Bagi ibu yang memerah susu untuk anak yang tersayang, adalah sangat penting untuk anda mengetahui cara simpan susu ibu dengan betul agar susu perahan kekal segar dan nutrisinya terjamin selain mengelakkannya daripada tidak tahan lama dan cepat rosak. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan cara simpan susu ibu yang terbaik.

cara simpan susu ibu
Sumber: Todaysparent

Apakah alatan yang anda perlukan?

Terlebih dahulu, anda perlu tahu apakah senarai alatan yang anda perlukan bagi memudahkan proses memerah dan menyimpan susu ibu. Di antara alatan paling asas yang anda perlukan ialah:

  • Pam susu. Anda boleh memilih pam elektrik atau pam manual mengikut bajet dan keselesaan anda. Selain itu, anda juga boleh memilih sama ada mahu menggunakan satu corong sahaja atau pun dua corong yang membolehkan anda mengepam kedua-dua payudara dalam satu masa. Jika anda tidak mempunyai pam susu, anda boleh memerah susu dengan tangan dengan kaedah marmet, namun ia akan mengambil masa yang lama dan agak memenatkan.
  • Bekas simpanan susu. Anda boleh pilih untuk menyimpan susu dalam botol atau plastik khas untuk susu ibu. Pastikan anda pilih bekas yang berlabel BPA free. Pastikan juga bekas menyimpan susu yang digunakan adalah khas untuk menyimpan susu perahan sahaja dan tidak digunakan untuk mengisi barang lain.
  • Cooler bag iaitu beg untuk menyimpan susu perahan sementara anda sampai ke rumah. Ia merupakan alatan yang sangat penting kerana ia akan memastikan susu anda kekal segar dan tidak rosak. Ada pelbagai jenis cooler bag di pasaran. Anda boleh pilih jenis mana yang mudah dibawa sama ada jenis sandang atau selempang di tepi badan.
  • Ice pack untuk diisi dalam cooler bag bagi memastikan cooler bag sentiasa penuh. Ada juga ibu yang menggunakan ais kering sebagai pengganti pek ais.
  • Sterilizer iaitu alat untuk merebus pam susu dan botol susu bagi memastikan ianya betul-betul bersih dan steril. Jika anda tidak mempunyai bajet untuk membeli sterilizer, boleh juga merebus dengan menggunakan periuk stainless steel yang ada di dapur.
cara simpan susu ibu
Sumber: Verywellfamily

Bagaimanakah cara simpan susu ibu dengan betul agar tahan lama, kekal berkhasiat, dan tidak cepat rosak?

Untuk memastikan susu perahan anda kekal segar dan tidak dijangkiti kuman dan bakteria, adalah sangat penting untuk anda menyimpan susu perahan dengan cara yang betul. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh anda lakukan:

  • Pastikan anda memerah susu dalam keadaan yang bersih bagi mengelakkan susu perahan daripada tercemar dengan habuk, kuman, dan bakteria.
  • Masukkan susu perahan ke dalam bekas simpanan dengan segera. Susu perahan yang disimpan dalam suhu bilik boleh bertahan selama 2-3 jam sahaja. Oleh itu pastikan anda tidak membiarkan susu perahan pada suhu bilik dengan terlalu lama.
  • Masukkan susu perahan ke dalam peti ais atau cooler bag sebaik sahaja anda selesai memerah. Jika anda menyimpan dalam peti sejuk di pejabat, jangan lupa untuk meletak label agar tidak tertukar dengan susu perahan orang lain.
  • Basuh pam setiap kali anda selesai mengepam susu. Jangan biarkan pam kotor dan susu kering sendiri kerana boleh menyebabkan pertumbuhan bakteria dan kulat pada komponen dan alatan mengepam.
  • Masukkan susu perahan ke dalam cooler bag sejurus sebelum anda keluar dari pejabat. Susu perahan yang disimpan dalam cooler bag boleh bertahan selama 24 jam.
  • Sebaik sahaja sampai di rumah, masukkan susu perahan ke dalam peti sejuk.
  • Susu perahan yang disimpan di bahagian bawah peti sejuk ( bukan beku ) boleh bertahan selama 3 hari.
  • Susu yang disimpan di bahagian sejuk beku boleh bertahan selama 3 sehingga 6 bulan.

Tips menyimpan susu ibu secara efektif

Berikut adalah tips menyimpan susu ibu secara efektif yang boleh anda lakukan bagi memastikan stok susu perahan anda terkawal, mengelakkan pembaziran, dan mengelakkan berakunya kejadian susu perahan anda rosak akibat tamat tempoh dan terpaksa dibuang. Apa yang anda perlu lakukan ialah:

  • Pastikan anda menyimpan jumlah susu dalam setiap bekas mengikut jumlah yang diminum oleh anak anda setiap kali menyusu. Sebagai contoh, jika anak anda minum 3 oz setiap kali menyusu, maka jumlah yang perlu anda simpan dalam setiap bekas ialah 3 oz. Ini kerana susu perahan yang telah dipanaskan perlu dibuang jika tidak habis diminum. Ia tidak boleh disimpan untuk kegunaan kemudian.
  • Labelkan setiap bekas simpanan dengan nama anak, tarikh, dan masa mengepam. Meletakkan nama adalah sangat penting terutamanya jika bayi anda tijaga oleh pengasuh atau taska, supaya tidak tertukar dengan susu anak yang lain.
  • Amalkan konsep first in first out ( FIFO ). Gunakan susu yang lama terlebih dahulu bagi mengelakkan berlaku kejadian susu rosak akibatb tamat tempoh. Jika anda mengamakka konsep FIFO, stok susu anda akan sentiasa baru kerana yang lama digunakan terlebih dahulu.
  • Semasa menyimpan susu dalam bekas simpanan, tinggalkan sedikit ruang untuk susu mengembang semasa proses pembekuan. Ini kerana susu akan mengembang semasa membeku. Jika anda isi sehingga penuh, tiada ruang untuk susu mengembang lalu memaksa penutup untuk terbuka lalu menyebabkan susu terdedah kepada kangkitan dan pencemaran.
cara simpan susu ibu
Sumber: Self

Itulah dia info tentang cara simpan susu ibu yang ingin kami kongsikan kepada anda pada hari ini. Semoga bermanfaat. Jika anda sukakan artikel ini anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang tips penyusuan susu ibu, masalah penyusuan susu ibu dan cara penyimpanan susu perahan.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.