Suka makan tomato? Tahu tentang khasiat tomato? Jika belum pasti, di sini akan dikongsikan beberapa khasiat tomato berdasarkan bahan bacaan mengenai kajian yang telah dibuat.

Pengenalan

Untuk pengetahuan awal, tomato atau nama saintifiknya Solanum lycopersicum adalah dalam kategori sayur yang berasal dari Amerika. Tomato adalah makanan yang mudah didapati namun sayangnya tidak semua orang gemar untuk menikmati buah tomato dengan rasa yang masam manis ini. 

Tomato digunakan secara meluas sebagai komoditi barangan segar dan juga pelbagai bentuk pemprosesan seperti puri, pes, jus, tomato kering, sos tomato dan sup. Awalnya, buah tomato hanya digunakan dalam diet makanan di Amerika dan kawasan Mediterranean.

Pokok tomato boleh mencecah ketinggian sehingga 1-3 meter dengan batang yang agak lembut. Pokok ini biasanya tumbuh di kawasan dengan suhu sederhana.

Buah tomato khasnya mengandungi kelembapan yang tinggi (94.8%), protein (1.17%), jumlah lipid (0.97%) dan karbohidrat (3.18%) beserta vitamin, mineral dan serat yang pelbagai.

Imej via Bidadari

Komposisi Kimia Tomato

Tomato dan produk tomato dilaporkan mengandungi pelbagai sebatian bioaktif yang bermanfaat, antaranya lycopene, neoxanthin. violaxanthin, a-cryptoxanthin, zeaxanthin, lutein, karotena, siklokopene neurosporene dan macam-macam lagi.

Warna merah pada buah tomato adalah disebabkan kehadiran karotenoid yang semakin tinggi kandungannya, semakin merah warna buah tomato.

Kenali Apa Itu Lycopene Dalam Buah Tomato

Lycopene ialah karotenoid yang bertanggungjawab untuk pigmen merah yang dilihat dalam tomato, tembikai, dan betik. Ia merupakan salah satu antioksidan paling kuat dalam kalangan kumpulan karotenoid. Di bawah ini ialah nilai komposisi nutrien dalam tomato:

Berat tomato   :- 39.6g (2 biji tomato bersaiz kecil)

Tenaga              :- 9kcal

Kandungan air :- 37.1g

Karotenoid.       :- 313microgram 

Vitamin C.         :- 10.2mg

Menerusi komposisi nutrien dalam tomato ini, kita boleh lihat bahawa nilai karotenoidnya tinggi walaupun berat tomato hanyalah sekadar 39.6g. 

Tomato Merupakan Sumber Antioksidan Yang Bagus

Tahukah anda lycopene ini adalah sumber antioksidan yang paling bagus sekali. Antioksidan ini berfungsi sebagai pelindung sel tubuh badan daripada radikal bebas. Radikal bebas ini ialah dalang kepada proses penuaan, kardiovaskular dan kanser!

Justeru itu, bagi sesiapa yang mempunyai niat untuk mengurangkan penuaan di wajah bolehlah amalkan pengambilan buah tomato dari sekarang!

Kajian Perveen dan rakan-rakan pada tahun 2015 mendapati bahawa pengambilan tomato yang mengandungi lycopene selama 3 bulan (60 mg lycopene/hari) menunjukkan aktiviti anti pengoksidaan sel yang sangat baik.

Jadi, dengan meningkatkan pengambilan tomato, kita mampu meningkatkan kandungan antioksidan dalam tubuh badan. Dengan itu, dapatlah tubuh badan kita menghalang atau mengurangkan aktiviti radikal bebas ini.

Tomato Boleh Mengurangkan Kadar Kanser

Imej via Bidadari

Menerusi beberapa kajian, kandungan lycopene yang tinggi dalam tomato dikatakan membantu mengurangkan kadar risiko mendapatkan kanser prostate, kolon dan perut.

Hal ini disebabkan oleh, kandungan antioksidan yang tinggi dalam lycopene membantu melambatkan pertumbuhan sel kanser dalam tubuh badan. 

Mekansime ini dikaji oleh para penyelidik terdahulu yang menemui bahawa lycopene turut mencegah kerosakan DNA. Seterusnya, hal ini akan melindungi DNA daripada berlakunya mutasi yang boleh menyebabkan pembentukan sel kanser.

Tomato Mentah Mengandungi Vitamin C yang Agak Tinggi

Manfaat tomato yang seterusnya ialah sumber yang baik untuk vitamin C. Buat pengetahuan umum, vitamin C bukanlah manfaat utama dalam buah tomato ini, tetapi kita akan mendapat khasiat vitamin C sekiranya mengambil buah tomato ini. Dalam erti kata yang mudah, kita akan mendapatkan khasiat yang pelbagai sekiranya mengambil buah tomato ini. 

Tetapi harus diingatkan, untuk mendapatkan khasiat vitamin C ini, pengambilan tomato haruslah yang bukan dimasak. Hal ini disebabkan, vitamin C akan hilang apabila mendapat haba atau suhu yang terlalu panas.

Vitamin C ini berperanan sebagai salah satu sumber antioksidan selain daripada lycopene. 

Para penyelidik dari Sepanyol pada tahun 2005 ada melaporkan kandungan vitamin C yang tertinggi adalah dalam sampel jus segar buah tomato apabila dibandingkan dengan buah tomato yang dipasteur dan dimasak. Tambah mereka, sebatian biaokatif tomato seperti vitamin C ini sangat berguna untuk melawan radikal bebas yang menyebabkan tekanan oksidatif.

Vitamin C ini sangat bagus untuk kecantikkan kulit. Jadi, bagi sesiapa yang meminati buah tomato secara umumnya mereka seorang yang bijak dalam menjaga kecantikkan kulit. 

Tips Penjagaan Kulit Menggunakan Buah Tomato (Kegunaan Luaran)

Buah tomato dapat menyejukkan kulit di samping menyerap lebihan minyak pada wajah. Cara untuk menggunakan tomato ini pada wajah adalah dengan memotong buah tomato dalam bentuk bulatan. Setelah itu, letakkan buah tomato dikawasan muka selama 10 minit. Selepas 10 minit, cuci muka menggunakan air. Kita akan merasakan kulit muka lebih bersih dan segar.

Terakhir sekali, bagi sesiapa yang mahu menurunkan berat badan, mereka boleh menggantikan makanan yang tidak berkhasiat seperti keropok dengan buah tomato. Dalam ingin berdiet, kita juga boleh mendapatkan khasiat yang lebih daripada buah tomato ini. 

Mengapa Buah Tomato Sesuai Sebagai Pengganti Junk Food?  

Imej via Bidadari

 

Khasiat tomato juga boleh dijadikan sebagai salah satu makanan tambahan. Buah tomato mempunyai kadar kuantiti air yang tinggi tetapi nilai tenaga yang rendah. Oleh itu, pengambilan buah tomato sebagai pengganti junk food lebih sihat serta tidak menggangu pengambilan tenaga yang berlebihan dalam kehidupan seharian bagi yang mahu berdiet.

Selain itu, kuantiti air yang tinggi dalam buah tomato juga membantu seseorang itu berasa kenyang dengan lebih mudah berbanding dengan pengambilan junk food. 

Anda boleh mendapatkan sekilo tomato dengan harga serenda RM3 di pasaraya. Cuba bandingkan dengan harga junk food yang sudahlah mahal, tidak berkhasiat dan tidak mengenyangkan!

Berdasarkan kajian lepas, tomato mengandungi sejenis bahan aktif yang dipanggil tomatine yang mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mengurangkan tahap kolestrol setelah dikaji secara in vivo dan in vitro. Kajian ke atas hamster yang diberikan diet tomato menunjukkan penurunan kandungan kolestrol sebanyak 41%.

MENARIK: Turut Ada Eksperimen Dibuat untuk Nyalakan Lampu Guna Tomato

Ada juga eksperimen yang tomato ini boleh memberikan kuasa untuk hidupkan mentol selama 1 minit. Tapi ini tidak dapat dipastikan sama ada benar-benar menjadi ataupun tidak. Kalau nak tahu sama ada info ini satu perkara yang betul atau sebaliknya, maka bolehlah cuba-cuba buat sendiri nanti kat rumah. Eksperimen ni turut dimuat naik dalam bentuk video yang telah dikongsikan melalui saluran Youtube.

khasiat tomato mengikut kajian

image via : Youtube

Kesimpulan

Buah tomato memang berkhasiat, boleh dimakan mentah atau dimasak dengan bahan yang lain. Ternyata sayuran ini sangat istimewa kerana mempunyai khasiat untuk tubuh di samping kegunaan luar pada wajah juga. Makin mengenali tomato makin banyak pula rahsia khasiat tomato yang dapat dibongkar.

Terlalu banyak khasiat tomato yang masih lagi kita tidak ketahui. Bagi mereka yang kurang minat untuk makan sayur-sayuran, tomato boleh dijadikan sebagai permulaan pengambilan sayur-sayuran.

Rujukan

  1. NCBI
  2. Jacob, K., Periago, M. J., Böhm, V., & Berruezo, G. R. (2008). Influence of lycopene and vitamin C from tomato juice on biomarkers of oxidative stress and inflammation. British Journal of Nutrition99(1), 137-146.
  3. Perveen, R., Suleria, H. A. R., Anjum, F. M., Butt, M. S., Pasha, I., & Ahmad, S. (2015). Tomato (Solanum lycopersicum) carotenoids and lycopenes chemistry; metabolism, absorption, nutrition, and allied health claims—A comprehensive review. Critical reviews in food science and nutrition55(7), 919-929.
  4. Sánchez-Moreno, C., Plaza, L., de Ancos, B., & Cano, M. P. (2006). Nutritional characterisation of commercial traditional pasteurised tomato juices: carotenoids, vitamin C and radical-scavenging capacity. Food Chemistry98(4), 749-756.

Jemput baca juga 10 keistimewaan bunga raya Malaysia sebagai manfaat kepada manusia, petua hamil cepat selepas gugur dan 6 petua untuk hasilkan bunga ros yang lebat dan cantik

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.

Penulis: Siti Awadah

Minat menulis untuk pelbagai topik seperti kesihatan, keibubapaan, perhubungan, kecantikkan, makanan, travel, Islamik dan sebagainya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.