Bagi ibu bapa yang mempunyai bayi, semestinya anda berasa sangat teruja dengan perkembangan bayi anda dan selalu tertanya-tanya adakah bayi anda berkembang pada tahap yang sepatutnya dan tidak tertinggal berbanding bayi lain yang sama umur dengan bayi anda.

Istimewa untuk ibu bapa prihatin seperti anda, jom kami kongsikan panduan lengkap perkembangan bayi 4 bulan sebagai panduan untuk anda.

Dalam artikel ini kami akan kongsikan kepada anda perkembangan emosi dan perkembangan fizikal bagi bayi yang berusia 4 bulan. Namun, ingin kami ingatkan bahawa ini adalah sekadar garis panduan. Tidak semestinya bayi anda wajib mengikuti senarai ini. Setiap bayi adalah berbeza. Jika bayi anda sedikit terlewat, tidak mengapa. Tidak ada yang abnormal pada bayi anda. Berikan masa untuk bayi anda berkembang dengan cara yang tersendiri.

perkembangan bayi 4 bulan
Sumber: Babycenter

Berikut adalah perkembangan bayi 4 bulan yang boleh anda perhatikan:

Sifat ingat tahu yang semakin terserlah

sebaik sahaja memasuki 4 bulan, sifat ingin tahu yang ada dalam diri bayi anda akan semakin terserlah. Bayi anda akan lebih banyak menghabiskan masa untuk menjelajah dan mempelajari perkara yang baru.

Sebagai contoh, jika anda perhatikan bayi anda, bayi anda akan melakukan pekara yang comel dan lucu seperti memerhatikan jari sendiri dengan penuh kekaguman untuk masa yang lama. Bayi anda juga akan menghisap jarinya. Ini adalah proses untuk bayi anda mengenali anggota tubuh badannya sendiri.

Selain itu, jika anda berikan mainan untuk dipegang oleh bayi anda, bayi anda akan memasukkan mainan tadi ke dalam mulutnya kerana ingin mengenali mainan tersebut dengan lebih dekat.

Jangan larang atau sekat bayi anda daripada memasukkan benda ke dalam mulutnya kerana anda akan menyekat proses pembelajaran dan perkembangan semulajadi bayi anda. Apa yang boleh anda lakukan ialah pastikan semua mainan bayi anda disteril dengan bersih dan pastikan anda sentiasa ada di sisi bayi untuk pemantauan.

Bayi anda mula sukakan cabaran

Pada bulan keempat dalam hidupnya, bayi anda akan mula melihatkan sisi baru personalitinya. Bayi anda akan mula sukakan cabaran. Pada waktu inilah kebiasaannya bayi anda akan mula memusingkan badan dan berusaha untuk meniarap.

Malah bayi anda akan mula menyusur ke hadapan atau ke belakang. Proses perkembangan ini berlaku kerana bayi anda mempunyai keinginan dan naluri yang tinggi untuk menerokai rumah anda dan cabaran untuk berjaya meniarap adalah sangat menyeronokkan bagi bayi anda.

Mula pandai bersosial dan berinteraksi dengan anda

Perkembangan bayi 4 bulan yang seterusnya ialah bayi anda akan mula pandai bersosial dan berinteraksi dengan anda. Bayi anda akan semakin kerap tersenyum, malah semakin suka ketawa.

Bayi anda juga akan semakin pandai menunjukkan reaksi wajahnya. Apa yang akan membuatkan anda semakin teruja, bayi anda akan menunjukkan wajah yang gembira setiap kali melihat wajah anda. Hati anda pastinya cair apabila bayi anda mula pandai untuk berbual dengan anda. Di sini anda akan mengalami keindahan alam ibu bapa.

Mampu mengangkat kepalanya

Salah satu daripada perkembangan fizikal yang akan bayi anda alami pada peringkat ini ialah bayi anda akan mampu mengangkat kepalanya semasa berbaring. Seolah-olah bayi anda ingin bangun dari pembaringan. Ini adalah salah satu proses persediaan untuk bayi anda meniarap.

Berpusing dan bergolek untuk meniarap

Pada usia 4 bulan, bayi anda akan semakin aktif berpusing dan bergolek dalam usaha untuk meniarap. Pada tahap ini, anda akan mempunyai keinginan yang sangat kuat untuk membantu bayi anda, tapi jangan! Biarkan bayi anda belajar dengan sendiri. Ini adalah salah satu perkembangan semulajadi yang perlu dilalui oleh bayi anda dalam hidupnya.

Bayi anda semakin besar, tembam, dan comel

Bayi yang berumur 4 bulan akan meningkat 2 kali ganda daripada berat badan semasa dilahirkan. Bayi anda akan menjadi semakin tembam, badannya semakin bulat, dan semakin berisi. Bayi anda akan menjadi semakin comel dari hari ke hari.

Namun begitu, jika berat badan bayi anda cuma bertambah dengan sedikit, jangan susah hati. Ada bayi yang sedikit lambat dari segi penambahan berat badan, terutamanya bagi bayi yang lahir tidak cukup bulan. Asalkan doktor mengesahkan perkembangan bayi anda normal semasa pemeriksaan bulanan, tiada apa yang perlu anda risaukan.

Deria penglihatan yang semakin baik

Perkembangan bayi 4 bulan yang seterusnya ialah daya penglihatan bayi anda akan menjadi semain baik. Untuk pengetahuan anda, semasa dilahirkan bayi mempunyai penglihatan yang sangat terhad. Malah wajah anda juga kelihatan kabur. Namun hari demi hari, penglihatan bayi anda akan menjadi semakin baik. Semasa berumur 4 bulan, daya penglihatan bayi anda sudah mencapai tahap 20/40.

Bayi anda akan mudah tertarik kepada objek yang terang dan bergerak. Bayi anda juga sudah dapat membezakan warna dan kontras. Oleh itu, pilih mainan dengan warna yang terang dan kontras untuk menggalakkan penglihatan bayi anda meningkat dengan baik.

perkembangan bayi 4 bulan
Sumber: Youtube

Koordinasi mata dan tangan yang lebih baik

Seterusnya, bayi anda akan mula menunjukkan korrdinasi mata dan tangan yang lebih baik. Apakah yang dimaksudkan dengan koordinasi mata dan tangan yang lebih baik? Maksudnya, apabila bayi anda melihat sesuatu objek, bayi anda boleh terus mencapai objek tersebut dan memegang dengan baik tanpa terjatuh atau terlepas. Ini adalah satu perkembangan yang sangat besar untuk bayi anda.

Itulah dia info tentang perkembangan bayi 4 bulan yang ingin kami kongsikan pada hari ini.  Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami mengenai punca bayi menangis malam , susu formula terbaik dan cara azan bayi

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.