Jom kita lihat perbezaan lelaki dan perempuan.

“Betul ke saya tak nampak gemuk pakai baju ni? Awak saja nak ambil hati saya kan? Cakaplah betul-betul. Janganlah puji untuk sedapkan hati saya.”

Agak-agak kalau anda seorang lelaki dan berada dalam situasi macam ni. Apa yang anda akan jawab? Misalnya isteri anda bertanyakan soalan cepu emas ni. Mesti berpeluh-peluh dibuatnya.

Kalau memang benar badan isteri agak gempal, nak berterus-terang rasa serba-salah. Kalau cakap kurus, nampak menipu di situ. Jika isteri anda memang kurus, tetap ada masalah di situ. Jika anda kata kurus, berkali-kali dia akan tanya sehingga puas hati.

Sebenarnya, apakah jawapan yang perempuan inginkan? Nak tahu mereka gemuk atau tak, betul ke? Sebenarnya, inilah permainan psikologi seorang perempuan yang lelaki perlu tahu.

Sebenarnya bukan jawapan gemuk atau kurus yang diharapkan kerana mereka sedia maklum tentang saiz badan mereka. Soalan ni bertujuan untuk melihat kesanggupan suami menjaga hati mereka. Adakah sang suami gembira dengan saiz badan isteri.

Selain itu, mereka nak tahu pandangan suami tentang baju yang dipakai. Adakah menarik hati suami dan sesuai dengan mereka. Banyak jawapan yang diharapkan daripada 1 soalan tu.

Bayangkan pula situasi ni, yang dituturkan oleh seorang suami.

“Abang pakai baju ni sesuai tak? Sayang suka tak?”

Apa perbezaan yang paling ketara berbanding dialog isteri tadi? Tentunya soalan yang pendek dan direct to the point. Soalannya tentang pandangan isteri tentang baju yang dipakainya dan sama ada isteri suka atau tak.

Mereka tak kisah tentang saiz badan. Tak kisah sangat jika baju itu tak begitu bersesuaian untuk dipakai. Soalan yang ringkas tanpa mengharapkan jawapan yang panjang lebar.

Justeru, tujuan artikel ni ditulis untuk mengupas perbezaan sudut psikologi antara lelaki dan perempuan. Allah menciptakan setiap benda di dunia ni secara berpasangan. Jika lelaki dan wanita mempunyai persamaan dalam semua aspek, maka kurang harmonilah hubungan.

Kita memerlukan perbezaan untuk saling melengkapi. Kekurangan isteri ditampung oleh suami dan kelebihan suami dimanfaatkan oleh isteri. Perbezaan inilah yang menerbitkan perasaan sayang dan kasih.

Seorang seperti api, seorang lagi mestilah menjadi airnya. Bayangkan jika kedua-dua api. Pastinya api sentiasa marak hingga hangus terbakar. Jika sama-sama air pula, hambar pula hubungan. Jom tambahkan pengetahuan tentang psikologi lelaki dan perempuan.

#1 Penyelesaian Masalah

  • Lelaki

Jika ada masalah, lelaki lebih suka berdiam diri dan menyimpan dalam hati. Mereka tidak suka membebankan orang di sekeliling dan juga tak mahu nampak lemah. Oleh itu, seboleh-bolehnya mereka akan mencari jalan untuk menyelesaikannya sendiri.

  • Perempuan

Kaum perempuan lebih cenderung untuk berterus-terang jika ada masalah yang menimpa. Mereka tak boleh menyimpannya lama-lama dalam hati. Selain ibu, adik-beradik perempuan, sahabat akrab menjadi tempat luahan perasaan.

#2 Daya Ingatan

  • Lelaki

Cuba tanya pasangan anda bila dan di mana kali pertama bertemu. Pasti mereka akan termenung panjang. Ini kerana daya ingatan orang lelaki lebih lemah berbanding perempuan. Ini disebabkan bagi mereka mengingati tarikh atau sesetengah perkara nampak remeh.

Fitrahnya lelaki banyak memfokuskan perkara yang berat dalam hidup seperti pekerjaan, masa depan keluarga, pendidikan anak-anak dan sebagainya. Oleh itu, ingatan mereka lebih ringkas tetapi bekerja dengan kompleks.

  • Perempuan

Uniknya perempuan mereka boleh ingat berat anak-anak masa dilahirkan, lengkap dengan tarikh dan masa. Ini kerana perkara-perkara sebegini memberi memori indah dalam hidup mereka. Itulah sebabnya mereka ingat tarikh lahir pasangan, tarikh tunang dan nikah.

#3 Komunikasi

  • Lelaki

Apabila berkomunikasi secara berdepan atau dalam mesej, lelaki cenderung menggunakan ayat-ayat yang pendek dan mudah. Jarang kedengaran mereka membebel dan menjawab sesuatu dengan penerangan panjang lebar.

  • Perempuan

Berbeza pula dengan perempuan, bagi mereka lebih banyak bertanya menandakan mereka mengambil berat. Sebab itulah mereka gemar menaip panjang-panjang, jika jawapan lelaki pendek, memang cari gaduhlah.

#4 Emosi

  • Lelaki

Lelaki lebih suka sembunyikan emosi berbanding menunjukkannya, lebih-lebih jika sedang sedih atau marah. Mereka amat bijak mengawal emosi. Itulah sebabnya apabila bergaduh, mereka lebih tenang dan tidak gemar mengungkit semua perkara.

  • Perempuan

Perempuan dan air mata sukar dipisahkan. Walaupun kuat beremosi secara luarannya, namun dari segi kekuatan emosi mereka lebih baik. Itulah sebabnya walau sedang demam, mereka masih boleh masak dan mengemas rumah.

Emosi yang diluahkan ketika marah bukannya untuk menunjukkan kekurangan diri atau pasangan tetapi untuk menarik perhatian. Kadangkala, tu saja cara nak menyedarkan kaum lelaki yang ego dan sukar difahami.

#5 Minat

  • Lelaki

Hobi orang lelaki dan perempuan agak berbeza. Ini sesuai dengan bentuk fizikal, kekuatan, kemampuan dan sebagainya. Mereka lebih berminat dengan sukan seperti bola sepak, tinju dan bola keranjang. Ada juga yang suka mengubah suai kereta, menukang, memancing dan sebagainya.

  • Perempuan

Manakala perempuan lebih meminati hobi yang memberi manfaat kepada orang lain seperti memasak, membuat kek dan biskut serta menjahit. Ada juga yang suka membaca buku, menghias rumah dan sebagainya. Minat mereka lebih ringkas dan mudah.

#6 Seks

  • Lelaki

Ini ialah topik yang paling digemari oleh lelaki. Fakta ni tak boleh disangkal. Mereka suka melihat perempuan yang cantik (bukan semua) dan seks merupakan perkara yang selalu bermain dalam fikiran.

  • Perempuan

Bagi perempuan pula, lebih-lebih lagi yang sudah berkahwin, memandang lelaki bukan lagi keutamaan. Nafsu mereka lebih kepada pakaian, beg tangan, hiasan rumah, barang kemas dan sebagainya.

Anda bersetuju dengan semua kenyataan yang diberikan ni? Sebenarnya, tiada kajian khusus yang mengatakan terdapat perbezaan ketara antara lelaki dan perempuan dari sudut psikologi.

Kesemua ciri-ciri ni bergantung kepada agama, bangsa, budaya, persekitaran, cara didikan dan pendidikan seorang lelaki dan perempuan. Ada lelaki yang suka membaca buku dan ada pula perempuan yang suka menonton perlawanan bola sepak.

Ada lelaki yang suka bergosip dan banyak cakap. Manakala, ada perempuan yang lebih pendiam dan bercakap yang perlu saja. Semua ni berbeza antara setiap individu. Senarai yang dinyatakan di atas hanyalah gambaran umum perbezaan psikologi lelaki dan perempuan.

Jemput juga baca lelaki idaman wanita tanda jodoh dan punca masalah rumahtangga

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.