Nak tahu cara petua hilangkan jerawat cara yang selamat. Masalah kulit yang paling kerap berlaku di bahagian muka ialah jerawat. Ada orang yang dilahirkan dengan kulit yang bebas jerawat sehingga ke usia tua. Namun, ada pula yang menderita masalah ini dari zaman remaja lagi.

Sesetengah jerawat hanya meninggalkan kesan parut gelap yang boleh dihilangkan walaupun mengambil masa lama. Namun, ada pula jenis yang akan meninggalkan parut kekal seperti kesan kawah dan berlubang-lubang.

Jika kita rajin menjaga muka, menggunakan produk yang selamat dan sesuai serta mengamalkan gaya hidup sihat, masalah ini boleh diatasi. Jangan biarkan masalah jerawat melarat dengan menganggap ia merupakan masalah hormon yang bersifat sementara.

Apakah sebab jerawat terbentuk di wajah? Adakah ia boleh dirawat? Jangan risau. Dalam artikel ini, penulis akan mengupas isu jerawat berkaitan cara menghilangkannya.

Jangan terkejut, selepas mencuba tips yang dikongsikan wajah anda berubah licin laksana telur yang dikupas kulit. Jom baca!

Apakah Itu Jerawat?

Jerawat ialah bintik dan benjolan pada permukaan kulit. Ia terjadi apabila liang roma tersumbat dengan sebum (minyak) dan sel-sel kulit mati. Masalah jerawat yang dialami oleh kebanyakan orang ada yang bersifat ringan dan ada pula yang kronik.

Acne vulgaris seperti bintik hitam, bintik putih, nodus, papul dan cyst adalah di antara masalah jerawat yang paling biasa berlaku. Jerawat yang tiada keradangan ialah seperti bintik putih dan bintik hitam. Manakala, jerawat yang mengandungi nanah menunjukkan berlakunya keradangan.

Penyebab Berlakunya Jerawat

Terdapat beberapa sebab yang menyebabkan seseorang itu mendapat jerawat, iaitu:

  • Perubahan hormon
  • Produk penjagaan kulit yang tidak sesuai, mengandungi bahan terlarang dan tamat tempoh
  • Menggunakan produk wajah atau rambut yang berasaskan minyak yang menyumbat pori-pori
  • Bakteria propionibacterium acnes
  • Persekitaran yang berminyak dan kotor
  • Pemakanan yang tidak sihat
  • Tidur yang tidak mencukup
  • Kurang minum air
  • Tidak bersenam
  • Sarung bantal, tilam, tuala rambut dan tuala muka yang jarang ditukar
  • Ubat-ubatan yang mengandungi litium, steroid, isoniazid, bromida, iodin dan phenytoin
  • Tidak menanggalkan solekan dengan betul

Cara Hilangkan Jerawat

Terdapat beberapa cara umum untuk menghindari jerawat bukan sahaja dia muka tetapi juga belakang badan dan dada. Antaranya ialah:

  • Amalkan makanan seimbang dengan mengelakkan makanan yang tinggi gula, garam, minyak dan kanji.
  • Guna alat solek atau produk kecantikan wajah yang bebas komedogenik.
  • Jangan sesekali picit jerawat.
  • Jangan kerap menyentuh bahagian yang berjerawat dengan tangan yang kotor.
  • Minum air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari.
  • Banyakkan makan sayuran dan buah-buahan.
  • Basuh span, berus dan alatan barangan solek dengan kerap. Jangan biarkan ia tidak berbasuh selepas digunakan.
  • Amalkan rutin penjagaan wajah yang konsisten lebih-lebih lagi mencuci muka secara ‘double cleansing.’
  • Sentiasa memakai krim sunblock walau berada di dalam rumah.

Namun begitu, terdapat juga petua-petua tradisional yang boleh diamalkan. Jangan risau petua-petua ini ternyata selamat daripada sebarang bahan kimia dan berkesan. Jom semak!

  1. Penyegar semula jadi

Dalam rutin harian kita, pastinya kita tidak lupa untuk memakai toner atau penyegar. Fungsinya adalah sebagai penyegar wajah dan membersihkan lebihan kotoran di muka walau sudah dicuci.

Terdapat pelbagai jenis toner di pasaran. Ada yang berasaskan alkohol, campuran air dan glyserin dan air sahaja. Jika salah pakai, kemungkinan ia memberi kesan pada kulit. Mungkin juga keadaan jerawat menjadi lebih teruk.

Oleh itu, apa kata gunakan penyegar semula jadi seperti jus lemon, teh hijau dan kulit pisang untuk kulit berminyak. Bagi kulit kering pula, gunakan jus aloe vera, timun dan sebagainya.

  1. Skrub

Skrub sangat efektif untuk menanggalkan sel-sel kulit mati di permukaan kulit yang menyebabkan jerawat. Ia juga akan menyebabkan kulit menjadi lembap dan berseri-seri. Kita boleh menggantikan skrub moden dengan skrub tradisional.

Caranya ialah ambil sedikit madu dan campurkan dengan 1 sudu besar gula pasir. Gosokkan di muka secara perlahan-lahan dan memusing. Anda juga boleh menggunakannya di bibir bagi mengatasi masalah bibir pecah-pecah dan kering.

  1. Masker

Anda boleh menggunakan jus aloe vera, yogurt, susu, timun dan madu sebagai masker. Ia akan membuang sel-sel kulit mati dan menyingkirkan sebum. Malah, bahan-bahan ini sangat baik untuk mengurangkan masalah bintik hitam dan bintik putih.

  1. Pencuci wajah

Biasanya, kita menggunakan pelbagai teknik untuk mencuci muka. Salah satunya ialah ‘double cleansing.’ Yang mana, salah satu pencuci wajibnya ialah berasaskan minyak (sesuai untuk semua jenis kulit) dan kemudian cuci muka dengan pencuci biasa.

Anda boleh masukkan 1 lagi rutin baharu dalam aspek ini. Jangan risau, tak perlu beli pencuci lain pula. Apa yang perlu dibuat ialah ambil separuh timun. Kisar hingga halus. Gunakan patinya untuk cuci muka.

Ini boleh dijadikan rutin terakhir selepas mencuci muka menggunakan pencuci biasa. Biarkan seketika, kemudian anda boleh membilasnya. Hasilnya, lama-kelamaan jerawat akan hilang.

  1. Antiseptik

Anda tidak perlu membeli ubat jerawat di pasaran yang biasanya mahal dan saiznya juga kecil. Jika ada jerawat besar yang menyakitkan, anda boleh cuba petua ini. Ambil sedikit kunyit hidup dan tumbuk lumat. Sapukan pada bahagian jerawat.

Biarkan hingga kering. Selepas itu, basuh muka bersih-bersih. Esoknya jerawat pasti akan mengecut dan wajah anda akan kurang jerawat. Ia merupakan antiseptik dan mengandungi agen antibakteria yang terbaik.

Setakat ini sahaja perkongsian penulis tentang petua hilangkan jerawat dengan berkesan dan selamat. Kadangkala, kita sudah berhabisan ratusan ringgit untuk membeli produk khas untuk jerawat, namun tidak berkesan.

Anda boleh mencuba petua-petua yang dikongsikan ini. Ianya lebih baik kerana tiada bahan kimia atau bahan tercemar di dalamnya. Jika masalah jerawat masih berlarutan, segeralah berjumpa dengan pakar kulit. Anda mungkin memerlukan rawatan dermatologi.

Semoga bermanfaat. Jemput juga baca artikel:

Rujukan

http://www.myhealth.gov.my/kuman-penyebab-jerawat/

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.