Membesarkan bayi memerlukan kos yang sangat tinggi. Ia adalah kenyataan yang perlu kita semua hadapi. Kita perlu membayar yuran taska atau pengasuh, membeli susu dan lampin pakai buang, malah pemeriksaan dan imunisasi juga bukan murah harganya.

Oleh itu, kami faham bahawa anda cuba untuk berjimat selagi yang mampu. Salah satu daripada perkara yang boleh dijimatkan ialah lampin bayi yang dipakaikan kepada bayi setiap hari.

Pernah tak anda kira berapa ringgit yang anda belanjakan untuk membeli lampin bayi anda setiap bulan? Pastinya anda terkejut kalau kami katakan total duit yang anda keluarkan untuk membeli lampin bayi anda setiap bulan, kalau disimpan boleh dapat sebentuk cincin emas setiap bulan. Anda mesti teruja nak tau tips jimat beli lampin bayi yang nak kami kongsikan sekejap lagi, betul tak?

lampin bayi
Sumber: Verywellfamily

Gunakan lampin kain pada waktu siang, gunakan lampin pakai buang pada waktu malam sahaja

Pernahkah anda terfikir bahawa anda boleh berjimat dengan sangat banyak jika bertukar kepada lampin kain yang boleh dibasuh dan digunakan semula? Malah harga lampin kain adalah sangat murah dan tidak membebankan untuk dibeli. Jika anda ingin menggunakan lampin kain, di antara perkara asas diperlukan ialah:

  • Kain lampin
  • Pin untuk melekatkan kain lampin
  • Nappy liner atau alas untuk diletakkan di dalam kain lampin agar tidak terlalu kotor jika bayi anda membuang air besar. Nappy liner akan menjadi pelapik agar najis tidak terus terkena pada lampin yang dipakai. Nappy liner adalah seperti kertas dan ianya adalah jenis pakai buang.
  • Plastik lampin untuk dipakaikan di luar kain lampin agar seluar bayi anda tidak basah jika lampinnya bocor.

Walau bagaimana pun, walau pun lampin kain adalah murah dari segi kos, tidak ramai ibu yang memilih untuk menggunakannya memandangkan lampin kain perlu dibasuh dan dibersihkan setiap hari. Ianya adalah amat memenatkan.

Tambahan lagi, lampin kain tidak sehebat lampin pakai buang dalam aspek serapan. Lampin kain perlu disalin dengan lebih kerap berbanding lampin pakai buang, jadi pada waktu malam pastinya ia akan menjejaskan tidur si ibu akibat perlu menukar lampin bayi dengan kerap.

Oleh itu, kami sarankan agar anda menggunakan lampin kain pada waktu siang sahaja. Pada waktu siang anda berada dalam keadaan jaga maka tiada masalah untuk selalu menukar lampin bayi jika memakai lampin kain.

Pada waktu malam atau jika membawa bayi anda keluar berjalan-jalan, pakai lampin pakai buang seperti biasa bagi memudahkan urusan anda. Bijak kan idea kami?

Selain menjimatkan wang, pemakaian lampin kain juga mengurangkan risiko bayi anda terkena ruam bayi kerana ia tidak mempunyai bahan kimia seperti lampin pakai buang.

Jika bayi anda dipakaikan lampin pakai buang, setiap kali bayi anda membuang air kecil atau air besar, najis akan bertindak balas dengan bahan kimia yang ada dalam lampin pakai buang tersebut lalu menyebabkan kerengsaan pada kulit. Akibatnya bayi anda akan mula mengalami ruam lampin.

Itulah puncanya kalau anda perasan, bayi anda cuma serasi dengan jenama lampin yang tertentu sahaja. Jenama yang lain akan menyebabkan bayi anda mengalami ruam lampin. Jika bayi anda dipakaikan dengan lampin kain, kebiasaannya masalah ruam lampin sangat jarang berlaku kerana tiada bahan kimia merbahaya yang boleh menjejaskan kulit bayi anda yang lembut. Maka anda tidak perlu lagi risau dengan masalah ruam lampin yang memeningkan.

Walau bagai mana pun jika anda meninggalkan bayi dengan taska atau pengasuh, disarankan supaya anda berbincang dengan mereka terlebih dahulu sebelum menukar lampin bayi anda kepada lampin kain semasa menghatar bayi anda untuk dijaga. Ini kerana pemakaian lampin kain agak leceh. Malah ada taska yang mempunyai polisi yang melarang sama sekali penggunaan lampin kain.

Beli lampin pakai buang secara online

Setiap kali membeli lampin pakai buang untuk bayi anda, pastinya anda akan membandingkan harga di antara setiap kedai dan pasaraya, bukan? Kat mana harganya paling murah, di situlah anda akan beli setiap bulan. Atau pun jika anda dengar ada jualan murah lampin pakai buang bayi, anda akan memborong setakat yang mampu untuk berjimat.

Namun tahukah anda bahawa pada zaman moden ini, membeli lampin pakai buang secara online di laman web seperti shopee dan lazada adalah jauh lebih murah memandangkan ada ramai penjual yang bersaing untuk mendapatkan jualan yang banyak. Persaingan yang wujud akan menyebabkan lampin pakai buang bayi dijual dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga yang dijual di kedai atau pasaraya.

Apa yang lebih menarik, laman web seperti shopee selalu mengadakan jualan murah. Dah lah harganya memang sedia murah daripada harga yang dijual di kedai dan pasaraya, ada jualan murah lagi. Untung berganda-ganda untuk anda.

Oleh itu, selepas ini jika anda nak membeli lampin pakai buang untuk bayi anda, sila beli secara online untuk mendapat penjimatan yang banyak. Kalau anda bernasib baik, anda juga akan mendapat free gift yang menarik dari penjual di sana.

Itulah dia info tentang tips jimat membeli lampin bayi yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang ruam bayi dan bayi tidak berak

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.