Tepung sering digunakan dalam masakan sehari-hari sama ada untuk membuat kuih, pemanis mulut dan memekatkan kuah dan sebagainya. Antara tepung yang sering digunakan ialah tepung gandum, beras, jagung, ubi dan pulut.

Setiap tepung ini mempunyai kegunaan yang berbeza. Misalnya untuk memekatkan kuah atau sup, kita biasanya menggunakan tepung gandum atau jagung.

Tepung pulut pula digunakan untuk membuat kuih seperti buah melaka. Tepung beras biasanya djadikan salutan untuk merangupkan pisang goreng.

tepung
Imej Via Bidadari

Jadi, dalam artikel ini penulis akan kongsikan kegunaan lain tepung jagung yang ramai tak tahu. Biasanya tepung jagung digunakan untuk:

  • Memekatkan kuah, sup dan sos.
  • Membuat kuih-muih seperti lepat jagung, bingka, puding dan sebagainya
  • Merangupkan biskut

Kegunaan Lain Tepung Jagung

Tapi, tahukah anda sebenarnya tepung jagung juga mempunyai pelbagai kegunaan lain? Kalau nak tahu, teruskan pembacaan anda.

  • Masker wajah

Kandungan vitamin A, C dan zink di dalamnya mampu mencantikkan kulit wajah. Ia dapat meningkatkan tekstur kulit, mengurangkan kedutan dan mencerahkan wajah. Malahan, dengan penggunaan masker tepung jagung, kotoran di wajah dapat dibuang.

  • Scrub wajah

Selain menjadi masker, tepung jagung juga boleh dijadikan sebagai scrub wajah. Caranya ialah ambil sesudu tepung jagung, sedikit beras yang dihancurkan dan 1 sudu kecil yogurt. Campurkan kesemuanya dengan sedikit air. Gosok wajah dengan perlahan.

Hasilnya wajah anda akan nampak berseri dan terasa lebih lembut. Ia dapat membuang kotoran dan menanggalkan sel-sel kulit mati. Cubalah!

  • Salutan Makanan Bergoreng

Biasanya kita menggunakan tepung gandum dan beras untuk dijadikan salutan makanan bergoreng. Apa kata cuba tambahkan sedikit tepung jagung untuk menambahkan lagi kerangupan ayam, ikan atau tempe goreng anda.

  • Hilangkan bau hancing

Jika ada haiwan peliharaan seperti kucing di rumah, pasti masalah kencing bersepah-sepah menyakitkan kepala. Baunya yang kuat dan hancing tidak mudah dihilangkan dengan sabun biasa.

Cara yang boleh dipraktikkan ialah lap terlebih dahulu air kencing tersebut sehingga bersih. Kemudian, ambil tepung jagung dan ditambah dengan sedikit air. Tuangkan di kawasan tersebut. Biarkan hingga kering sebelum dicuci dengan air dan sabun semula.

  • Membuat aiskrim

Jika anda ingin buat aiskrim homemade, tepung jagung sangat membantu. Anda tidak memerlukan telur atau gelatin kerana tepung ini mampu mengentalkan aiskrim.

tepung
Imej Via Bidadari

Bahan-bahan:

1 liter susu segar

1 cawan whipping cream

2 sudu besar tepung jagung

5 sudu besar gula pasir

3 sudu besar serbuk koko

Cara-cara:

Masukkan susu segar, tepung jagung dan gula pasir ke dalam periuk. Masak dengan api yang perlahan sehingga mendidih. Pastikan anda kerap mengacau adunan tersebut untuk mengelakkan tepung jagung berketul.

Kemudian, masukkan serbuk koko dan kacau lagi. Setelah semua sebati, tutup dapur. Tapis adunan tersebut dan biarkan hingga suam. Setelah itu, masukkan whipping cream dan kacau lagi.

Tuang adunan ke dalam bekas yang sesuai dan masukkan ke dalam bahagian sejuk beku. Setelah aiskrim anda separuh beku, keluarkan semula dan kisar menggunakan mesin pengisar. Kisar sehingga benar-benar halus.

Kemudian, anda boleh masukkan apa sahaja yang disukai seperti coklat cip, kekacang dan sebagainya. Masukkan semula ke dalam bekas tadi dan bekukan semula semalaman.

Anda boleh adjust tahap kemanisan. Kalau hendak tukar perasa lain juga boleh. Ikut kreativiti anda.

  • Penyerap bau hapak

Jika anda mempunyai masalah kaki berbau, pasti segan untuk membuka kasut jika ke mana-mana. Apa yang boleh dibuat ialah taburkan tepung jagung ke dalam kasut. Ia berfungsi untuk menyerap bau yang kurang menyenangkan.

  • Plaster dinding

Sakit pula mata melihat rekahan atau lubang-lubang kecil di bahagian dinding. Jika tak sempat membeli plaster skim coat, gunakan sahaja apa yang ada. Cara terpantas ialah dengan menggunakan tepung jagung.

Ambil sedikit tepung jagung dan tambahkan sedikit air. Jangan terlalu banyak. Agak-agak sahaja untuk menutup lubang. Setelah kering, catkan permukaan dinding tadi dengan cat minyak atau cat kapur.

  • Pelembut fabrik

Terdapat pelbagai jenis pelembut fabrik di pasaran. Namun, kadangkala kita kehabisan stok pula. Jadi, jangan risau gunakan sahaja tepung jagung.

Caranya ialah ambil 4 sudu tepung jagung dan tambah dengan setengah cawan baking soda. Anda juga boleh campurkan sedikit essential oil untuk mengharumkan lagi pelembut fabrik anda. Campur semua sehingga sebati.

  • Kraftangan

Tepung jagung boleh menggantikan tanah liat untuk membuat kraftangan seperti bunga. Antara yang paling terkenal ialah membuat bunga menggunakan sabun mandi.

Sabun mandi yang diparut halus-halus akan dicampurkan dengan sedikit tepung jagung dan air.

Adunan tersebut akan diuli sehingga lembut menjadi seperti doh. Kemudian, kelopak-kelopak bunga dan daun akan dibentuk. Selain cantik dan kreatif, bau harumnya menarik perhatian orang.

  • Mengilatkan perabot dan perkakas rumah

Jika anda nak perabot kayu anda kelihatan baru dan berkilat, gunakan tepung jagung. Caranya ialah tambah sedikit tepung jagung ke dalam bahan cecair penggilap. Kemudian, lapkan sehingga nampak berkilat.

Malahan, anda juga boleh menyental periuk dan kuali yang sudah hitam dengan menggunakan tepung jagung. Kos yang sangat rendah tetapi hasilnya pasti memukau.

tepung
Imej Via Bidadari
  • Membersihkan daki

Anda boleh menggunakan tepung jagung yang ditambah sedikit perahan jus limau nipis atau lemon untuk membersihkan daki di badan. Pastikan adunan tepung jagung tidak terlalu cair.

Badan akan terasa lebih bersih dan segar setelah disental menggunakan tepung jagung. Buat rutin ini seminggu sekali atau 2 kali.

Diharapkan para pembaca dapat info berguna tentang topik kegunaan lain tepung jagung. Selama ini, kita kurang mengetahui kebaikan yang tersembunyi di dalam tepung ini. Lepas ini, anda boleh mencuba salah satu tips yang diberi.

Jangan lupa baca tentang jenis tepung dalam masakan dan tips kecantikan guna tepung pulut

Rujukan

  • Tepung Jagung. Ketahui 10 Kegunaan Lain yang Ramai Tak Tahu (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.