Menjadi ibu atau bapa tunggal bukanlah sesuatu yang mudah. Terlalu banyak cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi. Masyarakat kita secara amnya lebih fokus dan banyak berbicara tentang ibu tunggal. Tak banyak yang diperkatakan tentang cabaran bapa tunggal dalam membesarkan anak-anak dan membentuk anak supaya menjadi manusia yang berguna.

Biasa kita dengar orang kata, orang lelaki takkan boleh membesarkan anak sendirian. Kalau isteri meninggal dunia cepat je nak cari isteri baru sebagai pengganti.

Bukan itu sahaja, malah ada yang akan mempertikaikan kemampuan seorang bapa tunggal jika memilih untuk membesarkan anaknya sendirian. Tahukah anda bahawa yang sebenarnya cabaran bapa tunggal adalah sebesar gunung. Tohmahan dan kata negatif yang kita berikan adalah sangat tidak membantu.

cabaran bapa tunggal
Sumber: Directadvicefordads

Cabaran dari segi kewangan

Dewasa ini, dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar segala-galanya memerlukan kos yang tinggi. Itulah sebabnya kebanyakan isteri zaman sekarang menyandang gelaran wanita berkerjaya.

Ini kerana gaji suami seorang tidak dapat menampung belanja dan keperluan seisi rumah. Terutamanya jika anda tinggal di bandar besar.

Jika anda bergelar bapa tunggal, pastinya anda adalah satu-satunya yang bekerja dalam keluarga. Gaji anda seorang akan digunakan untuk semua perbelanjaan isi rumah. Cukup atau tidak, itu sahaja sumber kewangan yang ada. Harus diingat bahawa kos membesarkan anak pada zaman sekarang adalah tidak murah. Di antara perbelanjaan yang perlu dikeluarkan untuk seorang anak ialah seperti berikut:

  • Susu formula
  • Lampin pakai buang
  • Yuran taska atau pengasuh
  • Yuran tadika atau sekolah
  • Alatan persekolahan

Jika anda mempunyai lebih daripada seorang anak, kos untuk membesarkan mereka bukanlah murah. Ini adalah di antara cabaran utama yang akan dihadapi oleh seorang bapa tunggal. Tak mudah bukan? Namun jangan terlalu gusar. Setiap anak dilahirkan dengan rezeki masing-masing. Anak-anak adalah pembawa rezeki. Lagi pun dalam islam kita diajar agar jangan risau dan berkeluh-kesah tentang rezeki.

Insya Allah mungkin sekarang anda perlu berusah-payah bekerja keras untuk membesarkan anak-anak. Percayalah bahawa apabila anak-anak anda sudah besar nanti, mereka akan membalas segala pengorbanan yang anda lakukan.

Cabaran dari segi membahagikan masa di antara kerjaya dan anak-anak

Apabila anda bergelar seorang bapa tunggal, anda adalah satu-satunya yang bekerja dalam rumah dan dengan anak-anak yang sedang membesar dan memerlukan perbelanjaan yang besar, pastinya anda akan menghabiskan banyak masa untuk mencari duit. Pada masa yang sama anda juga perlu menumpukan perhatian kepada anak-anak yang dahagakan kasih sayang dan perhatian.

cabaran bapa tunggal
Sumber: Nymetroparents

Ingat! Anak-anak anda tidak mempunyai ibu seperti anak yang lain. Sebagai bapa, andalah ibu dan adalah ayah. Jika anda tidak meluangkan masa untuk anak-anak, anak anda tidak mempunyai sesiapa di dunia. Anak anda akan berasa kurang kasih sayang dan diabaikan. Ini adalah di antara punca gejala sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan remaja masa kini.

Membahagikan masa di antara kerjaya dan anak-anak bukanlah sesuatu yang mudah. Sedangkan pasangan suami isteri pun ramai yang tak mampu untuk melakukannya, inikan pula seorang bapa tunggal.

Namun percayalah, Allah akan membantu anda. Allah akan mempermudahkan urusan anda. Walau pun tak mudah untuk membahagikan masa di antara kerjaya dan anak-anak, namun ianya bukanlah sesuatu yang mustahil.

Cabaran untuk menguruskan kerja rumah sendirian

Ini adalah satu lagi cabaran besar yang perlu dihadapi oleh seorang bapa tunggal. Jika anda mempunyai isteri, lazimnya kebanyakan kerja rumah akan dilakukan oleh isteri.Balik kerja, sampai rumah anda boleh berehat. Makanan telah tersedia.

Kain-baju dibasuh dan dilipat kemas oleh isteri. Rumah dibersihkan oleh isteri. Anak-anak dah siap mandi dan kemas, malah kerja sekolah anak-anak isteri dah pastikan selesai.

Namun apabila bergelar bapa tunggal, habis kerja di pejabat anda perlu menyelesaikan pula kerja di rumah. Tidak ada masa untuk anda berehat. Semuanya perlu anda lakukan sendiri dari memasak, membasuh pakaian, melipat kain baju, mengemas rumah, sehinggalah meneman anak membuat kerja sekolah. Jika ada anak yang jatuh sakit, anda perlu menjaga anak sendiri tanpa ada sesiapa untuk bergilir.

Baca pun dah rasa penat. Inikan pula bagi mereka yang melaluinya. Sebab itu kami katakan diawal artikel tadi. Cabaran bapa tunggal adalah setinggi gunung. Ianya tak mudah. Namun ingat, ganjaran yang diberikan oleh Allah bagi segala pengorbanan ikhlas yang anda lakukan demi anak-anak.

cabaran bapa tunggal
Sumber: Verywellfamily

Cabaran untuk berkahwin sekali lagi

Fitrah manusia adalah untuk hidup berpasangan. Semua manusia ingin disayangi dan dibelai manja. Namun apabila anda bergelar bapa tunggal, berkahwin baru pastinya satu cabaran. Anda akan risau memikirkan mampukah isteri baru menyayangi dan menjaga anak anda dengan baik seperti anak sendiri? Jika di kemudian hari anda mempunyai anak dengan isteri baru, adakah anak anda sekarang akan masih disayangi oleh isteri baru atau anak anda akan terpinggir?

Belum lagi isu dipandang serong oleh masyarakat. Pastinya akan ada yang berkata bukan-bukan. Kubur isteri masih merah dah gatal nak kawin baru. Isteri meninggal tak sampai setahun dah ada pengganti, dan sebagainya. Itulah sebabnya kenapa ramai bapa tunggal memilih untuk terus bersendirian dan membesarkan anak dengan sendiri.

Itulah dia info tentang cabaran bapa tunggal yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.