Siapa di sini yang suka pakai tudung bawal? Penulis percaya kebanyakan pembaca bidadari.my suka pakai tudung bawal. Apa sebenarnya yang ada pada tudung bawal sehingga menjadi kegilaan para wanita tanpa kira peringkat umur.

Seingat penulis, tudung bawal mula terkenal pada awal tahun 2000. Ketika menyambung pengajian di sebuah universiti tempatan, kebanyakan pelajar suka memakai tudung bawal. Termasuk juga penulis!

Antara sebab ia digilai kerana senang dipakai dan nampak kemas. Walaupun ada yang mahal, namun ada juga yang cukup murah. Paling penting, wajah boleh berubah nampak lebih awet muda. Tak percaya? Cuba pakai.

Pada penulisan kali ini, penulis akan kongsikan beberapa cara untuk pakai tudung bawal agar kelihatan lebih glam dan cantik. Taklah asyik dengan gaya yang sama kan. Apa kata tukar gaya silang depan yang biasa dibuat dengan style yang lebih terkini.

Sebelum tu apa kata kita baca dulu serba sedikit sejarah tudung bawal ni. Kenapa nama ikan pula yang diberi?

Sejarah Tudung Bawal

Tudung bawal sudah mula diperkenalkan di negara kita pada tahun 1998. Asalnya tudung ini diperbuat daripada kain voile. Perkataan voile ini berasal dari Perancis yang kemudiannya ditukar kepada bahasa Melayu dengan nama glamournya ‘bawal’.

Jadi, tudung bawal tak ada kena-mengena dengan ikan bawal tau. Kain voile ini diperbuat daripada fabrik 100% kapas (cotton). Ada juga cotton yang dicampur dengan linen, polister atau sutera.

Kainnya sangat lembut dan mudah dibentuk. Itulah sebabnya tudung bawal tak pernah dimakan zaman. Pelbagai jenis tudung datang silih berganti, namun tudung bawal tetap mempunyai peminatnya tersendiri.

Tudung bawal berbentuk segi empat. Biasanya cara memakai tudung ini ialah dilipat menjadi bentuk segi tiga dan dipakai mengikut fesyen yang disukai. Kini, terdapat pelbagai jenis tudung bawal di pasaran dari segi corak dan jenis kain.

Kalau dulu, yang paling terkenal ialah jenis kain polos (plain). Namun, sekarang ada jenis corak, sulam dan batu tampal. Terdapat juga pelbagai jenis fabrik seperti chiffon, satin, georgette dan sebagainya.

Walaupun ada yang kata, fabrik-fabrik selain voile bukannya tudung bawal, namun tetap bawal juga yang akan disebut. Terpulang kepada pemahaman pembaca.

Cara Pakai Tudung Bawal

Jom tengok cara-cara memakai tudung bawal agar anda kelihatan lebih glam dan cantik. Pautan video di bawah memudahkan anda untuk mencubanya.

1.  Tudung bawal jadi shawl

(Tutorial Bawal Ala Shawl)

Minat pakai shawl tapi tak pandai nak belit-belit. Atau anda tak suka pakai peniti banyak sangat sampai rasa nak tercekik? Cuba tengok video ni. Pasti rakan-rakan pejabat ingat yang anda sedang pakai shawl. Cantik dan menjimatkan masa.

2. Gaya bertudung ala orang Arab

(Arabic Hijab Tutorial- Part 5)

Nak cantik macam wanita Arab? Apa kata anda cuba cara pakai tudung gaya mereka. Biasanya wanita Arab suka memakai tudung cotton jenis crumple (berkedut). Lebih mudah dan jimat masa. Anda tak perlu menggosok tudung sebelum memakainya. Hasilnya tetap elegan.

3. Gaya labuh menutup dada

(Tutorial Bawal Boleh Buat Shawl Labuh)

Bagi yang menitikberatkan soal aurat dan penampilan diri, anda masih boleh bergaya. Yang penting tudung yang dipakai tetap labuh. Bagi mencuba cara ini, pastikan anda pilih tudung yang tebal dan tidak jarang. Ada pelbagai jenis kain di pasaran yang ringan namun tidak nipis.

4. Gaya terkini dan ringkas

( 4 Gaya Cantik – Cara Pakai Tudung Bawal Paling Rare & Simple For Ramadan)

Dalam video ini ditunjukkan pelbagai cara untuk memakai tudung bawal dengan cara yang mudah, ringkas dan cukup bergaya. Cara ini sesuai dengan para remaja yang masih belajar di sekolah atau pusat pengajian tinggi. Percayalah anda tak akan terlambat ke kelas nanti.

5. Buat bentuk muka nampak lebih runcing

(3 Cara Pakai Tudung Luxe Crochet ( Square Scarf ))

Bagi pembaca yang mempunyai bentuk muka bulat, segi empat, yang ada masalah pipi pau atau double chin, anda wajib tengok video ni. Selain fabrik yang digunakan mestilah sesuai dengan bentuk muka, cara pakai tudung juga perlu betul.

Tips Memakai Tudung Bawal

Di bawah ini dikongsikan sekali tips-tips memakai tudung bawal. Jom semak.

1. Gabungan baju dan tudung

Sekiranya anda memakai baju bercorak, padankan baju dengan tudung plain dan sebaliknya. Jangan memakai baju dan tudung yang mempunyai corak berlainan. Anda akan kelihatan sangat sarat.

2. Pilihan warna

Pilihlah warna yang bersesuaian dengan tona kulit anda. Jika anda memakai baju bercorak, pilihlah warna minimum untuk dipadankan dengan tudung bawal. Jika baju anda plain pula, anda boleh mencuba tudung plain colour block yang menarik.

Misalnya jika baju anda berwarna maroon, anda boleh menggayakan tudung bawal berwarna kelabu cair, krim, putih atau beige. Warna yang kontras akan menghasilkan kombinasi yang menarik untuk si pemakai.

3. Pelbagaikan gaya pemakaian

Berbanding selendang atau shawl yang lebih panjang dan lebar, tudung bawal kurang digayakan. Namun, anda boleh cuba teknik-teknik yang dikongsikan di atas. Pasti anda akan kelihatan lebih bergaya dan menarik.

4. Cara penjagaan tudung bawal

Seeloknya tudung bawal jenis voile dibasuh menggunakan tangan berbanding dibasuh menggunakan mesin basuh. Ini untuk memastikan kualitinya akan lebih tahan lama. Cara penjagaan yang betul akan membuatkan tudung bawal tidak mudah menipis, berbulu dan luntur warnanya.

Nampaknya, itu saja perkongsian penulis tentang cara pakai tudung bawal agar anda kelihatan lebih glam dan cantik. Semoga anda akan mendapat idea untuk bergaya nanti. Tak kiralah sama ada untuk menghadiri majlis keramaian, ke kolej, tempat kerja, malahan ketika hari raya juga.

Tak perlu beli tudung bawal yang mahal-mahal. Kalau pandai digayakan, yang murah pun tetap akan nampak cantik. Yang penting, anda mestilah yakin dan sentiasa nampak kemas. Cubalah!

Jemput juga baca tentang cara-cara pakai shawl dan manfaat memakai hijab. Semoga bermanfaat.

Rujukan

  • Sejarah Tudung Bawal (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.