Perkahwinan bukan sahaja penyatuan di antara dua jiwa yang saling mencintai di antara satu sama lain, malah ia juga datang dengan tanggungjawab ke atas pasangan. Jika diperhatikan, statistik perceraian di negara kita semakin membimbangkan.

Salah satu daripada faktor penyumbang yang telah dikenal-pasti ialah kegagalan untuk menjalankan tanggung jawab sebagai seorang suami. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan senarai tanggung jawab suami yang wajib ditunaikan ke ata isteri tercinta agar berbahagia di dunia dan di akhirat.

tanggung jawab suami
Sumber: Flickr

1. Nafkah zahir dan batin

Sebagai seorang suami, di antara perkara utama yang wajib ditunaikan ke atas isteri ialah dengan memastikan isteri mendapat nafkah zahir dan batin yang selayaknya. Apakah yang dimaksudkan dengan nafkah zahir dan batin?

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 233, “Dan kewajipan suami memberi makan dan pakaian kepada isteri dengan cara yang baik.” Nafkah zahir merujuk kepada keperluan asas yang diperlukan oleh seorang isteri seperti:

  • Makanan
  • Pakaian
  • Tempat tinggal yang selesa tanpa perlu menutup aurat setiap masa
  • Kenderaan
  • Keselamatan
  • Wang secukupnya untuk membeli keperluan rumah-tangga
  • Perubatan

Sementara nafkah batin pula merujuk kepada keperluan emosi isteri seperti:

  • Kasih sayang
  • Kepercayaan
  • Sentiasa ada untuk isteri untuk mendengar
  • Hubungan seks yang sihat mengikut keperluan isteri

2. Nafkah kepada anak-anak

Sebagai seorang suami, anda bukan sahaja bertanggung jawab untuk menyediakan nafkah buat isteri tercinta, malah anda juga wajib menyediakan nafkah yang secukupnya mengikut kemampuan kepada anak-anak. Sabda Rasulullah, hukum memberi nafkah kepada anak dan isteri adalah sama seperti seseorang yang berjihad ke jalan Allah.

Nafkah kepada anak-anak termasuklah:

  • Pendidikan
  • Keselamatan
  • Makanan
  • Pakaian
  • Tempat tinggal yang selesa dan selamat
  • Kasih sayang dan perhatian
tanggung jawab suami
Sumber: Baby Kids Zoom

3. Pendidikan agama dan fardhu ain

Sebagai seorang suami, anda bukan sahaja berperanan sebagai pelindung malah anda juga bertanggung jawab untuk memastikan bahawa isteri dan anak-anak anda mendapat pendidikan agama termasuk fardhu ain bersesuaian dengan Surah An-Nisa’ ayat 34 yang berbunyi, ” Lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap wanita. “

Di antara perkara yang termasuk dalam tanggung jawab ini ialah:

  • Memastikan isteri dan anak mampu solat dengan sempurna
  • Memastikan isteri dan anak menutup aurat dengan sempurna
  • Memastikan isteri dan anak mampu membaca Al-Quran dengan lancar dan mengikut hukum tajwid
  • Memastikan isteri dan anak tahu ilmu dan hukum asas agama
  • Membawa isteri dan anak ke majlis agama atau menonton rancangan agama di rumah
  • Menggalakkan isteri dan anak untuk ke masjid
  • Memberikan nasihat, mengingatkan, dan menegur apa yang patut, selari dengan hadith riwayat Ibnu Majah dan Nasaee yang berikut: ” Nasihatilah oleh kamu semua terhadap wanita itu dengan cara yang baik kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah. “

4. Perlindungan

Di dalam Surah At-Talaq ayat 6, Allah berfirman, ” Tempatkanlah mereka (perempuan-perempuan yang iddah) di tempat kediaman yang sesuai dengan kemampuan kamu, dan janganlah menyengsarakan mereka untuk menimpakan kesusahan kepada mereka. ” Ayat ini menunjukkan bahawa adalah menjadi kewajipan suami untuk menyediakan perlindungan iaitu rumah kepada isterinya, hatta semasa iddah selepas bercerai.

Rumah yang dimaksudkan ialah rumah yang selesa mengikut kemampuan suami. Adalah menjadi tanggung jawab suami untuk menyediakan rumah berasingan supaya isteri tidak perlu tinggal sebumbung dengan mertua demi keharmonian keluarga. Lebih-lebih lagi sekiranya suami mempunyai adik-beradik lelaki lain yang tinggal bersama lalu menyebabkan isteri terpaksa menutup aurat setiap masa. Begitu juga kisahnya sekiranya ada adik-beradik lain yang telah berkahwin tinggal bersama.

Namun begitu, sekiranya anda terpaksa tinggal bersama ibu bapa yang sakit dan memerlukan jagaan, boleh berbincang elok-elok dengan isteri dan dapatkan persetujuan. Tanpa paksaan.

tanggung jawab suami
Sumber: Booking.com

Perlindungan juga bukan sekadar terhad kepada rumah dan kediaman, malah ia juga bermaksud suami wajib melindungi isteri dari segi fizikal dan emosi. Perlindungan dari segi fizikal termasuk melindungi isteri daripada sebarang bahaya, penyakit berjangkit, dan kesusahan.

Sementara perlindungan dari segi emosi pula termasuklah melindungi isteri daripada ibu mertua dan ipar duai yang menyakiti isteri anda dengan kata-kata dan perbuatan. Anda sebagai suami wajib melindungi isteri anda daripada perasaan sedih, rendah diri, dan kemarahan yang berpunca daripada keluarga anda.

5. Bergaul dengan isteri dengan cara yang baik

Didalam sebuah rumah tangga, seorang isteri berhak untuk mendapat layanan yang baik daripada suaminya. Layanan yang baik termasuklah layanan yang penuh dengan kasih-sayang, kelembutan, dan tanpa sebarang keganasan serta kekasaran, selari dengan firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 19 yang bermaksud:

” Wahai orang yang beriman tidak halal bagi kamu mewarisi wanita secara paksa dan tidaklah boleh kamu menghalangi mereka daripada berkahwin supaya dikurangkan mas kahwin kecuali sekiranya nyata mereka berbuat kekejian dan bergaullah dengan mereka secara yang baik maka sekiranya kamu membenci mereka pada suatu perkara mungkin Allah jadikan padanya kebaikan yang banyak. “

6. Merahsiakan kekurangan, kecacatan, dan aib isteri daripada pengetahuan orang lain

Tanggung jawab suami yang terakhir untuk hari ini ialah merahsiakan segala kekurangan, kecacatan, dan aib isterinya daripada pengetahuan orang lain, termasuklah ibu bapa dan adik-beradik suami itu sendiri. Ia adalah bertujuan untuk menjaga air muka isteri dan mengelakkan timbulnya rasa rendah diri bagi pihak isteri.

tanggung jawab suami
Sumber: Wanista

Itulah dia 6 tanggung jawab suami terhadap isteri dan keluarga yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda rasa perkongsian kami pada hari ini sangat bermanfaat, anda juga mungkin berminat untuk membaca artikel kami tentang tanda suami curangtanggung jawab isteri, dan tips menjadi isteri yang baik.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.