Dalam kegembiraan bakal bercuti panjang, ada yang tak senang duduk. Lebih-lebih lagi, bagi kanak-kanak lelaki. Biasanya, ibu bapa akan mengambil peluang cuti panjang ni untuk mengkhatankan anak-anak mereka.

Apa itu berkhatan? Berkhatan ialah ibadah wajib yang disyariatkan dalam agama Islam. Berkhatan bagi lelaki bermaksud membuang lebihan kulit iaitu kulup (foreskin). Ini bermaksud kulit bahagian depan yang menutupi kepala zakar akan dibuang.

Lebihan kulit tu perlu dibuang supaya tak menutupi keseluruhan zakar. Tujuan utamanya ialah supaya kemaluan seseorang tu bersih daripada kekotoran yang terkumpul di bahagian lebihan kulit tu.

Kekotoran yang tak dibersihkan akan menyebabkan keradangan kulit seperti jangkitan saluran kencing. Selain itu, mudah terjadinya penyakit berjangkit yang berpunca daripada hubungan seksual.

Pengalaman berkhatan atau bersunat pastinya seakan-akan mimpi ngeri yang tak boleh dilupakan. Setelah melalui proses ni, ia menandakan kanak-kanak lelaki telah memasuki fasa alam dewasa.

Selepas berkhatan, kanak-kanak kecil tak mampu menjaga diri mereka dengan baik. Justeru, bantuan ibu bapa diperlukan dalam penjagaan mereka agar luka di bahagian zakar lekas sembuh.

Artikel ni akan membincangkan 10 tips penjagaan anak selepas berkhatan yang dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan dalam laman Facebook miliknya. Moga perkongsian ni memudahkan ibu bapa dalam aspek penjagaan luka selepas berkhatan.

berkhatan

Imej via Bidadari

Periksa Balutan Luka

Menurut Dr Kamarul, jangan biarkan balutan luka tak dibuka lebih daripada 72 jam. Balutan perlu dibuka untuk periksa jika terdapat sebarang masalah atau komplikasi seperti jangkitan atau nanah, bengkak, jahitan terbuka atau keruping kulit melekat pada balutan.

Jika langsung tak dibuka, dikhuatiri zakar mengalami komplikasi yang perlu dapatkan rawatan. Oleh itu, ibu bapa perlu membuat pantauan agar tiada sebarang masalah yang timbul. Periksa jika ada kelainan pada luka di bahagian zakar.

Cuci Luka Berkhatan

Jangan biarkan luka berkhatan kering sendiri. Anda perlu mencucinya 2 hingga 3 hari sekali menggunakan normal saline. Normal saline ialah larutan yang sudah disteril menjadikannya lebih selamat untuk mencuci luka berbanding air paip.

Bagaimana cara untuk cuci luka berkhatan? Mula-mula sekali, bersihkan segala daki atau darah kering yang terdapat di sekeliling luka. Kemudian, cuci luka dengan normal saline. Jangan lupa periksa jika ada jahitan yang terbuka atau terdapat sebarang tanda-tanda jangkitan. Akhir sekali, balut semula luka jika semuanya dalam keadaan baik.

Pengambilan Ubat

Biasanya, selepas melalui prosedur berkhatan, pihak hospital atau klinik akan membekalkan ubat. Tujuannya supa luka berkhatan lekas sembuh tanpa sebarang infeksi.

Antara ubat yang diberikan ialah ubat tahan sakit yang hanya perlu diambil ketika berasa sakit saja. Keduanya, antibiotik yang perlu dimakan mengikut masa yang ditetapkan dan mesti dihabiskan.

Selain itu, ubat cucian iaitu normal saline juga diberikan sekali. Malahan, boleh juga dibeli di farmasi. Dr Kamarul menasihatkan supaya jangan menyapu minyak atau herba pada luka. Dikhuatiri berlaku jangkitan pada luka tersebut.

Rasa Ngilu Pada Zakar

Biasanya, kanak-kanak yang baru lepas berkhatan akan memakai kain pelikat untuk keselesaan mereka. Namun, kadangkala apabila kepala zakar bergesel dengan kain atau seluar yang dipakai akan membuatkan mereka rasa sakit dan ngilu.

Ibu bapa tak perlu risau dengan keadaan tersebut dan terangkan pada anak-anak rasa ngilu tu normal. Jika sebelum berkhatan, bahagian kepala zakar dilitupi kulit, kini ia terdedah dan menjadi sensitif. Lama-lama nanti, rasa ngilu tu akan hilang.

Sediakan Pakaian Yang Longgar

Kanak-kanak yang baru lepas berkhatan akan berasa sakit akibat luka berkhatan. Oleh itu, sediakan pakaian yang longgar dan selesa. Boleh saja pakai seluar, jika anak-anak selesa. Janji jangan ketat.

Ini penting supaya aliran darah tak terganggu dan dapat pengudaraan yang secukupnya. Proses penyembuhan luka juga akan menjadi lebih cepat.

Biarkan Anak-Anak Aktif

Jika pada zaman dulu, kanak-kanak lelaki yang baru lepas berkhatan hanya berbaring saja tanpa buat apa-apa. Bangun saja, pasti kena leter dengan datuk dan nenek. Sebenarnya, cara tu salah.

Selepas saja berkhatan, biarkan anak-anak berjalan. Jangan biarkan mereka berbating saja. Kenapa? Aktiviti ringan ni dapat bantu pengaliran darah menjadi lancar. Selain itu, luka juga akan cepat sembuh. Namun, jangan pula lasak sangat seperti main bola atau sepak takraw.

Pastikan Minum Air Secukupnya

Kanak-kanak yang baru lepas berkhatan perlu minum air secukupnya. Air yang secukupnya penting dalam proses penyembuhan luka.

Pantang larang orang dulu-dulu yang mengatakan jika minum air banyak-banyak akan menyebabkan bentan, tak benar. Oleh itu, ibu bapa perlu memberi air masak secukupnya. Malahan, boleh juga sediakan jus buah-buahan yang banyak khasiat.

Makan Makanan Seimbang

Seperti juga sebelum berkhatan, kanak-kanak perlu makan hidangan yang berkhasiat. Pastikan hidangan tersebut lengkap dengan vitamin, kalsium, protein, zat besi, serat, karbohidrat dan sebagainya.

Jangan risau, berikan saja ayam, telur, ikan, kicap dan sayur yang menjadi pantang ketika baru lepas berkhatan. Ia tak akan menyebabkan kegatalan dan warna kehitaman pada luka bersalin.

Namun, jika ada masalah alergik, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Yang paling penting makan seperti biasa, namun cukup khasiatnya.

Jika Luka Masih Tak Sembuh

Menurut doktor lagi, luka berkhatan biasanya akan pulih dalam tempoh masa 10 hingga 14 hari. Namun jika sebaliknya, segera bawa anak anda berjumpa doktor. Antara tanda-tanda yang perlu diberi perhatian ialah masih rasa sakit pada luka, luka membengkak, banyak nanah, demam yang tinggi dan sukar untuk kencing.

Perkara ni tak boleh dipandang ringan. Kemungkinan berlaku jangkitan serius yang perlu dirawat dengan segera. Sentiasa pantau keadaan luka berkhatan tersebut.

Rawatan Susulan

Kini, terdapat pelbagai jenis kaedah berkhatan. Oleh itu, setiap kaedah ni perlukan rawatan susulan yang berbeza. Biasanya, selepas berkhatan doktor akan memaklumkan kepada ibu bapa tentangnya.

Jika menggunakan kaedah jahitan secara konvensional, jahitan berkhatan tersebut tak perlu dibuka. Manakala jika menggunakan teknik klamp, anda perlu membawa anak berjumpa doktor untuk membuka jahitan. Akhir sekali, jika menggunakan kaedah gam, tak perlu berjumpa doktor.

Seperti yang dijelaskan di atas, jika terdapat tanda-tanda komplikasi dan jangkitan, anda perlu membawa anak untuk dapatkan rawatan.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu menjaga anak-anak yang baru lepas berkhatan agar proses penyembuhan luka menjadi pantas. Selain itu, dengan penjagaan yang teliti anak-anak akan berasa selesa dan tiada sebarang masalah.

Moga penulisan ni dapat memberi manfaat kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak lelaki yang bakal berkhatan kelak. Terima kasih yang tak terhingga kepada Dr Kamarul atas perkongsian yang dapat membantu ibu bapa dalam menjaga anak-anak selepas berkhatan.

*Jemput juga baca artikel batuk kering kanak-kanak dan anak hiperaktif

Rujukan

  1. https://www.facebook.com/search/top/?q=dr%20kamarul%20berkhatan&epa=SEARCH_BOX
  2. https://www.bharian.com.my/node/230434

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.