Pernah dengar nama metamfetamin? Mungkin janggal kedengaran di telinga kita. Kalau nama syabu, meth, ice dan batu, terus kita tahu itu ialah nama sejenis dadah. Walau apapun namanya, kesan yang ditinggalkan oleh dadah yang popular di dunia ini cukup menakutkan.

Pada tahun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya menumpaskan kartel syabu di beberapa negeri antaranya Johor Bahru, Selangor dan Pulau Pinang. Ini menunjukkan penggunaan syabu di negara sudah semakin meluas dan membimbangkan.

Oleh itu, ibu bapa perlulah pantau aktiviti anak-anak di luar rumah. Pastikan mereka tidak terlibat dengan gejala dadah dan rakan sebaya yang merosakkan diri.

Artikel ini akan berkongsi kesan-kesan buruk dan menakutkan akibat bahaya kesan pengambilan syabu. Diharapkan ia akan memberi kesedaran kepada para pembaca untuk menjauhi apa saja jenis dadah.

Apa Itu Syabu?

Syabu ialah sejenis dadah yang berbentuk serbuk atau kristal. Lazimnya, ia akan disedut melalui hidung, disuntik atau dihisap untuk mendapatkan keseronokan berkhayal.

Kesan pengambilan syabu ke atas diri seseorang bergantung kepada bentuk, cara pengambilan dan kuantiti yang diambil. Dikatakan bahawa cara yang paling pantas untuk mendapat kesan khayalannya ialah dengan cara menghisap.

Mengapa Syabu Popular?

Orang yang ketagihan syabu akan berasa terlalu seronok selepas mengambilnya. Penggunanya akan mempunyai fikiran yang jelas dan tenaga luar biasa. Dalam masa beberapa minit pengambilan syabu, mereka akan berasa khayal atau ‘high’.

Mengapa syabu memberi kesan sebegitu? Ini kerana kesan metamfetamin menyebabkan paras hormon dopamin di dalam otak meningkat secara mendadak. Peningkatan drastik itu ialah 1000 kali ganda berbanding pada tahap normal.

Peningkatan ini sangat tinggi berbanding kesan dadah-dadah yang lain. Antara kesan pada fizikal pengguna ialah anak mata menjadi besar, kadar degupan jantung dan pernafasan menjadi laju, kurang selera makan dan nafsu seks meningkat.

Kesan Pengambilan Syabu

Syabu ialah stimulan yang poten. Ini bermaksud pengguna akan berasa seronok, gembira, peningkatan aktiviti fizikal, hilang mengantuk, lebih fokus dan kurang rasa lapar.

Walau bagaimanapun, selepas kesan khayal hilang, pengguna akan berasa gelisah, cepat marah, gementar, keliru, fikiran terganggu dan boleh bersifat ganas. Jika ambil pada dos yang tinggi, suhu badan boleh meningkat dengan mendadak dan boleh mengakibatkan kematian.

Di bawah ini disenaraikan kesan pengambilan syabu kepada penggunanya. Antaranya ialah:

#1 Ketagihan

Pengambilan syabu sama juga seperti dadah jenis lain seperti ganja, kokain dan heroin akan menyebabkan ketagihan melampau. Mereka juga akan terus bergantung kepada syabu apabila ingin membuat kerja, lupakan kesedihan, sedang marah dan sebagainya.

Ketagihan ini akan terus berulang-ulang pada tahap kronik. Apabila mereka berhenti mengambil syabu, akan ada kesan psikologi seperti kemurungan, gelisah, letih, bertindak ganas dan sebagainya.

#2 Toleran

Kesan toleran yang pantas menyebabkan penggunanya mengambil syabu dengan kerap dan dosnya pula semakin bertambah. Ini bertujuan untuk meneruskan kesan khayal yang dialami agar lebih lama.

Ada pengguna yang tidak makan dan tidur, namun terus mengambil syabu sehingga 1 gram setiap 2 hingga 3 jam dalam jangka masa beberapa hari. Malah yang lebih menakutkan, mereka yang ketagihan boleh tidak tidur sehingga 3 hingga 15 hari akibat kesan syabu.

#3 Kurang Daya Tahan Penyakit

Akibat kerap mengambil syabu dengan dos yang tinggi, pengguna cenderung untuk lupa makan dan tidur. Tubuh badan yang tidak mendapat khasiat pemakanan secukupnya dan rehat yang sempurna mudah mendapat penyakit.

Oleh itu, mereka menjadi lemah dan mudah sakit-sakit kerana pengabaian kesihatan. Tubuh mereka kurang daya tahan penyakit, oleh itu jika ditimpa sakit lambat untuk sembuh.

#4 Pengabaian Diri

Seperti yang diterangkan di atas, jika berada dalam pengaruh syabu, pengguna tidak makan, tidur dan kebersihan diri juga diabaikan.

Penggunaan pada dos yang tinggi menyebabkan berat badan turun dengan drastik, muka pucat dan kebersihan diri tidak terjaga. Ada yang mempunyai badan yang berbau, gigi kekuningan, berparut, kulit luka-luka dan tidak terurus.

#5 Gangguan Metabolisme Badan

Syabu akan menyebabkan hilang selera makan yang sangat teruk, kurus mendadak dan mengganggu metabolisme badan.

#6 Kerosakan Otak dan Sistem Saraf

Para penyelidik menyatakan bahawa kerosakan pada otak dan sistem saraf akibat syabu akan menyebabkan gejala penyakit parkinson, alzheimer dan perlakuan psikotik seperti masalah mental.

#7 Kerosakan Jantung, Saluran Darah dan Sistem Pernafasan

Disebabkan pengambilan syabu akan membuat degupan jantung menjadi kencang dan tidak menentu, ia akan meningkatkan tekanan darah. Seterusnya akan menyebabkan sakit jantung dan membawa maut.

Malahan, kerosakan pada salurah darah akan menyebabkan angin ahmar atau strok. Pengambilan syabu yang dicampur dengan bahan-bahan berbahaya akan menyebabkan masalah pernafasan iaitu sesak nafas.

#8 Risiko Ibu Hamil

Terdapat juga kes-kes di mana wanita yang mengandung merupakan pengguna tegar syabu. Mereka tidak mampu menghentikan ketagihan walaupun sedang hamil. Bahaya pengambilan syabu bukan sahaja pada wanita itu tetapi juga anak yang dikandungnya.

Pengambilan syabu akan menjejaskan pembentukan bayi, kelahiran pramatang dan keguguran. Malah, bayi yang dilahirkan juga berisiko mengalami masalah mental, tumbesaran, bersaiz kecil, hiperaktif dan sebagainya.

#9 Risiko Jangkitan Penyakit

Penggunaan alat suntikan yang tercemar secara berkongsi boleh meningkatkan risiko jangkitan HIV, hepatitis dan sebagainya. Malahan, syabu juga banyak digunakan ketika pesta dan di kelab hiburan.

Penggunaan dadah ini juga dikaitkan dengan hubungan seks secara rambang dan ganas. Ini mendedahkan para pengguna dengan penyakit kelamin dan lain-lain.

#10 Masalah-Masalah Sosial

Penggunaan dadah tanpa kawalan akan memberi impak kepada institusi keluarga dan masyarakat. Seseorang suami akan bertindak ganas dan kasar ke atas isteri dan anak-anaknya jika berada di bawah pengaruh syabu.

Malahan, banyak juga kes yang dilaporkan di negara kita apabila pengguna syabu membunuh ahli keluarganya disebabkan masalah mental dan paranoia. Ada juga yang membunuh diri disebabkan hilang upaya mengawal diri.

Masalah ragut, kecurian dan rompakan juga berleluasa disebabkan pengguna syabu hendak mendapatkan wang untuk membeli syabu. Kesannya bukan saja ke atas diri sendiri tetapi juga mangsa-mangsa mereka.

Disebabkan hilang fokus pada pekerjaan, sikap keliru dan baran, ia juga menjejaskan kemampuan pengguna syabu untuk bekerja. Mereka mudah letih dan boleh bertindak ganas jika berada dalam ketagihan

Inilah antara 10 kesan bahaya penggunaan syabu. Diharapkan artikel ini dapat membuka mata para pembaca tidak kira ibu bpa, golongan remaja dan pengguna syabu iru sendiri.

Sesungguhnya dadah amat berbahaya. Elakkan diri daripada bencana dadah. Nasihat untuk golongan remaja, pilihkan rakan-rakan yang berkualiti dan elakkan merokok. Isi masa dengan aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku, bersukan dan melakukan hobi kegemaran.

Ibu bapa janganlah memberi sepenuh kepercayaan kepada anak-anak kerana kita tidak tahu bahaya yang menanti di luar sana. Tunjukkan contoh yang baik dan berikan nasihat yang berguna kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Jemput juga baca artikel tips pantau anak dan kebaikan anak makan bersama 

Rujukan

https://www.facebook.com/106052459435017/posts/kerosakan-akibat-pengambilan-dadah-jenis-syabu-ice-meth-dan-amphetamine-type-sti/1653316611375253/

https://iluminasi.com/bm/kronologi-kesan-pengambilan-syabu.html

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.