Nak tahu rahsia dan tips tanam bunga orkid supaya subur dan lebat? Artikel ini khas untuk pencinta bunga orkid.

Bunga orkid sama juga dengan pokok-pokok bunga yang lain seperti mawar, ros Jepun, kaktus dan sebagainya mempunyai peminatnya tersendiri. Warna bunga dan kelopaknya yang unik membuat mata tidak jemu memandang.

Pokok hiasan komersil ini mempunyai nilai yang tinggi dan popular di serata dunia. Terdapat pelbagai jenis spesies orkid iaitu melebihi 700 jenis.

Harga pokok orkid bergantung kepada jenisnya. Ada yang murah, ada juga yang sangat mahal. Bagi peminat setia pokok orkid, mereka sering mencari spesies bunga yang cantik.

Spesies yang rare di nurseri boleh mencapai harga ribuan ringgit. Yang lebih mahal tentunya spesies hibrid yang ditanam secara eksperimen. Tidak hairanlah ada yang sanggup berhabisan demi hobi yang satu ini.

Justeru, buat peminat bunga orkid, penulis akan kongsikan rahsia dan tips untuk menanam bunga orkid supaya subur. Teruskan pembacaan anda.

Tips Tanam Bunga Orkid

orkid
Imej Via Bidadari

Ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian supaya pokok-pokok orkid anda subur dan berbunga lebat. Antaranya:

  • Bagi spesies orkid yang mahal, anda boleh menanamnya menggunakan sejenis lumut khas yang mahal. Lumut tersebut boleh didapatkan di nurseri. Kelebihannya ialah pokok orkid hanya perlu disiram seminggu sekali.
  • Ada sesetengah pokok orkid memerlukan cuaca yang sejuk. Jadi, sebelum membelinya dapatkan maklumat yang tepat.
  • Jangka hayat pokok orkid ialah berpuluh-puluh tahun. Syaratnya ialah tiada ancaman bakteria atau terdedah pada cuaca buruk.
  • Pokok orkid biasanya memerlukan cuaca yang panas pada waktu siang dan sebelah malam mestilah sejuk.
  • Pokok orkid perlu disiram sebanyak 2 atau 3 kali sehari jika cuaca panas. Sekiranya mendung, cukuplah sekali.
  • Pokok orkid boleh ditanam melalui 4 cara iaitu keratan batang, belahan rumpun, anak benih dan kultur tisu.
  • Setiap jenis orkid mempunyai cara penjagaan yang berbeza dari aspek baja, air, cahaya matahari dan serangan penyakit.
  • Orkid perlu ditanam di dalam pasu berongga yang mempunyai sistem saliran yang baik.
  • Elakkan penggunaan pasu plastik kerana akan menyebabkan air bertakung kerana tidak mempunyai ruang secukupnya untuk air mengalir.
  • Gunakan pasu yang diperbuat daripada tanah liat untuk pokok orkid jenis menegak. Pasu ini berat dan mampu mengelakkan orkid jenis menegak terbalik dan patah.
  • Bagi bunga orkid jenis terjuntai, ia sesuai ditanam di dalam pasu jenis gantung. Ini akan membuatkan daun dan bunganya terjuntai secara semula jadi.
  • Bunga orkid yang tumbuh tinggi perlukan dawai mudah lentur untuk memberi sokongan kepadanya.
  • Bagi pokok orkid jenis epifit dan menjalar, gunakan arang sebagai medium utama. Sebelum dimasukkan ke dalam pasu, arang perlu direndam semalaman untuk mengeluarkan garam yang terdapat di dalam kayu bakau.
  • Gunakan baja organik untuk menguatkan akar pokok orkid supaya tidak mudah reput. Hasilnya bunga orkid juga akan jadi subur.
  • Jika pokok mula kelihatan layu, segera cantas bahagian tersebut supaya tunas baru dapat berputik. Gunakan gunting yang tajam dan bersih.
  • Teknik siraman yang digalakkan ialah menggunakan penyembur (spray) untuk mengelakkan air bertakung terlalu banyak.
  • Tanam pokok orkid di bahagian luar rumah yang mempunyai sistem pencahayaan yang baik, teduh dan berangin.
orkid
Imej Via Bidadari

Cara Tanam Pokok Orkid

Sediakan arang yang boleh dibeli di nurseri. Sebelum digunakan, rendam arang-arang tersebut terlebih dahulu. Anda juga boleh menggunakan sabut kelapa, batang atau tunggul kayu atau batu-bata yang dipecahkan.

Kemudian, masukkan arang sebanyak 3/4 ke dalam bekas atau pasu. Ambil pokok orkid dan letakkan ke dalam pasu. Penuhkan arang sehingga batang pokok orkid menjadi tegak, seimbang dan kukuh.

Perlu diingat, pastikan akar pokok orkid berada dekat dengan medium arang, sabut dan sebagainya. Tujuannya agar akar pokok orkid dapat mencengkam dengan cepat dan tumbesaran pokok mencapai tahap optimum.

Sebelum dimasukkan ke dalam pasu, akar-akar yang telah kering dan reput perlu dibuang terlebih dahulu. Ini akan menyebabkan tunas-tunas baru akan tumbuh dengan sihat dan baik.

Pokok orkid memerlukan penjagaan yang rapi. Ia mudah diserang penyakit dan serangga perosak. Di bawah ini disenaraikan jenis serangan dan cara mengatasinya.

orkid
Imej Via Bidadari
  • Penyakit bintik berpusar

Cara penjagaan: Menggunakan penyembur racun kulat mancozeb, benomyl, maneb dan sebagainya.

  • Reput pada bahagian pangkal dan akar

Cara penjagaan: Kurangkan penyiraman air dan sembur racun kulat mancozeb atau captan.

  • Reput jemala

Cara penjagaan: Sembur racun kulat thiram, benomyl dan sebagainya.

  • Daun reput

Cara penjagaan: Cantas daun yang reput dan kawal kelembapan air.

  • Serangan ulat bulu, belalang, kumbang dan sebagainya

Cara penjagaan: Sembur racun serangga yang sesuai.

  • Serangan koya

Cara penjagaan: Jaga kebersihan dan sembur racun perosak malathion.

  • Serangan teritip

Cara penjagaan: Letakkan pokok orkid di bawah cahaya matahari. Kemudian, sembur white oil atau dimethoate.

  • Serangan virus

Cara penjagaan: Hanya memusnahkan bahagian pokok yang dijangkiti virus.

Setakat ini sahaja perkongsian penulis tentang rahsia dan tips tanam bunga orkid supaya subur. Sebenarnya, tidaklah susah nak tanam pokok orkid. Jika ikut segala tips yang dikongsikan di atas pastinya bunga orkid akan berkembang mekar.

Sama seperti pokok-pokok hiasan lain, serangan penyakit dan serangga perosak merupakan musuh utama. Oleh itu, dapatkan maklumat yang betul tentang cara penjagaan setiap pokok orkid anda itu. Mungkin ada yang sensitif dan ada pula yang mudah dijaga.

Semoga anda mendapat manfaat daripada perkongsian artikel ini. Jangan lupa baca tentang:

Rujukan

  • Facebook (link)
  • Cara Tanam Orkid Cattleya (link)
  • Cara Tanam Orkid yang Betul dan Bagus (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.