Tontonan Syariah Meja Bulat di TV3 baru-baru ini telah mendedahkan kes dan pandangan dari sudut perundangan berkaitan anak tak sah taraf. Genap beberapa bulan lagi kita akan menduduki tahun 2020 yang bertunjangkan kemodenan dan juga pembaharuan Malaysia. Namun, realitinya banyak kes anak tak sah taraf yang diperkatakan dalam negara, ia sedikit sebanyak mempengaruhi keadaan negara dan mentaliti masyarakat.

Apabila berlakunya kes yang melibatkan anak tak sah taraf, kedudukan dari sudut perundangan perlu dilihat. Ia melibatkan beberapa akta perundangan sebagai rujukan dan panduan. Jom lihat maksud anak tak sah taraf dan kedudukan dari sudut perundangan.

anak tak sah taraf
Imej via [kbknews]

Definisi Anak Tak Sah Taraf

Maksud Anak Tak Sah Taraf menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303], dalam Seksyen 2 adalah:

“Tidak sah taraf” berkaitan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah.

Anak tak sah taraf lebih dikenali sebagai anak luar nikah atau anak hasil daripada persetubuhan tanpa perkahwinan. Walaubagaimanapun, terdapat 3 cara untuk menentukan nasab atau anak tak sah taraf iaitu dari segi perkahwinan, keterangan saksi (mengetahui status anak tersebut) dan juga ikrar (mengakui anak kandung).

anak tak sah taraf
Imej via [saudara-islam]

Kedudukan Anak Tak Sah Taraf Dari Sudut Perundangan

Peruntukan undang-undang bagi anak tak sah taraf amat penting supaya tidak berlaku masalah di kemudian hari. Antaranya adalah mereka perlu membuat permohonan wali, perkahwinan, permohonan sah taraf dan lain-lain lagi. Dengan mengenalpasti kedudukan anak tak sah taraf dari sudut perundangan, tindakan seterusnya boleh dilaksanakan.

Fatwa agama dan Mahkamah Persekutuan terlibat dalam menentukan kedudukan anak tak sah taraf dari segi perundangan. Mahkamah rayuan boleh membuat keputusan bagi mengubahnya tetapi ia tetap tertakluk kepada keputusan perundangan. Jika berdasarkan undang-undang keluarga Islam, Mahkamah Syariah adalah penentunya yang paling layak.

Antara peruntukan undang-undang yang telah dibuat oleh Seksyen 111 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 2002, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 dan seksyen 110 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 adalah kelahiran anak hasil daripada perkahwinan melebihi enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinan adalah anak yang sah.

anak tak sah taraf
Imej via [amazon]

Anak Sah Taraf

Tempoh kelahiran: Lebihi enam bulan qamarian dari tarikh perkawinan ibubapanya. Dinasab kepada kedua ibu bapa.

Tanggungjawab: Kedua ibubapa kepada anak tersebut perlu memberi nafkah, perlindungan dan kebajikan.

Anak Tak Sah Taraf

Tempoh kelahiran: Kurang dari enam bulan qamariah. Tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologi tetapi hanya boleh dinasabkan kepada ibu yang melahirkannya sahaja.

Tanggungjawab: Keluarga sebelah ibu sahaja bertanggungjawab memberi nafkah, perlindungan dan kebajikan bagi anak tidak sah taraf.

Peruntukan Undang-Undang Anak Tak Sah Taraf (Akta Berkaitan)

Seksyen 110. Yang Dikaitkan Sebagai Bapa [Akta 303]

Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak (lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas
perkahwinannya) dan perkahwinannya itu dibubarkan oleh sebab kematian lelaki itu atau perceraian dan sekiranya perempuan itu tidak berkahwin semula, maka lelaki itu disifatkan sebagai bapa anak tersebut.

Namun, lelaki itu juga boleh li’an atau kutukan dengan menafikan anak itu
sebagai anaknya di hadapan Mahkamah. Jika itu berlaku, anak itu akan dikatakan anak tak sah taraf.

Seksyen 111. Kelahiran Melebihi Empat Tahun Selepas Perkahwinan Bubar [Akta 303]

Selepas empat tahun qamariah berkahwin, perkahwinan dibubarkan
oleh sebab kematian lelaki atau perceraian, seorang perempuan ini melahirkan anak, lelaki itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak tersebut kecuali terdapat mana-mana waris atau lelaki itu sendiri yang
menegaskan bahawa itu anaknya.

anak tak sah taraf
Imej via [notakaki]

Seksyen 112. Kelahiran Selepas Pengakuan Bahawa Tempoh ‘Iddah Telah Tamat [Akta 303]


Tempoh ‘iddah wanita yang selepas kematian suami atau bercerai telah tamat dan kemudiannya dia melahirkan seorang anak lagi sesudah itu, bekas suami perempuan itu tidak disifatkan sebagai bapa anak tersebut kecuali sekiranya anak itu lahir kurang dari 4 tahun qamariah dari tarikh perkahwinan mereka dari tarikh perkahwinan dibubarkan.

Seksyen 113. Persetubuhan syubhah [Akta 303]

Hasil dari persetubuhan syubhah seorang lelaki dan perempuan, maka terlahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, lelaki tersebut
disifatkan sebagai bapa anak tersebut.

Penerimaan Anak Dan Kewajipan Menanggung Nafkah

anak tak sah taraf
Imej via [serambimata]

Seksyen 114. Syarat-syarat bagi pengakuterimaan yang sah [Akta 303]

Jika seseorang lelaki mengaku secara nyata atau tersirat bahawa anak itu adalah anaknya yang sah, lelaki tersebut disifatkan sebagai bapa anak tersebut, sekaligus jika syarat ini dipatuhi.

Antara syarat-syaratnya adalah:

  1. Tiada orang lain lagi yang dikatakan bapa anak itu
  2. Perbezaan umur lelaki dan anak itu munasabah sebagai bapa dan anak
  3. Anak sudah akhil baligh dan boleh buat keputusan / telah bersetuju dan mengaku sebagai bapanya
  4. Lelaki dan ibu anak tersebut mungkin boleh disatukan dengan sah ketika perkahwinan dan pembenihan
  5. Pengakuanterima itu adalah mengakui anak tersebut sebagai anaknya yang sah taraf.
  6. Lelaki tersebut berupaya membuat kontrak
  7. Pengakuanterima ini dibuat dengan tujuan untuk mendapatkan sah taraf.
  8. Pengakuanterima ini dilakukan dengan jelas dan diakui.

Bagaimana pula dengan anak tidak sah taraf yang dilahirkan oleh ibu tanpa suami? Adakah nafkah yang perlu diberi sedangkan status anak adalah anak tak sah taraf.

Seksyen 80. Kewajipan Menanggung Nafkah Anak Tidak Sah Taraf [Akta 303]

Mahkamah akan memerintahkan perempuan memberi nafkah atau apa-apa elaun bulanan yang difikirkan ia munasabah sekiranya perempuan tersebut enggan menanggung nafkah anak yang tak sah taraf tersebut melainkan jika anak tersebut hasil dari rogol.

Penamaan Anak Tak Sah Taraf Dalam Sijil Kelahiran

Tahun sebelumnya dan sebelum 2009, anak tak sah taraf akan diletakkan nama bapa ‘tidak diketahui’ walaupun terdapat lelaki atau suami yang mengaku anak tersebut adalah anaknya.

Namun, amalan tersebut telah dibatalkan dan ditukar mengikut pematuhan seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) [Akta 229] (Pekeliling JPN, 8/2009).

Seksyen 13A (1) BDRA:

Nama keluarga (surname), sekiranya hendak diletakkan ke atas anak sah taraf hendaklah menjadi nama keluarga mengikut bapa”.

seksyen 13A(2):

“Nama keluarga (surname), sekiranya hendak diletakkan ke atas anak tidak sah taraf di mana ibunya yang melaporkan dan memberi keterangan itu adalah bersifat sukarela hendak mengikut nama keluarga ibu tersebut; dengan syarat seseorang itu memaklumkan bahawa dirinya adalah bapa kepada anak tersebut mengikut seksyen 13 memohon nama keluarga tersebut adalah mengikut nama keluarga orang tersebut (bapa)”.

anak tak sah taraf
Imej via [soscili]

Itulah dia kedudukan dari sudut perundangan anak tak sah taraf. Semoga perkongsian ini dapat menjelaskan dan membantu anda. Jom baca juga Senarai rumah anak yatim, Siapakah anak syurga, Cara ambil anak angkat di hospital dan Tips jadikan anak solehah.

Rujukan:

  1. zulkiflihasan
  2. sppim
  3. indahnyaislam

Penulis: zulrina

Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.