Pada zaman dulu, amalan merancang keluarga hampir tak diamalkan. Jadi bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila ibu bapa pada waktu tu mempunyai anak yang ramai. Adalah sesuatu yang biasa jika moyang dan nenek kita mempunyai anak sehingga belas-belas orang.

Pada ketika itu, para isteri hanya menjadi suri rumah dan menguruskan hal ehwal keluarga. Keadaan ekonomi yang tak begitu menekan juga menjadi faktor mereka tak kisah mempunyai anak yang ramai.

Berbeza dengan zaman sekarang. Taraf hidup yang tinggi dengan keadaan ekonomi yang gawat menyebabkan wanita tak lagi duduk rumah. Berbanding dulu, wanita zaman sekarang ramai yang berpelajaran tinggi. Mereka keluar bekerja untuk membantu suami mencari nafkah.

Kos sara hidup yang makin meningkat membuatkan pasangan suami isteri terpaksa merancang kehamilan. Banyak perkara yang perlu difokuskan jika hendak tambah anak, misalnya:

  1. Tempat tinggal yang selesa
  2. Makanan yang berkhasiat
  3. Pakaian
  4. Pendidikan yang sempurna
  5. Kesihatan mental dan fizikal
  6. Kebajikan
  7. Kasih sayang

Kesemua ni perlukan wang ringgit yang bukan sedikit. Justeru, ibu bapa pada zaman serba moden ni lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti. Jika merancang kehamilan, mereka boleh memberi sepenuh tumpuan pada keluarga.

Malahan, ada pasangan suami isteri yang belum bersedia untuk mempunyai anak disebabkan hendak sambung belajar dan kewangan yang belum stabil. Ada juga di antara mereka yang ada masalah kesihatan dan ada pula terpaksa tinggal jauh dengan pasangan.

Kaedah-Kaedah Merancang Kehamilan 

Merancang kehamilan atau keluarga bermaksud merancang masa yang sesuai untuk mempunyai anak, jarak kehamilan dan bilangan anak yang diingini. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat pelbagai kaedah untuk merancang kehamilan iaitu:

  1. Kaedah semulajadi
  2. Kaedah masa subur
  3. Suhu badan asas
  4. Kaedah cairan dan lendiran faraj
  5. Kaedah gabungan
  6. Kaedah tanpa haid tempoh penyusuan
  • Kaedah halangan
  • Kondom
  • Topi serviks
  • Diafram
  • Hormon
  • Pil
  • Implan
  • Suntikan
  • Alat dalam rahim
  • Kaedah kekal
  • Ikatan tiub fallopian (peranakan)
  • Pembedahan ikat saluran mani lelaki

Dalam penulisan artikel ni, fokus perbincangan hanya akan menyentuh kaedah merancang kehamilan menggunakan suntikan perancang saja. Diharapkan info yang dikongsi ni akan memberi panduan dan maklumat yang berguna bagi pasangan suami isteri.

Apa Maksud Suntikan Perancang?

Menurut Dr Sashini Seeni dalam laman web Doctor On Call, suntikan perancang kehamilan merupakan kaedah yang sama dengan pil perancang yang dimakan. Bezanya, suntikan perancang akan dimasukkan ke dalam badan melalui suntikan.

Jenis Suntikan Perancang

Terdapat pelbagai jenis suntikan perancang di pasaran. Namun, bukan semuanya boleh digunakan oleh wanita. Suntikan perancang yang paling popular ialah Depo-Provera (medroxyprogestrone acetate).

Depo-Provera ialah suntikan yang mengandungi hormon progestron. Ia dikatakan cukup berkesan sehingga 99% sebagai alat perancang keluarga yang menjadi pilihan ramai wanita.

Suntikan ni mengandungi hormon progestron yang menyerupai hormon yang dihasilkan oleh ovari wanita. Hormon ni berfungsi untuk menyekat wanita tersebut daripada hamil walaupun melakukan seks tanpa perlindungan.

Fungsi Suntikan Perancang

Suntikan yang menggunakan hormon progestron ni berfungsi untuk:

  1. Menghalang wanita hamil.
  2. Mencegah ovulasi (perkembangan telur).
  3. Menjadikan lendiran serviks dan faraj menjadi lebih pekat dan membuat pergerakan sperma menjadi sukar.
  4. Menjadikan dinding rahim menjadi nipis dan seterusnya janin susah nak melekat.

Bagaimana Cara Suntikan Perancang Diberi?

Suntikan perancang perlu dibuat 3 bulan (12 minggu) sekali. Suntikan susulan perlu diambil setiap 12 minggu untuk memastikan ia tetap berkesan. Biasanya, suntikan ni diberikan oleh doktor yang bertauliah di bahagian punggung atau lengan.

Disebabkan suntikan yang perlu diambil tak kerap, para wanita tak perlu risau apabila terlupa mengambilnya.

Bilakah Masa Yang Sesuai Untuk Ambil Suntikan?

Menurut KKM, suntikan perlu diambil pada hari ke-4 selepas kedatangan haid. Manakala, bagi ibu yang menyusu bayi selepas bersalin, sebaik-baiknya ambil suntikan pada atau sebelum 6 minggu.

Bagi ibu yang tak menyusukan anak selepas bersalin, suntikan boleh diambil pada bila-bila masa selepas hari ke-5 (sebaiknya sebelum 21 hari).

Adakah Peluang Untuk Hamil Semula Lepas Berhenti Ambil Suntikan Perancang?

Suntikan perancang kehamilan merupakan kaedah perancang keluarga untuk jangka masa yang lama. Jadi, untuk menjadikan kesan suntikan tak lagi berkesan, ia akan ambil masa yang panjang.

Menurut KKM, purata tempoh untuk kembali hamil adalah antara 1 hingga 4 bulan lebih lambat berbanding kaedah-kaedah yang lain. Maksudnya, wanita akan hamil semula apabila berhenti ambil suntikan selepas purata 10 bulan dari tempoh suntikan terakhir.

Kebaikan Suntikan Perancang

Di bawah ni disenaraikan kelebihan kaedah suntikan perancang kehamilan berbanding kaedah-kaedah yang lain. Antaranya ialah:

  1. Dikatakan 99% berkesan untuk halang kehamilan bagi tempoh 3 bulan.
  2. Bagi mereka yang sering terlupa makan pil perancang setiap hari, kaedah ni yang paling baik.
  3. Tak menganggu semasa melakukan hubungan seks.
  4. Tak bertindak balas dengan ubat-ubatan yang lain.
  5. Tak mengeringkan susu bagi wanita yang sedang menyusukan anak.
  6. Memberi perlindungan bagi kanser rahim.

Kesan Sampingan Suntikan Perancang

Semua kaedah perancang kehamilan mempunyai risikonya yang tersendiri. Sebelum diberi suntikan tersebut, doktor akan memastikan kaedah ni bersesuaian dengan wanita tersebut. Malahan, kesan sampingannya perlu diterangkan dengan jelas. Antaranya ialah:

  1. Selepas berhenti ambil suntikan, kemungkinan berlaku pendarahan yang berterusan.
  2. Kitaran haid yang tak teratur dan mungkin ambil masa setahun untuk pulih seperti biasa.
  3. Pertambahan selera makan yang menyebabkan berat badan bertambah.
  4. Kemampuan untuk menghasilkan ovum yang sihat, mungkin ambil masa lebih kurang setahun.
  5. Keguguran rambut.
  6. Gangguan mood.
  7. Sakit kepala / pening / loya.
  8. Nafsu seks terjejas.
  9. Batu dalam ginjal (jika diambil dalam tempoh lama).
  10. Masalah osteoporosis.
  11. Ketegangan pada payudara.
  12. Masalah perut kembung.
  13. Senggugut yang teruk.

Di Manakah Boleh Dapatkan Suntikan Perancang?

Bagi wanita yang ingin menjarakkan kehamilan melalui suntikan perancang, anda boleh ke:

  1. Klinik kesihatan
  2. Hospital Kerajaan
  3. Klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
  4. Klinik Persatuan Perancang Keluarga
  5. Klinik dan hospital swasta

Akhir kata, dapatkan nasihat daripada doktor sekiranya anda ingin membuat perancangan keluarga. Moga dengan penulisan artikel ni, anda boleh membuat pertimbangan sewajarnya tentang kaedah yang paling sesuai.

Kongsikan artikel ni kepada rakan-rakan dan ahli keluarga yang lain. Kemungkinan mereka juga tak jelas tentang kaedah suntikan perancang kehamilan. Jika ada maklumat yang boleh ditambah, hubungi kami untuk penambahbaikan. Selamat membaca.

Namun, ada beberapa kesan sampingan ni hanya berlaku sementara waktu sahaja iaitu pada awal pengambilan suntikan. Jika menghadapi simptom-simptom yang lebih serius silalah berjumpa dengan doktor dengan segera.

Siapa Yang Dilarang Ambil Suntikan Perancang?

Walaupun kaedah perancangan hamil menggunakan suntikan selamat diambil, namun terdapat sebilangan orang yang tak boleh mengambilnya. Ini biasanya atas sebab faktor kesihatan, iaitu:

  1. Wanita yang sedang hamil.
  2. Pesakit jantung atau strok, darah tinggi dan individu yang berisiko (perokok dan pesakit diabetes).
  3. Pesakit diabetes kronik melebihi 20 tahun atau mengalami komplikasi.
  4. Pesakit kanser payudara, kanser uterus dan kanser serviks.
  5. Pernah mengalami pembekuan darah pada salur darah di kaki.
  6. Pernah menghidap jaundis semasa mengandung atau semasa menggunakan pil perancang kehamilan.
  7. Pesakit hati, hepatitis dan ketumbuhan hati.

Jemput baca artikel lain seperti tips elak ibu hamil cepat letih, cara atasi mabuk awal kehamilan dan makanan untuk ikhtiar hamil

Rujukan

  1. https://doctoroncall.com.my/soalan/contraceptive-injection-suntikan-perancang
  2. http://www.myhealth.gov.my/kaedah-perancang-keluarga/

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.