Jom ketahui adab berjiran yang perlu kita ambil tahu sebagai muslim.

Siapakah yang dikatakan jiran kita? Suatu hari, datang seseorang bertanya kepada Rasulullah  SAW;


“Ya Rasulullah, bagaimana aku ingin berbuat baik kepada jiran sedangkan aku tidak mengetahui siapa jiranku?” Jawab baginda, “Jiran kamu adalah 40 buah rumah di sekeliling kamu (tidak kira di kanan, kiri, depan mahupun belakang).”


Maka, jiran adalah 40 buah rumah yang berada di sekeliling rumah kita. Sudah menjadi tangggungjawab untuk menyantuni jiran-jiran tanpa mengira agama dan bangsa. Berikut perkara yang boleh diambil kira semasa bergaul dengan jiran.

Berbuat Baik Kepada Jiran Tetangga

Bagaimana yang dikatakan berbuat baik kepada jiran? Dalam al-Quran, Allah berfirman:

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”

(an-Nisa:36)

Berdasarkan ayat di atas kepentingan jiran diletakkan sebagai sama penting  dengan berbuat  baik kepada ibu bapa dan ahli keluarga. Maka, berbuatlah baik seperti sering menghulurkan pemberian, buah tangan atau sedekah sebagai tanda kasih sayang dan menghargai jiran.

Tidak Menyakiti Hati Jiran

Sebagai jiran, kita hendaklah menjaga setiap lisan,perbuatan dan sangkaan terhadap mereka. Kesabaran Malik bin Dinar berdepan dengan jiran bangsa Yahudi boleh diambil sebagai pengajaran.

Ceritanya, seorang Yahudi itu dengan sengaja membuat saluran tandas menghadap ke rumah Malik bin Dinar. Disebabkan itu, Malik bin Dinar terpaksa membersihkan kotoran tersebut setiap hari tanpa rungutan malah memberi hadiah,layanan baik dan selalu tersenyum kepada jirannya yang seorang Yahudi itu.

Lama-kelamaan, orang Yahudi itu bosan kerana Malik bin Dinar tidak marah atau membalas perbuatannya itu. Lalu dia bertanya. Malik bin Dinar hanya berkata,

“Aku pernah dengar kekasihku, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Jibril sentiasa datang kepadaku berkali-kali untuk mengingatkan tentang hak kejiranan sehingga aku ingat jiran akan mendapat hak waris”.

Oleh sebab kerap diingatkan oleh Jibril, Nabi SAW menyangka yang jiran akan dinaik taraf sehingga boleh menjadi waris.”

Maka, Malik bin Dinar juga mengikuti pesanan Nabi SAW  sehingga hak jiran dijaga umpama jiran sudah dinaiktaraf menjadi waris.

Menyayangi Jiran Seperti Menyayangi Diri Sendiri

Seperti kita menyayangi diri sendiri, kita akan selalu memastikan kita mengambil makanan berkhasiat, menjaga diri daripada perkara bahaya dan berusaha meningkatkan taraf kehidupan. Maka, begitulah sewajarnya kita menjaga jiran. Ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.

Malah, Anas R.A pernah berkata, daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda:

“Tidak akan beriman seseorang di kalangan kamu (secara sempurna) sehingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Mengutamakan Jiran Yang Paling Dekat Dengan Kita

Hadis daripada Imam al-Tabrani daripada Jabir bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jiran itu ada tiga jenis: Jiran yang mempunyai satu hak sekurang-sekurangnya, jiran yang mempunyai dua hak dan jiran yang mempunyai tiga hak. Maka jiran yang mempunyai satu hak iaitu jiran yang bukan Islam. Baginya hak kejiranan. Manakala, yang memiliki dua hak iaitu jiran Muslim. Baginya hak Islam dan hak kejiranan. Manakala jiran yang memiliki tiga hak iaitu jiran muslim yang memiliki hubungan kekeluargaan. Baginya hak kekeluargaan, hak Islam dan hak kejiranan.”

Oleh itu, jiran hendaklah diutamakan mengikut susunan keutamaan berdasarkan hadis di atas bagi menjaga keharmonian masyarakat. Jika hari ini, jiran yang terdekat adalah jiran yang berkongsi dinding dan bersebelahan muka pintu kita.

Tidak Mengamalkan Sikap ‘Terlalu’ Mengambil Tahu

Ramai antara kita kini bersikap ‘terlalu tidak mengambil tahu’ atau tidak tahu langsung mengenai jiran. Malah ada sebilangan kecil tidak tahu pun nama jiran mereka.  Islam melarang umatnya untuk terlalu ‘menyibuk’ akan hal orang ataupun menjaga tepi kain orang lain, namun dalam perkara tertentu, ada hak jiran perlu ditunaikan.

Bagaimana jika berlaku kes keganasan rumahtangga? Di sinilah peranan kita membantu dan melindungi jiran yang teraniaya. Perbuatan ini dikira sebagai amal makruf nahi mungkar dan tidak salah sama sekali.

Sebaliknya, sikap membuka aib dan mengambiltahu setiap urusan jiran perlu dielakkan. Pasti jiran tidak selesa dan boleh menimbulkan kebencian.

Membantu Mereka Ketika Waktu Kesusahan

 Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(al-Maidah:2)

Justeru, berbuat baik kepada sesiapa sahaja dan melakukan amal kebajikan  termasuklah kepada jiran, merupakan sebahagian daripada ajaran Islam yang perlu dilaksanakan.

Menziarahi Jiran Tetangga

Adalah menjadi keutamaan kita untuk sentiasa menziarahi jiran terutamanya sewaktu mereka kesusahan, sakit, ada kematian dan sebagainya. Bahkan uruskanlah jenazah mereka jika meninggal dunia serta menghulurkan wang dan bantuan lain jika memerlukan.

Dari Abu Hurairah RA beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima perkara, iaitu menjawab salam yang diberikan, menziarahi mereka yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan, dan mendoakan orang bersin.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak Membuka Aib Jiran

Dalam hidup berjiran pasti ada pasang surut dan pernah berselisih faham.  Sebaiknya, sifat mengasihi, memaafkan dan menutup aib perlu dipraktikkan. Jangan mudah mendedahkan ataupun membuka aib sesama jiran, mahupun menceritakan keburukan jiran kepada orang lain. Sesungguhnya sikap itu sangtalah tidak digemari oleh Allah SWT.

Allah SWT juga berjanji akan menutup aib, orang yang menutup aib individu lain. Seperti dalam sabda Nabi saw bermaksud:

“Tidaklah seseorang hamba itu, menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah yang menutup aib hamba yang pertama tadi pada hari kiamat.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Penutup: Sayangilah Jiran Seperti Saudara Kita Sendiri

Islam merupakan agama yang syumul dan sangat menjaga adab dan susila termasuklah terhadap jiran tentangga. Hidup kita saling bergantung antara satu sama lain dan mustahil untuk hidup secara bersendirian. Bahkan setiap orang mempunyai hak dan berikan hak tersebut kepada yang punya. Mudah-mudahan hidup kita lebih dirahmati.

Jangan lupa untuk membaca lebih banyak artikel menarik kami seperti:

Rujukan

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.