Ketahui tentang Perang Tabuk dan pengajaran yang boleh kita pelajari daripada peristiwa penting ini.

Perang Tabuk berlaku pada bulan Rejab tahun ke-9 Hijrah (Oktober 631M) dan Rasulullah bersama pasukan Islam pulang dari perang pada 26 Ramadan. Peristiwa ini berlaku di suatu kawasan paling utara di semenanjung tanah Arab yang bernama Tabuk. Perang ini juga merupakan perang terakhir yang disertai dan diketuai oleh Rasulullah selepas berhijrah ke Madinah. Ketika itu Baginda berusia 53 tahun.

Sebaik mendapat berita tentang ancaman Rom terhadap Islam, Rasulullah SAW segera mengarahkan pasukan Islam bersiap sedia. Dalam keadaan yang serba kekurangan itu, pasukan Islam akhirnya bersedia serta mengharungi perjalanan ke Tabuk dalam 20 hari perjalanan.

Perang Tabuk merupakan peperangan yang melibatkan bilangan pasukan Islam yang ramai serta mempunyai cabarannya yang tersendiri, antara ujian yang perlu dilalui oleh pasukan Islam ketika itu adalah;

  • Perang Tabuk membabitkan musuh Islam yang paling besar dan terkuat ketika itu iaitu pasukan Rom Timur.
  • Pasukan tentera Rom sangat ramai berbanding dengan pasukan Islam.
  • Keadaan cuaca di kawasan peperangan sangat panas dan terik.
  • Dalam cuaca yang panas itu, tentera Islam mengalami kekurangan makanan dan minuman.
  • Di Madinah, adalah musim menuai hasil kurma. Kerana taqwa dan panggilan jihad pasukan Islam terpaksa meninggalkan kebun dan tuaian mereka.
  • Perjalanan dari Madinah ke Tabuk adalah sangat jauh.

Selain itu, Perang Tabuk membawa banyak pengertian dan pengajaran kepada kepada umat Islam, iaitu sewaktu sebelum berangkat ke Tabuk, sehinggalah peperangan selesai. Antaranya adalah;

#1 Menguji Keimanan Umat Islam

Dalam peperangan ini jelas memperlihatkan golongan yang benar-benar ikhlas berjuang. Mereka adalah golongan yang menyahut seruan jihad dengan segera dan sukarela kerana benar-benar cintakan agama Islam. Ada juga golongan yang berdalih apabila tidak mahu menyertai perang. Ada culas serta mencari kepentingan diri sendiri dengan menarik diri dalam peperangan, serta masih ada yang ragu-ragu serta tidak mengikut arahan semasa perjalanan ke Tabuk dan sebagainya.

Bahkan dalam Perang ini, terdapat tiga orang sahabat Rasulullah SAW iaitu Ka’ab Bin Malik, Mararah al Rabi’ dan Hilal bin Umaiyah yang menarik diri daripada berjuang di medan Tabuk. Awalnya Rasulullah ingin membenarkan tetapi Allah SWT memperingatkan melalui surah at-Taubah: 111 tentang jihad. Sebagai hukuman (selepas perang) Ka’ab bin Malik diasingkan daripada isterinya selama 40 malam dan mereka turut dipulaukan oleh Rasulullah dan sahabat  memulau mereka selama 50 hari.

Begitu juga selepas pulang dari Tabuk, memperlihatkan ramai umat Islam yang tinggal di Madinah masih goyang pendirian tentang Islam sehingga ada yang terpengaruh dengan golongan munafik.

#2 Pengorbanan Harta  dan Nyawa

Dalam setiap peperangan, menjadi kebiasaan bagi umat Islam untuk menyumbang dan membantu membuat persiapan peperangan melebihi kemampuan mereka sendiri. Dalam Perang Tabuk, Uthman bin Affan telah memberikan sebanyak  1,000 dinar,  900 ekor unta, 100 ekor kuda selain  menanggung persiapan peperangan, seperti senjata, makanan serta ubat-ubatan pasukan Islam.

Selain itu, Saidina Umar al-Khattab juga mendermakan separuh hartanya untuk peperangan ini. Malah Saidina Abu Bakar menyerahkan seluruh hartanya.  Manakala Abdul Rahman Auf memberikan 200 uqiyah perak. Ramai lagi sahabat yang turut menderma  sedangkan mereka sendiri dalam kesusahan. Tidak cukup dengan menyerahkan wang dan harta, mereka turut menyerahkan jiwa dan nyawa demi Islam.

#3 Umat Islam Yang Cintakan Berjihad

Semasa pasukan Islam ingin berangkat ke Tabuk, terdapat golongan yang benar-benar mahu berjihad dan beperang dengan ikhlas menangis kerana tiada kelengkapan untuk menyertai peperangan itu, terutamanya mereka tidak mempunyai tunggangan untuk ke sana. Mereka terdiri daripada tujuh orang daripada golongan Ansar dan bani Amru bin Auf.

Mereka terpaksa ditinggalkan dalam kesedihan dan tangisan kerana tidak mampu menyumbang apa-apa dan digelarkan sebagai ‘al-Bakka’un’(orang-orang yang menangis).

Allah SWT mengabadikan hal ini dengan berfirman:

“Mereka kembali, sedangkan mata mereka bercucuran air mata kerana sedih tidak memperoleh apa yang akan mereka infakkan.”

(at-Taubah:92)

#4 Mengenali Musuh Islam Yang Sebenar

Muncul banyak golongan yang menentang Islam dalam diam ketika itu, tambahan lagi semasa peninggalan Rasulullah SAW ke Tabuk. Antaranya golongan musuh dalam selimut atau munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan munafik ini terbahagai kepada tiga kumpulan;  kumpulan pertama adalah yang mempengaruhi tentera Islam supaya tidak menyertai perang dan mereka sendiri tidak menyertainya.

Rasulullah SAW sedar akan hal tersebut dan sangat bimbang lebih ramai umat Islam yang terpengaruh. Baginda SAW mengambil tindakan tegas dengan mengutuskan Talhah bin Ubaidillah menghadapi mereka iaitu dengan membakar rumah seorang Yahudi bernama Sulaim yang menjadi tempat kaum munafik berkumpul.

Kumpulan kedua pula bertindak memecahkan tentera Islam untuk mengkhianati Rasulullah SAW. Mereka adalah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan cuaca yang panas dan sebab penting diri yang lain,  walaupun mempunyai kelengkapan yang lengkap. Mereka terdiri daripada 82 orang dari Bani Ghafar.

Golongan ketiga pula adalah mereka yang menunggu kepulangan Rasulullah SAW untuk merasmikan atau menunjukkan sebuah masjid yang mereka bina untuk bermegah-megah selain mengkhianati Islam.

Disebabkan itulah Perang ini juga dikenali sebagai ‘Perang Pembongkaran’  kerana membongkarkan sikap golongan munafik berserta rancangan, serta tipu daya mereka terhadap  umat Islam dan Rasulullah SAW.

#5 Usaha Musuh yang Sentiasa Menjatuhkan Islam

Semasa Rasulullah SAW di Tabuk, pelbagai hal berlaku di Madinah. Muncul Abu Amir ar-Rahib dari suku Khazraj bertindak memecah-belahkan umat Islam semasa ketiadaan Baginda. Sebelum Rasulullah SAW tiba di Madinah dahulu, dia mempunyai kedudukan mulia di kalangan bani Khazraj. Namun dengan adanya Rasulullah SAW, dia tidak lagi dianggap sebagai orang penting.

Lalu, bagi mengembalikan kedudukannya, dia membina sebuah masjid berdekatan dengan Masjid Quba. Masjid Dhirar atau ‘masjid bencana’ ini dibina dan sering dikunjungi oleh kaum munafik  untuk mengubah ajaran Allah selain memecah-belahkan umat Islam.

Sebaik sahaja pulang dari Tabuk, Rasulullah SAW membakar masjid ini dan  80 orang kaum Muslim yang tidak ikut perang memohon keampunan Rasulullah SAW. Kesemua mereka dimaafkan, tetapi tiga orang ditangguhkan; Kaab bin Malik, Murarah bin ar-Rabi dan Hilal bin Ummayah.

#6 Ujian Perjalanan Ke Tabuk

Perjalanan ke Tabuk sangat sukar dengan  mengambil masa hampir 20 hari dengan jarak yang sangat jauh iaitu kira-kira 700-800km dari kota Madinah.  Dalam keadaan yang kekurangan makanan dan minuman, pasukan Islam terpaksa melalui jalan yang berpadang pasir dengan cuaca yang sangat terik sehingga dikatakan tumit kaki mereka merekah.

Pasukan Islam juga mengalami kekurangan kenderaan dan diriwayatkan seekor unta dinaiki sehingga 10 orang tentera. Sebab itulah mereka juga digelarkan sebagai ‘Jaisyul Usrah’ yang bermaksud ‘pasukan yang dalam kesulitan’.

#7 Bukti Kerasulan dan Mukjizat Rasullulah SAW

Dalam perjalanan menunju ke Tabuk juga, ditunjukkan banyak bukti kerasulan Rasulullah SAW melalui pertolongan Allah SWT. Antaranya ketika para tentera Islam mengadu  kehausan kerana keadaan padang pasir yang kering.  Baginda memanjatkan doa agar diturunkan hujan, lalu Allah SWT memperkenankan doa Baginda dengan menurunkan hujan yang lebat dan pasukan Islam dapat mandi serta minum.

Selain itu, Allah SWT menunjukkan mukjizat Baginda dengan mengeluarkan air melalui celahan jari Baginda dan diminum oleh ribuan tentera Islam.

#8 Berhadapan Dengan Pasukan Yang Kuat

Empayar Rom merupakan sebuah kerajaan yang besar dan terkuat ketika itu. Pasukan tenteranya yang ramai memenangi banyak peperangan besar kerana kekuatan dan kegagahan meraka.

Disebabkan itulah Maharaja Rom ketika itu berasa mereka perlu meluaskan kuasa sehingga ke negara Arab. Bahkan dalam Perang Tabuk ini, pasukan Rom telah diketuai oleh Hercules dengan 40,000 tentera dan dibantu oleh Bani Ghassan untuk menawan kerajaan Islam.

Walaubagaimanapun, ketika sampai di Tabuk, Allah SWT menimbulkan rasa takut dan gentar kepada  tentera Rom sehingga tidak berani menghampiri pasukan Islam.  Diriwayatkan mereka melihat 100,000 tentera malaikat yang berada dalam pasukan Islam sehingga akhirnya mereka berundur.

#9 Kekuatan dan Perpaduan Islam Melemahkan Musuh

Tiba di Tabuk, Rasulullah SAW dan pasukan Islam mendapati pasukan musuh tiada. Namun Baginda terus menawarkan perjanjian perdamaian dengan kerajaan-kerajaan di sekitar Tabuk, untuk menjamin keselamatan dan keamanan mereka selagi mereka tidak menyebelahi musuh Islam dan memerangi Islam.

Semua kabilah menerima tawaran Baginda  itu dengan tangan terbuka. Termasuklah Yuhana bin Ru’bah seorang penguasa yang datang menawarkan perdamaian bersama Rasulullah dan sanggup membayar jizyah.

Kebijkasanaan Rasulullah SAW ini telah menguatkan benteng Islam dan menjadikan pertahanan pasukan Baginda semakin kukuh, lalu berjaya menakutkan pihak musuh sehingga menyekat kemaraan musuh.

#10 Perancangan Dalam Peperangan

Pasukan tentera Islam telah membuat perancangan yang teliti dan berhati-hati yang diketuai oleh Baginda SAW sendiri. Pasukan Islam mahukan peperangan berlaku di kawasan luar kota suci Madinah dan Mekah. Sehingga akhirnya meraka bersetuju untuk bertempur di suatu kawasan padang pasir yang bernama Tabuk. Pada awalnya Rasulullah SAW tidak menjelaskan secara rinci tentang lokasi peperangan ini.

Walaupun tentera Islam bersedia dengan 30,000 orang  tentera termasuk 10,000 dari angkatan berkuda dan dipimpin oleh Baginda sendiri, untuk menentang kekuatan Rom. Rasulullah SAW tetap mempunyai rancangan dan stretegi tersendiri dengan menguatkan penyatuan Islam di sekeliling wilayah Tabuk, seperti Ailah, Jarba’ dan Azruh, sehingga akhirnya pihak musuh berundur.

Sebenarnya, Rasulullah SAW membawa strategi penting iaitu dakwah yang berjaya menawan serta mengislamkan kaum Musyrikin, bukannya memerangi atau menjajah mereka. Taktik ini bukan sahaja menguatkan kedudukan pertahanan Islam tetapi telah mempersaudarakan Muslim yang berbeza bangsa.

Penutup: Tabuk menunjukkan musuh Islam yang  nyata dan di bawah selimut

Selepas melalui pelbagai cabaran, pertempuran di Tabuk tidak berlaku dan berakhir tanpa pertumpahan darah. Pun begitu, ujian Tabuk masih berterusan di Madinah dengan musuh Islam yang lebih dasyat iaitu menghadapi kaum munafik yang lebih berbahaya.

Kaum Munafik yang berpura-pura merupakan racun paling berbisa yang kesannya sedikit demi sedikit akan menghancurkan Islam daripada dalam. Andai ketika sewaktu Rasulullah masih hidup pun golongan ini sudah ada dan berani untuk menghancurkan Islam, apatah lagi kini pastilah mereka semakin berani.

Tinggal kita ini yang harus bertindak seperti mana untuk mengekang usaha mereka dan mempertahankan Islam dengan sebaik mungkin, dengan nyawa sekalipun!

Jemput juga baca artikel menarik kami yang lain, seperti: Peperangan Dalam Islam dan Biodata Salahuddin al-Ayyubi

 

Rujukan:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.