Langkau ke kandungan
Bidadari
Menu

3 Panduan Mendidik Anak Menurut Islam

Mendidik anak mesti ada panduannya. Sebagai orang Islam, sudah pasti rujukan Al Quran dan As Sunnah itu adalah paling terbaik buat ibu bapa kini kerana…

KeluargaDikemas kini 8 Mei 2018oleh Faz
Gambar seorang ibu sedang mendidik dan berinteraksi dengan anak kecil secara penuh kasih sayang.

Ringkasan Ringkas

  • Terdapat 3 peringkat didikan anak dalam Islam: 0-7 tahun (raja), 8-14 tahun (tawanan), dan 15-21 tahun (sahabat).
  • Peringkat 0-7 tahun: Melayan anak sepenuh hati kerana anak mudah meniru akhlak dan tingkah laku ibu bapa.
  • Peringkat 8-14 tahun: Beri hak, tanggungjawab dan kewajipan agama seperti solat, tutup aurat dan membaca Al Quran.
  • Peringkat 15-21 tahun: Jadikan anak sebagai sahabat, beri ruang dan kebebasan dalam pengawasan ibu bapa.
  • Ibu bapa wajib terangkan perubahan fizikal dan emosi serta tanggungjawab beramal selepas akil baligh.
  • Generasi yang unggul terlahir dari keluarga yang harmoni dan berpandukan Al Quran dan As Sunnah.

Mendidik anak mesti ada panduannya. Sebagai orang Islam, sudah pasti rujukan Al Quran dan As Sunnah itu adalah paling terbaik buat ibu bapa kini kerana harta yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w ini relevan sehingga akhir zaman. Walau kita berhadapan dengan zaman yang berubah, teknologi yang canggih, cara didikan generasi kini memang mencabar. Namun, berpegang kepada Al Quran dan As Sunnah, pasti kita dan keluarga sentiasa berada di jalan yang lurus dan dirahmati Allah swt. Dalam Islam telah merumuskan terdapat 3 peringkat dalam mendidik anak iaitu:

  1. Peringkat Pertama (0-7 tahun) - Melayan Anak Sebagai Raja
  2. Peringkat Kedua (8-14 tahun) - Melayan Anak Sebagai Tawanan
  3. Peringkat Ketiga (15-21 tahun) - Melayan Anak Sebagai Sahabat

Ibu mengajar anak membaca al-Quran

Imej via facebook

Mari kita ikuti penjelasan yang lebih terperinci hasil perkongsian Ustaz Afifuddin Shukri di laman facebook milik beliau.

1. Peringkat Pertama ( 0-7 tahun)

  • MELAYAN ANAK SEBAGAI RAJA

Melayan anak di bawah umur 7 tahun dengan sepenuh hati dan ikhlas adalah perkara yang terbaik pada fasa ini. Anak adalah cerminan kita. Semua yang kita lakukan walaupun sekecil-kecil perkara akan memberi impak kepada pembangunan tingkahlaku anak-anak. Contohnya, jika kita segera menyahut dan mendekati anak ketika mereka memanggil walaupun pada saat itu kita sedang sibuk, maka anak juga akan bertindak balas sedemikian apabila dipanggil oleh ibu dan ayahnya. Pernah alami jika kita mengurut suami atau isteri yang keletihan pulang dari kerja, anak juga akan meniru perbuatan itu jika dia mendapati ibu dan ayahnya keletihan? Mereka akan beriya mengurut dan memicit kita sambil mulut yang tidak berhenti-henti bercakap.. “Ibu sakit dekat mana?”. “Ayah penat kerja, mari kakak urut”. “Kesian ibu penat berdiri dekat dapur, meh kakak tolong urutkan”. Comelkan?😍. Itulah anak. Mereka akan ‘tiru’ segalanya apa yang ibu dan ayahnya sering lakukan. Oleh itu, sentiasalah menyemai akhlak yang baik dalam diri anak-anak sejak dari kecil agar mereka membesar dengan akhlah yang terpuji. Berikan perhargaan, perhatian, kasih sayang, pujian kepada mereka. Apabila kita sentiasa berusaha untuk menggembirakan mereka, insyaAllah mereka akan membesar dalam suasana yang positif, penyayang dann bertanggungjawab. Jika ibu bapa melayan anak seperti RAJA, maka anak juga akan suka melayan ibu bapa sebagai RAJA dan RATU💖.

Kanak-kanak bermain di taman

Imej via osolihin.wordpress

2. Peringkat Umur (8-14 Tahun)

  • Anak Sebagai Tawanan

Dalam Islam, kedudukan tawanan perang adalah sangat dihormati. Mereka akan mendapat hak dengan kadar tertentu tetapi juga akan dikenakan berbagai larangan dan tanggungjawab. Pada usia 8 hingga 14 tahun adalah umur yang sesuai untuk memberikan anak-anak hak, tanggungjawab dan kewajipan tertentu. Contoh yang paling mudah difahami ialah cara Islam memberi panduan dalam mendidik anak kecil bersolat. Rasulullah s.a.w mula mengajar anak untuk solat pada usia 7 tahun dan membolehkan penjaga untuk menghukum anak dengan kadar sepatutnya jika anak tersebut meninggalkan solat setelah usia 10 tahun ke atas. Oleh itu, fasa umur ini adalah masa yang amat sesuai untuk mendidik anak tentang hal-hal yang berkaitan dengan hukum hakam agama seperti:

  • Menunaikan solat 5 waktu
  • Menutup aurat
  • Menjaga pergaulan dengan yang berlainan jantina
  • Membaca Al Quran

Ibu berbual dengan anak remaja

Imej via zuriat.my

3. Peringkat Umur (15-21 Tahun)

  • Anak Sebagai Sahabat

Secara umumnya, umur 15 tahun adalah usia  anak telah akil baligh. Ibu bapa haruslah meletakkan diri mereka seperti seorang sahabat kepada anak-anak. Sentiasa amalkan komunikasi yang berkesan, berbicara dari hati ke hati dan menjelaskan kepada anak-anak bahawasanya mereka telah menjadi seorang remaja. Adalah penting bagi ibu bapa untuk menjelaskan tentang perubahan fizikal yang berlaku pada diri anak-anak. Pada fasa ini, anak-anak remaja akan mengalami pelbagai perubahan dalam diri mereka seperti perubahan emosi, rohani dan sosial. Kebanyakkan pergolakan sering terjadi pada peringkat ini. Ibu bapa perlulah memainkan peranan yang penting dalam membantu anak-anak mengurus perubahan ini agar mereka tidak tersilap langkah dan membuat sesuatu perkara yang memudaratkan. Perkara yang paling penting ialah menanamkan kesedaran dalam diri anak-anak bahawa umur selepas akil baligh mereka telah dipertanggungjawabkan ke atas setiap amalan yang dilakukan di atas dunia ini. Setiap amalan akan dihisab dihadap Allah swt.

Remaja lelaki membaca buku

Imej via www.bharian.com.my

Anak-anak yang sedang melalui fasa ini memerlukan ruang mereka sendiri supaya mereka tidak berasa terkongkong. Namun, setiap kebebasan yang dilakukan hendaklah masih di dalam pengawasan ibu bapa. Ruang, kebebasan, perhatian dan pengawasan yang pada kadarnya akan membantu anak-anak ini membesar dalam suasana yang positif. Mereka akan berasa lebih dihargai, dihormati dan disayangi di dalam keluarga. Perkembangan emosi yang baik akan membantu pembentukkan personaliti dan peribadi yang unggul. Semoga kita dapat membesarkan anak-anak sebagai pemimpin yang bermanfaat buat ummah. Lahirnya generasi yang UNGGUL adalah dari KELUARGA yang harmoni.   Sumber: Perkongsian dari Ustaz Afifuddin di laman facebook milik beliau.