Sebagai penganut agama Islam, kita diwajibkan mencari rezeki dari sumber yang halal. Malah, penulis juga percaya bahawa ajaran agama-agama lain di dunia ini juga amat mementingkan usaha mencari nafkah dengan cara yang baik.

Oleh itu, untuk mendapatkan keberkatan dalam mencari rezeki, kita hendaklah berusaha dan bekerja dengan hasil titik peluh dan tangan kita sendiri. Setiap rezeki yang kita peroleh dan belanjakan itu akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak.

Berdasarkan hadis daripada Ibn Mas’ud R. Anhuma, Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

“Kaki anak Adam akan tetap tegak berdiri di sisi tuhannya pada hari kiamat, hingga dia ditanya tentang 5 perkara iaitu: tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan, dan dalam hal apa (hartanya tersebut) dia belanjakan dan apa sahaja yang telah dia lakukan dari ilmu yang dimilikinya.”

Riwayat al-Tirmizi (2416)

Dalam artikel ini, penulis akan senaraikan 10 punca kita hilang keberkatan rezeki. Marilah kita tarbiyah diri sendiri, mana tahu ada perkara yang kita terlepas pandang. Jangan pula rezeki yang haram menjadi darah daging kita.

1. Jauh dari Allah

Apabila kita semakin jauh dari Allah yang memberi nikmat rezeki, itu petanda utama bahawa rezeki kita tak berkat. Sebagai hamba-Nya yang sepatutnya bersyukur dengan semua rezeki yang diberikan. Kita sepatutnya mematuhi semua suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Kita terlalu melebihkan dunia sehingga akhirat dilupakan. Solat 5 waktu lompong sana sini kerana sibuk mengejar harta duniawi. Apa yang difikirkan hanyalah cara untuk mendapat harta yang banyak sehingga lupa Allah yang memberi rezeki itu.

2. Abaikan Ibu Bapa

Kita jangan sesekali lupakan ibu bapa yang bersusah-payah membesarkan dan mendidik kita hingga berjaya. Sebagai anak yang bertanggungjawab kita perlu memuliakan ibu bapa dengan cara menghormati, memberi wang belanja, menjaga kebajikan dan sentiasa menyayangi mereka.

Apabila seorang ibu meninggal dunia, maka akan hilanglah satu keberkatan dalam hidup iaitu doanya. Walaupun kita berjaya atas usaha sendiri, namun jangan lupa doa seorang ibu sentiasa akan diangkat ke langit. Tanpa doa orang tua kita, kita tak akan ke mana.

3. Hubungan Kekeluargaan yang Renggang

Apabila kita semua masih kecil, adik-beradiklah tempat kita bergurau senda, gaduh-gaduh manja dan berkasih sayang. Jika dilahirkan dalam keluarga yang susah, kita sanggup berkongsi makanan. Tak sanggup membiarkan adik beradik tak cukup makan.

Itulah yang diajar oleh ibu dan ayah kita. Namun, apabila dah dewasa dan mempunyai kehidupan sendiri bersama keluarga, kita dah tak mula tak rapat dengan adik-beradik. Apabila hidup senang, kita pandang mereka dengan sebelah mata saja.

4. Kedekut Nak Bersedekah

Ada orang yang sangat susah nak membuat amal jariah misalnya dengan bersedekah. Wang yang dikumpul siang malam, disimpan elok-elok di dalam bank. Mereka risau jika kerap bersedekah lama-kelamaan wang mereka akan susut.

Sebenarnya tak akan miskin orang yang suka bersedekah. Membantu orang lain yang dalam kesusahan dapat menambah pahala kita. Selain itu, orang yang dibantu akan mendoakan kita. Tidak mahukah kita pahala percuma yang Allah beri selain doa orang lain?

5. Ada Masalah Hati

Ada orang yang mempunyai masalah hati yang sangat teruk. Mereka tak boleh tengok orang lain lebih, pastinya menjadi topik umpatan. Jika dah tak mampu menahan amarah, mereka sanggup membuat fitnah.

Apabila hidup dalam keadaan hati yang hitam, kita tak akan tenang. Bila tengok orang lain lebih senang, kita pun sanggup berbuat apa saja untuk mencapai tahap seperti tu.

Tanpa sedar, kita tersilap langkah dengan mengejar harta yang tak halal dengan cara menipu, mengambil riba, pecah amanah dan sebagainya.

6. Takbur dan Riak akan Diri Sendiri

Orang yang takbur atau sombong amat dibenci oleh Allah. Mereka menganggap diri mereka lebih berkedudukan tinggi dan berkuasa berbanding orang lain. Apabila menjadi majikan, mereka sering menekan pekerja bawahan. Pantang pekerja buat salah, habis mereka dikeji tanpa simpati.

Sifat riak yang ada dalam diri membuatkan mereka tak ikhlas ketika membuat ibadah atau kebaikan. Misalnya apabila bersedekah, mereka gemar mengungkit-ungkit pemberian dan mewar-warkan kepada orang lain.

7. Tak Jujur dalam Pekerjaan

Sebagai seorang pekerja atau juga majikan kita mestilah jujur ketika melakukan pekerjaan. Jika anda seorang peniaga, pastikan barangan yang dijual tak rosak, tak membawa mudarat dan ada timbangan yang betul. Paling penting jangan meletakkan harga yang tinggi.

Jangan ada jual beli yang melibatkan faedah. Malahan, sebagai pekerja kita perlulah menepati waktu kerja, tak curi tulang dan sentiasa bersifat amanah. Jangan pula sibuk bermain Facebook ketika waktu bekerja kecuali ketika sedang berehat.

8. Pekerjaan yang tak Diredhai Allah

Carilah pekerjaan yang diredhai oleh Allah. Jangan sesekali menjerumuskan diri dengan perniagaan yang melibatkan jenayah yang pastinya membawa mudarat. Pekerjaan yang baik ialah yang memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

9. Suka Merungut

keberkatan-rezeki

Imej via Bidadari

Sebagai manusia biasa, kita tak akan terlepas daripada ujian hidup. Ujian yang diberikan oleh Allah bertujuan untuk mengukur tahap keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah. Namun, ada orang yang suka merungut saban waktu.

Mereka mempersoalkan kenapa masalah ditimpakan kepada mereka. Akhirnya, mereka hilang kepercayaan kepada agama kerana iman yang rapuh. Terlalu banyak nikmat yang Allah turunkan tak pula disyukuri. Sedikit ujian yang diberikan buatkan mereka hilang arah.

10. Lebihkan Dunia, Lupakan Akhirat

Allah memberi pelbagai nikmat untuk manusia syukuri. Tak salah untuk membeli rumah yang besar dan kereta mewah. Malah, tak berdosa mengumpul kekayaan dengan susah-payah.

Namun, kita perlu seimbangkan antara dunia dan akhirat. Harta benda yang dikumpulkan perlu dikeluarkan zakatnya dan jangan lupa membantu orang yang memerlukan. Nikmat dunia boleh dicari dan ganjaran pahala di akhirat juga perlu dikejar.

Setakat ni saja perkongsian penulis tentang 10 punca hilang keberkatan rezeki. Kita mesti tanamkan dalam diri, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Semua yang dikumpulkan bukan milik kita seorang. Jika hati nak tenang, pastikan rezeki yang diperoleh berkat.

Antara kesan buruk jika rezeki tak berkat ialah:

a) Duit sentiasa rasa tak cukup.
b) Sering bergaduh dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan saudara-mara.
c) Istidraj iaitu pemberian nikmat yang banyak oleh Allah, namun tak diredhai-Nya.
d) Hati tak tenang dan tak bahagia.
e) Semakin jauh daripada Allah.
f) Tak rasa bersalah ketika melakukan dosa.

Semoga bermanfaat artikel punca hilang keberkatan rezeki ini. Jemput juga abca artikel tentang konsep rezeki dan punca kurang rezeki.

Rujukan

  • Maksud Rezeki Yang Baik https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3328-al-kafi-1231-maksud-rezeki-yang-baik .(link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.