Bagi bakal raja sehari, kad jemputan kahwin pastinya amat penting bukan? Kad jemputan kahwin akan mula diedarkan sebulan atau 2 bulan sebelum majlis berlangsung.

Kad jemputan ini lebih praktikal berbanding jemputan secara lisan. Selain terdapat nama bakal pengantin, alamat dan tarikh juga akan dipaparkan. Ia akan memudahkan para tetamu untuk menyusun jadual aktiviti hujung minggu mereka.

Kad Jemputan Kahwin Tempah VS Kad DIY

Kini, terdapat pelbagai jenis kad jemputan kahwin di pasaran. Kebanyakan pasangan pengantin akan menempahnya melalui syarikat percetakan. Ada yang murah, ada juga yang mahal. Harganya bergantung kepada design, kualiti kertas dan juga saiz.

Kita sedia maklum bahawa majlis kahwin menelan kos yang cukup tinggi. Dari aspek makanan tetamu, dekorasi, pelamin, pakaian pengantin, goodies dan macam-macam lagi. Itu tak termasuk majlis risik, majlis tunang hinggalah ke majlis kahwin.

Bagi bakal pengantin yang mempunyai kewangan yang kukuh mungkin tiada masalah. Namun, jika anda bercadang untuk membuat majlis yang sederhana dan simple, apa kata cuba buat kad jemputan kahwin DIY.

Gunakan kreativiti untuk menghasilkan kad jemputan kahwin yang cantik dan begitu dekat di hati anda. Ini kerana semuanya merupakan sentuhan peribadi anda nanti. Walaupun DIY, kosnya cukup rendah dan senang dibuat.

Dalam artikel ini, penulis akan kongsikan beberapa panduan membuat kad jemputan kahwin DIY. Pastinya para tetamu akan terbeliak mata melihat kad yang cantik dan sangat unik. Jom baca!

1. Gunakan Kertas Murah

Kad jemputan kahwin yang dijual di kedai percetakan biasanya mengikut jenis dan kualiti kertas. Jika anda hendak membuat kad kahwin yang bajet saja, terdapat beberapa jenis kertas yang boleh digunakan.

Antaranya ialah kad manila, kertas lukisan dan kertas kraf (art paper). Kesemua jenis kertas ini boleh dibeli di kedai atas secara online. Harganya juga murah dan mampu milik.

Jika anda mempunyai tema warna tertentu, anda boleh memilih kad manila dan kertas kraf. Biasanya kertas jenis ini mempunyai pilihan warna yang pelbagai. Anda mempunyai banyak pilihan warna untuk mengikut kesesuaian tema.

2. Design Kad Jemputan Kahwin Menggunakan Software

Biasanya kad jemputan kahwin yang dibeli melalui kedai atau secara online akan mengenakan upah untuk design kad. Anda boleh mengurangkan kos ini dengan cara design sendiri kad jemputan kahwin anda.

Untuk buat design sendiri, benda pertama yang anda perlukan ialah komputer sama ada desktop atau laptop. Tiada masalah untuk menggunakan Windows atau pun Mac.

Jika anda mahir menggunakan software seperti Adobe Photoshop dan Adobe Illustrator, bonus di situ. Namun, jangan risau, anda masih boleh menggunakan Microsoft Word ataupun PowerPoint.

Malahan, ada juga software online seperti Canva dan Crello untuk design kad jemputan kahwin anda. Di bawah ini, penulis sertakan beberapa tutorial buat kad kahwin untuk memudahkan anda mendapat idea.

  • Cara Mereka Kad Kahwin Di Microsoft Word (link)
  • Template Kad Kahwin Percuma Download (link)
  • Buat Kad Kahwin Anda Sendiri! (Basic) (link)

3. Tentukan Jumlah Kad Jemputan Kahwin

Selepas membuat design yang diingini, anda perlu menetapkan jumlah kad yang akan diedarkan nanti. Jika banyak kad kahwin yang hendak dicetak, semakin tinggilah kos anda nanti.

Bincang dengan ahli keluarga untuk menentukan jumlah jemputan. Pastikan kad jemputan nanti tak dibazirkan.

4. Mencetak Kad

Jika majlis perkahwinan anda hanya dibuat secara kecil-kecilan, misalnya bawah 200 orang, anda boleh mencetaknya sendiri. Cuma pastikan anda dapat siapkan kad kahwin itu lebih awal sebulan sebelum kad diedarkan.

Anda memerlukan beberapa peralatan penting jika anda bercadang untuk mencetaknya sendiri, iaitu:

  • Komputer
  • Printer warna
  • Ink cartridge warna
  • Gunting
  • Pisau
  • Cutting mat (boleh dibeli secara online, di kedai buku atau kedai kraf)
  • Pembaris besi
  • Stok kertas

Kalau anda mencetaknya sendiri, kebanyakan kertas boleh dicetak saiz A4. Sekeping kad kahwin A4 boleh dipotong kepada 3 bahagian bagi saiz 4” x 6” atau 4” x 8”. Anda boleh menentukan saiz yang diingini.

Jika anda tak yakin dapat mencetaknya dengan cantik dan menghasilkan potongan kad yang kemas, anda boleh ke kedai percetakan. Di sana nanti anda boleh mengupah mereka untuk memotong kad kahwin yang dah siap design.

Kedai-kedai percetakan sememangnya mempunyai printer yang canggih. Printer ini boleh mencetak dengan banyak dan pantas. Malahan, mereka juga mempunyai peralatan memotong yang besar. Dalam masa cepat, ratusan kad dapat dipotong.

Anda boleh survey dulu kedai-kedai berdekatan rumah yang menawarkan harga yang rendah. Jika anda mencetak dalam jumlah yang banyak, berbincang dengan mereka untuk mendapatkan diskaun dan sebagainya.

5. Menghias Kad Kahwin

Bagi para tetamu yang rapat dan istimewa misalnya majikan, rakan sekerja, rakan baik dan ahli keluarga terdekat, anda boleh memberikan kad yang istimewa. Tanpa mengeluarkan kos yang tinggi anda boleh menghiasnya sendiri.

Oleh kerana jumlah tetamu istimewa ini tak ramai, anda boleh DIY kad kahwin agar kelihatan eksklusif. Misalnya dilekatkan reben, dihias bunga-bunga kering dan batu tampal. Pastikan kosnya masih rendah dan tak membebankan.

6. Sampul Kad Kahwin

Ada sesetengah kedai percetakan yang akan memberi sampul kad secara percuma saja. Jika anda tidak mahu menggunakan sampul yang biasa, apa kata cuba cara lain pula.

Anda boleh membeli kertas-kertas nipis yang mempunyai pelbagai corak yang cantik. Letak di bahagian bawah atau tengah kad. Kertas yang boleh digunakan ialah kertas alas kek. Anda boleh membelinya di kedai menjual barangan membuat kek.

Malahan, anda boleh mengikat kad anda itu dengan reben atau tali jerami yang cantik. Semua barang-barang ini boleh dibeli di Eco atau Mr DIY. Malahan, ada juga orang yang membuat kad kahwin seperti penanda buku.

Anda boleh menghiasnya mengikut kreativiti anda. Pastinya anda hendakkan sebuah majlis perkahwinan yang indah, istimewa dan mempunyai sentuhan peribadi. Jangan risau, jika anda tak ada bajet yang tinggi.

Tak perlu membazir wang membuat kad yang mahal-mahal kerana hujungnya nanti ke tong sampah tempatnya. Anda hanya memerlukan sedikit masa, usaha dan kreativiti untuk menghasilkan kad jemputan kahwin DIY.

Jika dah cuba buat nanti, jangan lupakan kongsikan dengan kami di page Facebook Bidadari.my. Anda juga boleh baca tentang cara buat bunga manggar DIY dan idea doorgift kahwin yang cantik.

Selamat mencuba.

Rujukan

  • Panduan Lengkap Buat Kad Kahwin DIY Sendiri (Link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.