Melayan ibubapa atau mertua yang datang ke rumah boleh menjadi sesuatu yang menarik dan mengembirakan.Namun begitu, ianya mungkin menjadi barah jika silap percaturannya. Pasangan atau ibubapa/ mertua sendiri mungkin akan sedikit berkecil hati jika sesuatu tidak mengikut jangkaan.

Melayan Ibubapa

Melawat cucu [ Studio Grafico EPICS ]

Contohnya, apabila ibubapa sang suami datang. Segala hal biasa yang dibuat mungkin berubah. Hal ini kerana semasa inilah sedaya upaya hendak disorokkan sesuatu yang tidak elok. Segala tabiat kurang enak seperti rumah kurang tersusun akan cuba disembunyikan sebaik mungkin. Kesannya, sang isteri mungkin kurang selesa kerana tekanan yang diberikan secara tidak sedar ini.

Sebenarnya perkara itu mungkin tampak biasa sahaja di mata ibubapa/mertua.Tetapi tekanan untuk memberi yang terbaik semasa kedatangan mereka mungkin akan mengundang sedikit salah faham. Di sini dikongsikan tips untuk mengatasi daripada berlaku hal tidak diingini supaya semuanya tampak cantik semasa kedatangan mereka.

Dibawah ini dikongsikan cara untuk melayan ibubapa atau mertua bertandang ke rumah. Tips ini sesuai untuk pasangan suami isteri Gen Y (iaitu umur sekitar17 – 37) ataupun untuk mereka yang baru berkahwin.

 6 LANGKAH MELAYAN IBUBAPA/MERTUA BERTANDANG KE RUMAH

Objektif utama ibubapa/mertua datang melawat

Secara umumnya, objektif utama ibubapa dan mertua datang ke rumah pasangan anaknya ialah:

a) Untuk melepaskan rindu terhadap cucunya (jika dah bercucu)
b) Melihat sendiri suasana kehidupan anak dan menantunya di rumah mereka

LANGKAH 1: Mengesahkan kedatangan mereka

Sebaik sahaja terdengar desas desus ibu ayah atau mertua nak datang ke rumah, perkara yang wajib dibuat ialah:

1) Dapatkan pengesahan kedatangan mereka dengan telefon dan bercakap terus dengan mereka. Jangan gunakan SMS atau mana-mana pesanan laman sosial. Ini memberikan isyarat yang anda sangat teruja menerima kedatangan mereka.

2) Jika tarikh kedatangan mereka tidak sesuai kerana anda berdua ada urusan pejabat yang tidak dapat dielakkan, maka cadangkan tarikh-tarikh lain. Tindakan ini membolehkan anda berdua lebih bersedia menerima mereka.

3) Jika ibubapa atau mertua ingin juga datang pada tarikh yang tidak sesuai itu, eloklah berterus terang yang anda berdua tidak dapat memberikan layanan yang sebaik–baiknya melalui percakapan bukan dengan SMS. Hanya dengan lisan sahaja, maksud dan emosi dapat difahami oleh ibubapa dan mertua anda.

4) Jika telah mendapat persetujuan, maka bincanglah sesama suami isteri untuk menyusun strategi agar kehadiran ibubapa mertua di rumah anda bukan sahaya menggembirakan mereka, malah menambahkan pahala anda berdua dan peluang mencari redha Allah.

LANGKAH 2: Hari pejalanan ibubapa mertua ke rumah

1) Awal-awal lagi, siapkan bilik tidur untuk mereka mengikut kemampuan yang ada.

2) Jangan aturkan tempat tidur mereka bersama-sama dengan cucu di dalam satu bilik melainkan mereka sendiri yang mempelawa cucu tidur bersama.

3) Jangan pula minta mereka tidur di bilik rasmi tidur anda (master bedroom). Ini akan menyebabkan mereka tidak selesa.

4) Salah seorang daripada anda telefon mereka yang sedang dalam perjalanan dengan mengatakan, “ Nanti sampai di rumah, kita makan sama-sama”. Walaupun waktu ketibaan mereka bukan waktu makan tengahari atau makan malam. Ini bertujuan untuk menyatakan kegembiraan dia atas kesudian mereka datang ke rumah. Jika mereka “berkeras” tidak mahu dilayan sebegitu kerana mereka kenyang atau sebagainya, maka sediakan juga minuman dan kudapan untuk menyambut ketibaan mereka sekalipun mereka tiba waktu tengah malam.

5) Jangan sekali-kali bertanya dengan menggunakan ungkapan ini, “Ayah dan mak dah makan ke?”. Sudah pasti mereka akan jawab, “Dah, tak perlu susah-susah”. Kebanyakan ibubapa mertua memang berniat nak makan bersama-sama semasa bertemu nanti.

LANGKAH 3: Disiplinkan anak-anak melayan atuk neneknya

1) Sehari sebelum ibu ayah mertua datang, eloklah diberikan taklimat kepada anak-anak terutama sekali yang sudah mengerti dan memahami kerinduan orang tua kepada cucunya.

2) Beri mereka latihan menyambut datuk nenek mereka di pintu, bila makan bersama datuk nenek dan semasa bermain dengan datuk nenek.

3) Latih anak-anak agar tidak “MENGARAH” Atuk dan Opahnya itu ini mengikut kehendak mereka. Tingkahlaku cucu mereka ini juga boleh memberikan persepsi dan jawapan kepada objektif kedua mereka datang bertandang ke rumah anda.

LANGKAH 4: Ketibaan di rumah anda

1) Semua ahli keluarga hadirkan diri untuk menyambut mereka di pintu utama rumah. Walaupun mereka sampai waktu tengah malam, suami isteri WAJIB bersalaman menyambut mereka. Sunat kejutkan anak-anak menyambut Atuk dan Opah mereka. Alangkah terhibur dan hilang penat lelah perjalanan seharian ibubapa mertua jika anda sekeluarga menyambut mereka.

2) Jika anda tidak dapat melayan mereka untuk jangka masa yang lama kerana tersangat mengantuk atau mempunyai urusan lain, mintalah kebenaran daripada mereka. Mereka juga memahami.

3) Jangan bertanya soalan ini, “Ayah dan mak nak balik bila?’ Ini akan menyinggung perasaan mereka.

4) Ungkapan yang baik ialah “Kami ada banyak aturcara untuk mak dan ayah ni.. esok ke ke.. lusa ke.. tulat ke..” Tunggulah respon daripada mereka. Daripada jawapan mereka, anda berdua boleh mengagak tarikh mereka bercadang untuk pulang ke kampung. Maka bincanglah suami isteri di dalam bilik untuk melayan mereka selama mereka ada di rumah anda.

LANGKAH 5: “Duplicate” budaya seharian ibu ayah atau mertua di rumah anda untuk keselesaaan mereka

1) Jika ayah kebiasaannya adalah ke masjid untuk solat subuh, sebelum tidur ingatkan beliau yang anda akan kejutnya untuk persiapan ke masjid.

2) Pastikan anda bangun lebih awal daripadanya dan tunggu dia di dalam kereta untuk ke masjid.

3) Jika kebiasaan anda pergi kerja sebelum subuh, maka beritahu kepada ayah atau mertua kedudukan kunci-kunci pintu untuk memudahkan mereka keluar rumah bersendirian ke masjid tanpa menganggu orang lain di dalam rumah itu.

4) Jika kebiasaan ibu ayah bersarapan pukul 7 pagi, maka usahakan bangun awal sama ada membeli atau masak juadah untuk sarapan. Sebaik-baiknya makan pagi pertama di rumah ialah sarapan bersama-sama mereka. Jika terpaksa tinggalkan mereka sebelum makan, eloklah nyatakan kemaafan tidak dapat makan bersama dan pastikan semua makanan tersedia untuk mereka.

5) Kebiasaannya ibu bapa metua akan bawa makanan dari kampung. Maka eloklah dihidangkan juga makanan itu dan makan bersama-sama.

6) Semasa sembang pagi itu, eloklah ceritakan “aktiviti atau budaya anda seharian di rumah itu” kepada ibu ayah mertua agar mereka boleh menyesuaikan pula diri mereka untuk hari-hari berikutnya di rumah anda.

LANGKAH 6: Ibu bapa mertua pulang

1) Sediakan buah tangan untuk mereka membawa pulang.

2) Jika anda “terlebih duit” hulurkan semampunya kepada mereka berdua sebagai belanja tambang pulang ke kampung.

3) Ungkapkan berulangkali, “Nanti datang lagi ya”.

4) Semua turun melambai-lambai hingga mereka hilang daripada pandangan.

5) Berdoalah kepada Allah agar layanan anda itu mendapat pahala dan keredhaan Allah dan doakan agar Allah mengasihi mereka berdua kerana telah menjaga anda berdua dari kecil lagi.

Semoga perkongsian ini membantu.

Penulis: Pak Utih

Pak Utih merupakan pakar mengenai perbezaan lelaki dan wanita. Beliau banyak berkongsikan tips-tips mengenai perhubungan di blog beliau. Selain itu beliau juga sibuk dalam mengendali kursus tentang tips membina keluarga bahagia.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.