Setelah memberi sedekah, janganlah diungkit-ungkit pemberian tu. Malahan, jangan pula disampaikan kepada orang lain dengan niat untuk menunjuk-nunjuk. Walaupun anda bersedekah, akhirnya ia akan menjadi sia-sia.

"

Dalam penulisan kali ni, penulis ingin berkongsi kelebihan bersedekah. Semoga kita semua akan mendapat pengetahuan yang berguna.

#1 Penghapus Dosa

Setiap manusia tak lari daripada melakukan dosa sama ada besar atau kecil. Dengan amalan bersedekah, kita dapat menghapuskan dosa-dosa kita yang lepas. Walau bagaimanapun, kita haruslah bertaubat nasuha dan berazam tak akan mengulanginya.

#2 Diberikan Pahala yang Berganda

Orang yang suka bersedekah amat dikasihi oleh Allah kerana niat mereka untuk mendekatkan diri dengan-Nya. Oleh itu, amalan yang baik ni mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

#3 Dijauhkan dari Neraka

Kebaikan bersedekah tak diukur dengan berapa besar jumlah pertolongan yang diberikan. Jika kita bersedekah dengan ikhlas, walaupun hanya dengan pertolongan yang kecil, ganjarannya tetap tinggi.

Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

“Jagalah diri kalian dari api neraka, meski hanya dengan bersedekah sepotong kurma.”

(Hadis Sahih, Riwayat Bukhari dan Muslim)

#4 Dilapangkan Kuburnya

Orang yang suka bersedekah diberikan kelapangan di dalam alam barzakh. Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

“Sesungguhnya sedekah itu benar-benar akan dapat memadamkan panasnya alam kubur bagi penghuninya, dan orang mukmin akan bernaung di bawah bayang-bayang sedekahnya.”

Hadis Riwayat at-Thabrani

#5 Rezeki Semakin Murah

Allah berjanji tidak akan miskin orang yang suka bersedekah. Walaupun kita memberi bantuan kewangan kepada orang lain, harta kita tak akan susut. Malah, Allah membuka pintu rezeki dan kekayaan kepadanya di samping pahalanya bertambah.

#6 Pahala yang Berterusan

Jika semasa hidupnya, orang itu pernah mewakafkan tanahnya untuk dijadikan surau atau rumah anak-anak yatim, selagi mana tanah tu digunakan, pahalanya tetap akan mengalir.

Walaupun orang itu telah lama meninggal dunia, selagi tanahnya dimanfaatkan, dia tetap akan memperoleh pahala yang tak akan putus.

#7 Terhindar dari Bala

Sedekah dapat menjauhkan kita daripada mala petaka dan kejahatan. Apabila kita bersedekah, kita telah meringankan beban orang yang dalam kesusahan. Jika mereka mendoakan kita, kita akan sentiasa dijaga oleh Allah.

#8 Dibukakan Pintu Syurga

Cara yang paling mudah untuk ke masuk ke dalam syurga ialah dengan bersedekah. Yang paling utama anda mengerjakan segala suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Jika kita suka bersedekah dengan ikhlas, tanpa ada perasaan riak dan mengharapkan balasan, Allah akan membukakan pintu syurga.

#9 Panjang Umur

Orang yang suka bersedekah akan dipanjangkan umurnya seperti sabda Nabi Muhammad S.A.W:

“Sesungguhnya sedekahnya orang Muslim itu dapat menambah umurnya, dapat mencegah kematian yang buruk, Allah akan menghilangkan darinya sifat sombong, kefakiran dan sifat bangga pada diri sendiri.”

Hadis Riwayat at-Thabrani

#10 Ketenangan Jiwa

Orang yang suka bersedekah akan sentiasa berasa tenteram, bahagia dan gembira. Walaupun dalam kesusahan, dia mampu tersenyum kerana yakin Allah ada untuknya. Mereka sentiasa berasa cukup dengan apa yang dimiliki.

#11 Disenangi Ramai Orang

Disebabkan sikap suka bersedekah tanpa mengharapkan balasan dan menderma senyap-senyap, mereka mudah disenangi oleh orang. Raut wajah mereka juga nampak berseri-seri dan sedap mata memandang.

#12 Didoakan oleh Malaikat Setiap Hari

Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

“Tidak ada hari yang disambut oleh para hamba melainkan di sana ada dua malaikat yang turun, salah satunya berkata, “Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang-orang yang berinfaq (sedekah) sedangkan (malaikat) yang lainnya berkata, “Ya Allah, berikanlah kehancuran kepada orang-orang yang menahan (hartanya).”

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

#13 Membuang Sikap-Sikap Buruk

Bersedekah dapat membersihkan hati dan jiwa serta membuang sikap-sikap buruk dalam diri. Allah berfirman:

“Ambillah zakat dari sebahagian, harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka.”

QS at-Taubah: 103

Orang yang rajin bersedekah akan merasai nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada mereka. Dengan nikmat yang diberikan ini, mereka lebih gemar bersedekah dengan ikhlas. Apakah nikmat-nikmat tersebut?

  1. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah semakin meningkat.
  2. Meningkatkan empati kepada orang yang susah dan memerlukan.
  3. Terhindar daripada sikap kedekut.
  4. Kehidupan yang lebih berkat, keluarga yang bahagia dan anak-anak yang cemerlang.

Kesimpulan

Kesimpulannya, amalan bersedekah begitu banyak kelebihan dan manfaatnya kepada diri kita dan orang lain. Jika berkemampuan, jangan kedekut untuk bersedekah. Allah menjanjikan tempat yang paling mulia dan tertinggi bagi orang yang suka bersedekah.

Jika ada ahli keluarga yang dalam kesusahan, jangan biarkan mereka terus menderita. Bantulah setakat yang mampu dengan seikhlasnya. Penulis mendoakan agar kita semua diberikan hati yang pemurah untuk bersedekah.

Semoga artikel ni membuka pintu hati anda untuk berubah menjadi manusia yang lebih baik. Senyum juga satu sedekah. Jangan lupa memberikan senyuman kepada semua orang. Jemput juga baca artikel jenis-jenis sedekah kelebihan sedekah dan konsep rezeki

Moga bermanfaat.

Rujukan

 

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.