Permainan slime tiba-tiba menjadi popular di serata dunia. Mesti kita pernah nampak di Facebook, Instagram atau Youtube tentang cara-cara buat slime. Seronok tengok kanak-kanak menarik, menguli, memicit dan bermain slime ni.

Slime tu apa sebenarnya? Slime ialah sejenis bahan kental yang bersifat elastik dan mudah ditarik serta dibentuk. Tujuan permainan ini adalah untuk berseronok dan mencungkil kreativiti kanak-kanak.

Tentulah kanak-kanak paling menggemari kraf seperti ini kerana sifatnya yang mudah dilentur dan berwarna-warni. Slime boleh dibeli di kedai atau secara online. Mungkin harganya juga agak mahal.

Apa kata kita buat sendiri slime di rumah? Malahan, boleh juga ajar anak-anak kita untuk membuatnya. Ia boleh dijadikan aktiviti ketika cuti sekolah atau hujung minggu.

Dalam artikel ni akan dikongsikan cara membuat slime yang selamat untuk kanak-kanak. Dikatakan bahawa bahan utama untuk membuat slime di pasaran ialah menggunakan serbuk borax atau sodium borate.

Borax ialah bahan kimia yang bersifat panas. Kesannya akan menyebabkan kulit menjadi melepuh jika terdedah pada kulit untuk jangka masa yang panjang. Borax banyak terdapat di dalam serbuk atau cecair pencuci pakaian.

Oleh itu, sebagai ibu bapa kita perlu memberi perlindungan terbaik untuk anak-anak kita. Aktiviti membuat kraf ini boleh dilakukan bersama-sama tetapi menggunakan  bahan-bahan yang lebih selamat.

Nak tahu caranya? Teruskan pembacaan artikel ini.

Imej via thewirecutter

Slime Gam Putih

Bahan-bahan:

  • 1/2 sudu besar baking soda
  • 1 sudu besar contact solution (cecair untuk merendam kanta sentuh)
  • 30 ml white glue (gam putih)
  • Pewarna makanan pilihan

Cara-cara:

  1. Sediakan sebuah mangkuk besar dan masukkan gam putih.
  2. Campurkan dengan baking soda dan gaul rata.
  3. Kemudian, titiskan warna pilihan ikut suka.
  4. Tambahkan sesudu besar contact solution.
  5. Campurkan kesemua bahan tadi sehingga adunan menjadi pekat dan kental.
  6. Sesudah kental, keluarkan dan uli menggunakan kedua-dua tangan.

Nota: Jika nak slime kurang melekit, tambahkan 1/4 sudu besar contact solution.

Slime Nutella

Bahan-bahan:

  • 21 biji marshmallow
  • 7 sudu besar Nutella

Cara-cara:

  1. Cairkan marshmallow menggunakan ketuhar gelombang mikro selama 10 hingga 15 saat. Pastikan marshmallow benar-benar cair.
  2. Kemudian, masukkan Nutella dan gaul rata.
  3. Biarkan adunan sejuk.
  4. Uli dan campurkan hingga semuanya sebati.

Nota: Pastikan tangan anak-anak bersih ketika mengulinya. Ini kerana, sambil bermain slime enak ni, mereka juga boleh memakannya. Kreatif kan?

Slime Tepung Jagung

Bahan-bahan:

  • 1 cawan tepung jagung
  • 1/3 cawan air
  • Pewarna makanan pilihan

Cara-cara:

  1. Campurkan tepung jagung dan air.
  2. Jika adunan cair, tambahkan tepung jagung.
  3. Titiskan pewarna kegemaran.

Nota: Tepung jagung bersifat elastik dan seperti gel apabila bercampur dengan air. Ia tak mudah cair seperti tepung gandum dan sebagainya. Oleh itu, slime yang menggunakan tepung jagung lebih selamat dan kosnya juga rendah.

Slime Gula Aising

Bahan-bahan:

  • 3 sudu besar gula aising
  • 2 sudu kecil air
  • 1 sudu kecil minyak masak
  • 2 sudu maple syrup
  • 1/2 cawan corn syrup atau golden syrup
  • Pewarna pilihan

Cara-cara:

  1. Dalam sebuah mangkuk, masukkan gula aising.
  2. Campurkan air dan gaul rata.
  3. Kemudian, titiskan warna pilihan.
  4. Dalam mangkuk yang lain, campurkan kesemua syrup.
  5. Selepas gaul rata, campurkan sedikit minyak dan gaul lagi.
  6. Campurkan adunan gula aising dan syrup. Sebatikan.
  7. Masukkan di dalam peti sejuk selama 2 jam.
  8. Selepas dikeluarkan, bolehlah dijadikan slime.

Nota: Seperti slime Nutella, slime gula aising juga boleh dimakan. Namun, jaga-jaga jangan terlebih makan pula. Rongak gigi anak-anak dibuatnya nanti.

Slime Kilau

Bahan-bahan:

  • 1/2 sudu besar baking soda
  • 1 1/2 sudu besar contact solution
  • 30 ml gam putih
  • Sedikit serbuk kilau (glitter)

Cara-cara:

  1. Masukkan gam putih ke dalam sebuah mangkuk.
  2. Tambahkan baking soda dan gaul rata.
  3. Masukkan sekali contact solution.
  4. Setelah semuanya sebati sehingga adunan menjadi kental.
  5. Keluarkan adunan slime dan uli menggunakan kedua-dua tangan.

Nota: Jika adunan slime agak melekit, tambahkan 1/4 sudu besar contact solution.

Slime Gummy Bear

Bahan-bahan:

  • 1 cawan gummy bear (apa saja gula-gula jeli)
  • 2 atau 3 sudu besar gula asing
  • 2 atau 3 sudu besar tepung jagung

Cara-cara:

  1. Cairkan gula-gula jeli dalam gelombang ketuhar mikro selama 10 hingga 15 saat. Pastikan semuanya cair.
  2. Masukkan gula aising dan tepung jagung. Gaul rata.
  3. Jika nak kurang melekit, boleh tambah sedikit tepung jagung.

Nota: Jika nak tambah pewarna juga boleh. Sambil main tarik-tarik, boleh juga masuk ke dalam mulut. Yummy, sedapnya!

Slime Kristal

Bahan-bahan:

  • 1/2 sudu besar baking soda
  • 1 sudu besar contact solution
  • 30 ml gam tanpa warna

Cara-cara:

  1. Sediakan sebuah mangkuk besar dan masukkan gam.
  2. Campurkan dengan baking soda dan gaul rata.
  3. Tambahkan 1 sudu besar contact solution.
  4. Campurkan kesemua bahan tadi sehingga adunan menjadi pekat dan kental.
  5. Sesudah kental, keluarkan dan uli sehingga boleh ditarik.

Nota: Jika nak slime kurang melekit, tambahkan 1/4 sudu besar contact solution.

Slime Susu Pekat

Bahan-bahan:

  • 2 cawan susu pekat
  • 1 1/2 sudu tepung jagung
  • Sedikit esen vanila
  • Sedikit pewarna makanan pilihan

Cara-cara:

  1. Dengan api yang perlahan, masak susu pekat dan tepung jagung.
  2. Kacau sehingga adunan menjadi pekat dan likat. Kemudian, tutup api.
  3. Campurkan esen vanila dan pewarna. Gaul sebati.
  4. Biarkan adunan menjadi sejuk.
  5. Kemudian, bolehlah diuli sehingga slime menjadi elastik.

Nota: Resepi ini boleh juga dimakan. Seronok kan, sambil main-main boleh juga menjadi pencuci mulut. Jika dah puas main, boleh dimasukkan dalam beg plastik yang berzip dan dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Slime Sugus

Bahan-bahan:

  • 1 cawan gula-gula Sugus
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 1 sudu kecil minyak masak

Cara-cara:

  1. Masukkan gula-gula Sugus ke dalam ketuhar gelombang mikro selama 10 hingga 15 saat. Pastikan semuanya cair.
  2. Kemudian, tambahkan tepung jagung. Uli sebati.
  3. Tambahkan minyak dan uli lagi.

Nota: Slime Sugus ni mesti sedap sebab bau buah-buahan. Anak-anak pasti teruja membuatnya.

Slime Syampu

Bahan-bahan:

  • 1/2 cawan syampu bayi
  • 1/4 cawan tepung jagung
  • 6 sudu besar air
  • Sedikit pewarna makanan

Cara-cara:

  1. Campurkan syampu dan tepung jagung dalam sebuah mangkuk.
  2. Gaul rata semuanya.
  3. Titiskan pewarna makanan yang disukai.
  4. Tambahkan 1 sudu besar air dan kacau lagi. Kemudian, masukkan baki 5 sudu besar air sedikit demi sedikit. Kacau sebati.
  5. Uli slime lebih kurang 5 minit.

Nota: Pastikan anda menggunakan syampu yang bermutu dan dikhaskan untuk bayi. Ini kerana ia lebih selamat bagi kanak-kanak.

Menarik bukan? Tak lama lagi cuti sekolah akhir tahun akan bermula. Anda boleh jadikan aktiviti membuat slime ini untuk mengisi masa lapang anak-anak. Mereka tentu gembira dan teruja.

Malahan, ada juga resepi di atas yang boleh dimakan begitu saja. Oleh itu, boleh juga dijadikan aktiviti ketika menyambut hari keluarga atau majlis hari jadi anak-anak. Yang penting, pastikan penyediaan bahan-bahan bersih. Jika bahan-bahan perlu dimasak, ibu bapa mesti memantau anak-anak.

Semoga artikel ini dapat memberi idea untuk anda berhibur bersama anak-anak. Jangan lupa kongsikan artikel ini dengan keluarga dan sahabat handai.

Rujukan

  1. https://www.romper.com/p/7-safe-slime-recipes-without-borax-so-you-can-have-safe-diy-fun-49488
  2. https://thesoccermomblog.com/how-to-make-slime-kid-safe/
Jemput juga memabca artikel lain kami seperti

Jemput membacara artikel lain kami seperti cara melembutkan rambut dan cara menghormati ibu bapa gaya Rasulullah

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.