Jika tanya pada kebanyakan wanita, antara kereta automatik (auto) dan manual yang mana satu jadi pilihan? Pasti kebanyakan akan memilih kereta auto. Ini kerana memandu kereta auto jauh lebih mudah jika hendak dibandingkan dengan kereta manual.

Nama pun kereta auto kan, tinggal tarik gear tanpa perlu tekan minyak pun kereta boleh bergerak sendiri. Jika yang cekap, tak ada masalah. Bagaimana yang masih terkial-kial nak pandu kereta?

Oleh itu, artikel ni akan membincangkan tips dan petua cara memandu kereta auto. Semoga anda semua mendapat manfaat daripada penulisan ini.

#1 Sistem Gear Kereta

Pada asasnya, semua kereta auto mempunyai sistem gear yang sama. Gear kereta auto terdiri daripada:

  1. P – Parking (Digunakan ketika parking kereta)
  2. R – Reverse (Digunakan untuk mengundurkan kereta)
  3. N – Neutral (Gear dalam keadaan bebas)
  4. D4 – Drive 4
  5. D3 – Drive 3
  6. D2 – Drive 2

Bagi sesetengah kereta auto, terdapat fungsi tambahan gear seperti berikut:

  • 3 – Gear Tiga (Sesuai ketika memotong kenderaan lain)
  • 2 – Gear Dua (Sesuai ketika turun bukit)
  • 1 – Gear Satu (Sesuai ketika naik bukit)
  • L 1 / L – Low Gear 1 / Low Gear (Sesuai digunakan ketika naik bukit)
  • L 2 – Low Gear 2 (Sesuai digunakan ketika turun bukit)
  • Button lock (Bukan semua kereta auto ada. Fungsinya sebagai kunci dan apabila ditekan, barulah tombol gear boleh digerakkan)

#2 Apabila Enjin Kereta Auto Dihidupkan

Untuk pastikan enjin hidup, anda mesti tolak gear ke kedudukan Neutral (N) atau Park (P). Ada beza ke kedudukan N dan P? Mestilah ada. Pada posisi N, gear kereta ialah bebas (free). Bila anda lepaskan break tangan (hand break), kereta anda boleh bergerak.

Manakala pada kedudukan P pula, gear kereta akan dikunci. Oleh itu, jika anda melepaskan brek tangan, kereta tak akan bergerak. Perlu diingat untuk sistem keselamatan, jika gear berada dalam keadaan Reverse (R) atau Drive, kereta tak boleh dihidupkan.

Apabila enjin kereta dah dihidupkan, turunkan brek tangan dan kaki kanan menekan pedal brek kaki. Kemudian dengan tangan kiri, tekan button lock pada gear (jika ada) dan bawa gear kereta anda pada kedudukan Drive (D). Seterusnya, lepaskan brek kaki dan tekan pedal minyak guna kaki kanan secara perlahan-lahan.

Jangan sesekali tekan minyak secara mengejut. Ini akan membuat kereta anda terlajak ke depan dengan laju. Situasi ini tentulah amat berbahaya. Untuk kereta auto, kaki kiri tak berfungsi berbanding kaki kanan untuk menekan pedal brek dan pedal minyak. Jangan lupa kereta auto tak ada clutch.

#3 Apabila Naik Bukit Dengan Kereta Auto

Berbanding kereta manual, naik bukit dengan kereta auto jauh lebih mudah. Anda tak perlu fikirkan tentang tukar gear dan clutch. Cuma anda perlu tahu bila nak menggunakan gear D4, D3 dan D2.

Bila nak gunakan ketiga-tiga gear tu? Bila pandu kereta auto di lebuh raya, gear memadai berada pada kedudukan D4. Walaupun sedang memandu di jalan raya yang agak curam, bila pandu kereta dengan kelajuan tinggi, gear D4 boleh digunakan.

Manakalan gear D3 dan D2 digunakan ketika memandu di jalan raya yang curam dan berselekoh tajam. Jika anda menggunakan gear D4, anda perlu sentiasa tukar gear. Oleh kerana, jalan pendek dan berselekoh, kereta anda tak dapat kekalkan momentum untuk kekal pada posisi gear D4.

Gear akan sentiasa berubah-ubah dengan turun ke D3, naik semula ke D4 dan turun semula. Selain perjalanan jadi tak lancar, lambat-laun gear kereta anda pasti akan rosak.

Langkah terbaik hanya gunakan gear D3. Jika jalan curam, gear kereta anda akan gunakan gear D2, naik ke gear D3 dan kekal di situ.

#4 Apabila Turun Bukit Dengan Kereta Auto

Cara terbaik untuk turun bukit, kekalkan gear pada kedudukan di D4. Untuk perlahankan kereta, anda hanya gunakan pedal brek. Bagaimana pula jika nak turun bukit yang curam jika pandu kereta dengan kelajuan tinggi?

Jika nak perlahankan kereta gunakan teknik brake tapping. Maksudnya, anda cuma perlu pijak dan lepaskan pedal brek. Apabila anda pijak pedal brek, secara automatik gear akan turun ke D3 walaupun pada kelajuan tinggi di lebuh raya.

D3 dengan kelajuan tinggi akan menghasilkan Putaran Per Minit (RPM) yang tinggi iaitu 3500 ke atas. Ini akan mengakibatkan engine braking.

#5 Pandu Kereta Auto Di Selekoh Z

Ketika berada di selekoh Z jangan pandu secara terburu-buru dan perlahankan kereta anda. Kawal pedal brek dan stereng dengan cekap.

#6 Apabila Kereta Auto Berhenti Di Lampu Isyarat

Apabila berhenti di lampu isyarat, biarkan gear pada kedudukan D. Anda hanya perlu tekan brek kaki. Namun jika berada agak lama, anda boleh tukar gear pada kedudukan N dan hanya tekan pedal brek kaki dengan menggunakan kaki kanan.

Apabila lampu isyarat bertukar ke lampu hijau, anda boleh tukar gear pada kedudukan D. Kemudian, lepaskan brek dan pada masa yang sama tekan pedal minyak secara perlahan-lahan.

#7 Apabila Kereta Auto Potong Kenderaan Lain

Apa yang ada perlu lakukan jika nak potong kenderaan lain ialah tekan minyak ke dalam sedikit bergantung pada kelajuan kereta anda. Bagi kereta yang mempunyai gear 3, anda boleh alihkan kedudukan D ke 3 untuk tambah kuasa pecutan. Jangan lupa, lepas potong kenderaan, tukar semula gear kereta anda pada posisi D.

#8 Parking Kereta Auto Di Kawasan Berbukit

Jika anda meletakkan kereta di kawasan berbukit, pastikan kedudukan gear kereta berada di P. Jangan lupa pula tarik brek tangan.

#9 Apabila Kereta Auto Terperangkap Dalam Kesesakan Jalan Di Kawasan Berbukit

Mana tahu tengah bercuti di Cameron Highlands, tiba-tiba sangkut pula dengan kesesakan. Jangan kalut. Ni caranya yang boleh anda lakukan iaitu biarkan gear pada kedudukan D.

Anda harus menekan brek kaki. Apabila kereta mula bergerak, lepaskan brek dan tekan pedal minyak. Penggunaan brek tangan sebelum tekan pedal minyak sangat penting untuk elakkan kereta anda terundur ke belakang.

Kesimpulannya, kereta auto banyak membantu pemandu yang inginkan keselesaan dan cara pemanduan yang mudah. Tak hairanlah, kereta auto paling banyak menjadi pilihan pemandu wanita dan warga bandar yang selalu menghadap kesesakan jalan raya.

Paling penting, tak kira anda menggunakan kereta auto atau manual, keselamatan diri sendiri dan pengguna lain perlu diutamakan. Berhati-hati di jalan raya, jadilah pemandu yang berhemah dan bertimbang rasa.

Jemput juga baca artikel tips tayar dan cara jimat minyak kereta.

Rujukan

  • https://driving-school.com.my/driving-tips/kereta-auto/(link)
  • https://www.geoffreystephen.com/2016/03/cara-memandu-kereta-auto.html(link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.