Keluarga bahagia adalah idaman setiap pasangan yang berumah tangga. Untuk mendapat keluarga bahagia, semua ahli keluarga memainkan peranan yang penting tak kira si ibu, bapa, malah anak-anak. Keluarga bahagia bukan sahaja berbahagia di dunia malah adalah menjadi impian semua untuk terus berbahagia di akhirat. Nak tak kalau kami kongsikan ciri-ciri keluarga bahagia sebagai panduan kita semua?

Makan dan solat bersama setiap hari

ciri-ciri keluarga bahagia
Sumber: Galaksiberita

Pernah dengar orang kata keluarga yang makan dan solat bersama setiap hari akan mempunyai ikatan kasih sayang yang sangat kuat dan sukar untuk dipisahkan. Ianya adalah sangat benar dan tidak dapat dinafikan lagi. Mungkin anda tertanya-tanya, pada zaman moden ini masing-masing sibuk dengan tanggung jawab. Ibu dan ayah sibuk dengan kerjaya. Anak-anak sibuk dengan pelajaran masing-masing. Macam mana pula nak makan dan solat bersama?

Jom kami kongsikan tips yang boleh anda amalkan:

  • Mungkin kita tak sempat nak solat berjemaah untuk semua solat setiap hari. Terutamanya solat subuh, zohor dan asar di mana semua terkejar-kejar dengan urusan masing-masing. Namun kita boleh solat bersama sewaktu solat maghrib dan isyak. Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk solat bersama. Pada hujung minggu atau semasa cuti, bolehlah bersolat jemaah untuk setiap waktu.
  • Begitu juga halnya dengan makan bersama. Tak dapat makan bersama semasa bersarapan dan makan tengah hari, kita boleh makan malam bersama. Semasa cuti atau hujung minggu, bolehlah makan bersama dari pagi hingga ke malam.

Keluarga adalah segala-galanya dan paling penting dalam dunia

Jika kita memiliki keluarga bahagia, pastinya kita akan merasakan bahawa keluarga adalah segala-galanya buat kita. Takde benda lain dalam dunia yang lebih penting daripada keluarga. Malah segala yang kita lakukan adalah demi keluarga tercinta. Setiap pagi apabila kita celik mata dari tidur, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah keluarga.

Apa pun perkara dan keputusan yang kita lakukan, semestinya akan dilakukan dengan meletakkan keluarga sebagai sandaran utama. Lebih -lebih lagi bagi si bapa yang memegang jawatan sebagai ketua keluarga. Kalau anda sedang mengalami apa yang kami tulis ini, tahniah! Sememangnya anda memiliki sebuah keluarga yang bahagia.

Mendekatkan diri kepada Allah bersama-sama

Ciri keluarga bahagia idaman semua yang seterusnya ialah kita semua akan bersama-sama berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah kerana kita sedar bahawa keluarga bahagia bukan sahaja bergembira di dunia malah akan bersama berkumpul dan berbahagia di syurga nanti. Di antara cara untuk mendekatkan diri kepada Allah bersama-sama ialah:

  • Solat bersama.
  • Mengadakan majlis ta’lim di rumah.
  • Menghadiri majlis agama dan ceramah agama bersama-sama. Kalau tiada masa untuk ke masjid akibat kesibukan dan kekangan masa, kita boleh menonton ceramah agama bersama-sama di rumah. Hari ini terdapat banya rancangan agama di televisyen. Malah di youtube juga terdapat jutaan ceramah agama yang dimuat naik. Apa yang perlu dilakukan ialah pilih ceramah dengan topik pilihan dan ajak ahli keluarga menonton bersama-sama. Ia bukan sahaja membantu mendekatkan diri ahli keluarga dengan Allah malah dalam masa yang sama sangat mengeratkan hubungan sekeluarga.
  • Sentiasa memastikan ahli keluarga menutup aurat dengan sempurna.

Berasa paling bahagia bila berada di rumah berbanding di luar

Seseorang yang mempunyai keluarga yang bahagia akan berasa paling bahagia apabila berada di rumah berbanding berada di luar. Inilah yang dikatakan rumahu syurgaku. Semasa berada di pejabat, hati akan sentiasa teringatkan suami, isteri, dan anak-anak di rumah.

Hati tak sabar untuk balik ke rumah. Habis sahaja waktu bekerja, bergegas nak sampai ke rumah dan bukannya memilih untuk melepak bersama kawan-kawan bersembang di kedai kopi atau mamak.

Apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga, contohnya disebabkan oleh tuntutan kerja, hati akan sentiasa berasa rindu kepada rumah dan tak sabar untuk kembali ke pangkuan keluarga. Inilah dia ciri keluarga bahagia yang paling ketara. Kemanisannya hanya boleh dirasa oleh mereka yang bertuah sahaja.

Seronok untuk melakukan aktiviti bersama-sama

Ciri-ciri keluarga bahagia idama semua yang terkahir ialah seronok untuk melakukan aktiviti bersama-sama, tak kisah apa pun perkara yang dilakukan. Semasa bujang, mungkin kita banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawan.

Tak kira sama ada melepak di mamak bersembang sampai ke pagi, hiking, berkonvoi, bermain futsal, dan sebagainya. Apabila sudah berkeluarga, sepatutnya kita lebih berasa seronok untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Tiada lagi sesi hujung minggu bersama kawan-kawan, sebaliknya digunakan sepenuhnya untuk bersama keluarga. Di antara aktiviti yang boleh dilakukan bersama ialah:

  • Menyertai marathon bersama-sama.
  • Berkelah.
  • Memancing.
  • Menghabiskan masa di rumah dengan melakukan segala-galanya bersama-sama. Memasak, makan, mengemas rumah, dan menonton rancangan kegemaran bersama-sama sambil berpelukan dan bergembira. Bahagia sangat bukan, apabila semua ahli keluarga ada bersama.
  • Berjalan-jalan di taman sambil melihat kehijauan alam ciptaan Allah. Aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan malah dalam masa yang sama juga turut menyihatkan badan.

Itulah dia info tentang ciri-ciri keluarga bahagia dan diberkati Allah idaman semua yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga kita semua memperoleh keluarga bahagia yang selamat bukan sahaja di duni malah sehingga ke syurga. Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang peranan ibu bapa memupuk amalan menabung, peranan ibu bapa, dan tanggung jawab seorang suami.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.