Pokok keladi atau nama saintifiknya Caladium kini semakin viral dan terkenal terutama dalam kalangan ibu-ibu. Lantaran itu, ada yang menjualnya cecahan ribuan ringgit mengikut jenis atau spesies.

Majoriti pokok keladi yang mencecah ribuan ringgit merupakan spesis unik, jarang ditemui dan terhad di pasaran. Siapa sangka, keladi yang dahulunya terbiar kini menjadi buruan ramai orang untuk dijadikan hiasan.

Ramai yang tak tahu pokok keladi mempunyai ribuan spesis.  Setiap keladi mempunyai bentuk dan corak berbeza. Ramai kaum ibu khususnya kian gemar menanam pokok keladi untuk dijadikan hiasan di halaman rumah. Ada juga yang meletakkannya dalam setiap sudut rumah.

Jika ada yang tak tahu, pokok keladi perlulah ditanam ditempat yang terlindung dari cahaya matahari secara terus untuk kekal membesar dengan cantik. Pastikan tanah sentiasa lembab dan gunakan baja untuk mendapatkan daun yang lebat.

Ada yang sedang mencari hadiah untuk isteri atau ibu? Elok sangat beri pokok keladi yang viral ini. Bagi anda yang hendak mencari pokok keladi viral yang cantik tetapi tidak tahu nama dan spesis, jangan risau kami sediakan 15 spesis pokok keladi yang umum.

Monstera Deliciosa

Imej via [ Leaf Garden ]

Keladi spesis ini sering dijadikan hiasan dalaman rumah. Bentuk daunnya mempunyai corak seakan kekoyakkan. Sebenarnya banyak jenis pokok monstera yang cantik. Namun ini adalah salah satu darinya .

Dari sudut kesihatan, keladi ini dapat memperbaiki kualiti udara persekitaran. Ia mampu menyerap formaldehyde yang tidak elok pada kesihatan manusia. Keladi ini juga sesuai diletakkan di luar rumah namun elakkan dari terkena cahaya matahari secara terus.

Tropical Storm

Imej via [ Fine Gardening ]

Tropical Storm adalah antara keladi yang sering ditanam sebagai hiasan. Keladi Tropical Storm mempunyai warna yang menyerlah iaitu kehijauan dan sedikit keputihan atau kekuningan di tengah-tengah daun. Penjagaannya juga sangat mudah.

Red Stardust

Imej via [ bukalapak ]

Jika anda mencari pokok keladi hiasan selain warna hijau, apa kata beli Red Stardust yang mempunyai corak menarik dan berwarna merah yang menyerlah. Keladi ini juga mudah dijaga selain sesuai diletakkan untuk hiasan dalaman rumah atau pejabat.

White Christmas

Imej via [ Sedan Floral ]

Keladi White Christmas mempunyai corak yang menawan kerana pada daunnya akan timbul corak yang memutih dan urat yang halus. Spesis ini mudah membiak atau merimbun dan tahan panas. Namun untuk dapatkan corak putih yang menyerlah, letakkan keladi ini di bawah teduhan.

Angel Wings

Imej via [ Planting Man ]

Angel Wings atau nama lainnya Caladium Bicolor mempunyai bentuk seakan hati. Lazimnya spesis ini mempunyai warna sedikit kehijauan di sekeliling daun dan di tengah-tengahnya kemerahan dan sedikit putih. Angel Wings juga mudah dijaga.

Pink Burst

Keladi Pink Burst juga mempunyai bentuk hati dengan keliling daun berwarna hijau dan ditengah-tengahnya merah jambu. Keladi spesis ini mudah ditemui. Jika anda ingin menanam spesis ini, anda digalakkan untuk meletakkannya di luar rumah untuk mendapat cahaya matahari yang cukup.

Jika anda inginkan warna daun yang lebih menyerlah, letakkannya di bawah pencahayaan yang cukup dan pastikan tanah sentiasa lembab.

Wildfire

Imej via [ QFB Gardening ]

Wildfire juga mempunyai corak yang menyerlah. Bentuk daunnya seakan hati namun lebih bujur dan sekeliling daun bergerigi besar. Warnanya pula merah terang pada bahagian pusatnya, berurat putih dan kehijauan dengan tompokan merah di bahagian luar.

Spesis ini mengambil masa yang lama untuk merimbun dengan anggaran selama 3 minggu. Namun, ramai yang menyukainya kerana cantik dijadikan hiasan.

Carolyn Whorton

Imej via [ Happiness Farms Caladiums ]

Spesis ini hampir sama bentuknya dengan keladi Wildfire namun coraknya berbeza. Carolyn Whorton mempunyai urat tebal berwarna merah dan tompokannya besar berwarna merah jambu.

Turut dikenali sebagai keladi bomba, keladi ini sangat popular dan senang untuk diperolehi. Salah satu sebab ramai yang memilih Carolyn Whorton adalah ianya mudah dijaga.

Green Spider

Imej via [ Brilio Net ]

Ramai yang keliru pokok keladi Green Spider dan Festivia. Cara nak membezakannya adalah dengan melihat warna batangnya. Jika batangnya berwarna hijau, ia adalah Green Spider manakala batang hitam adalah Festivia.

Daun keladi ini berwarna merah menyerlah dengan urat berwarna hijau. Lagi cantik apabila keladi ini mula merimbun. Selain mudah dijaga, ianya juga senang untuk membiak.

Homalomena Rubescens

Jika anda mencari keladi untuk hiasan dalaman rumah, apa kata anda letakkan spesis ini. Lebih-lebih lagi rumah yang berkonsepkan minimalis atau alam. Spesis ini turut dikenali sebagai keladi kemoyang.

Daunnya kehijauan dan bergaris cantik serta batangnya berwarna merah. Harganya di pasaran ada yang murah dan ada juga dijual dengan harga kayangan.  Keladi ini sesuai untuk hiasan dalam rumah.

Alocasia Macrorrhiza Variegata

Popular dengan nama keladi Albino, keladi ini mempunyai daun kehijauan dengan tompok keputihan. Nak jadikan hiasan dalaman atau di luar rumah juga sesuai. Pokok keladi Albino memerlukan penjagaan yang rapi kerana pada peringkat anak pokok, spesis ini sangat sensitif dengan persekitaran.

Hilo Beauty

Imej via [ The Garden Corner ]

Di Malaysia spesis ini dikenal sebagai Keladi Komando. Corak daunnya seakan celoreng tentera, keladi ini mempunyai dua kombinasi warna iaitu hijau pekat dan hijau muda. Seperti kebanyakan spesis keladi yang lain, Hilo Beauty berbentuk hati.

Black Coral

Imej via [ The Fabulous Garden ]

Pokok keladi paling unik ini mempunyai warna yang gelap tetapi sangat menyerlah.  Pada awalnya, black coral akan tumbuh dengan warna daun menghijau. Tetapi jangan risau kerana warnanya akan bertukar menjadi kehitaman tidak seperti spesis Black Magic. Semakin berusia daun, semakin gelap warnanya.

Heart Desire

Imej via [ ADR Bulbs ]

Keladi Heart Desire mempunyai urat tebal berwarna putih di samping daun kehijauan dan tompokan seperti percikan yang berwarna merah. Keladi spesis ini mudah membiak sama ada melalui pecahan rumput atau ubinya.

Cara penjagaan sangat mudah. Anda boleh meletakkannya di kawasan yang redup atau terkena cahaya matahari secara penuh. Namun warnanya akan berbeza mengikut kadar pencahayaan yang diterima.

Dragon Scale

Imej via [ Pinterest ]

Dragon Scale tak kurang hebatnya. Daun dengan kombinasi warna hijau gelap dan sedikit hijau terang menyerlahkan lagi keladi tersebut. Dengan garisan atau tulang yang halus, corak daun seolah-olah timbul.

Memang cantik jika dijadikan tanaman hiasan lebih-lebih lagi apabila diletakkan di dalam rumah. Cara penjagaan amat mudah. Anda cuma perlu memastikan tanah sentiasa lembab dan tidak terkena cahaya matahari secara terus.

Ini baru beberapa spesis pokok keladi yang kami paparkan. Namun cukup untuk memberi informasi buat anda yang baru ingin berjinak dalam tanaman keladi atau ingin memberi hadiah kepada isteri atau ibu.

Setiap spesis ini mempunyai cara tanaman dan penjagaan yang berbeza. Sekiranya anda ingin membelinya, pastikan anda tahu cara dan tips penjagaan agar pokok keladi tumbuh dengan segar dan cantik.

Paling penting, setiap pokok memang mempunyai keunikan tersendiri. Patutlah ada yang sanggup dapatkan pokok keladi walaupun harganya mampu membeli seutas rantai emas.

Kami juga ada menulis artikel lain seperti:

Penulis: Saiful Izzuan

Menulis berkenaan tips motivasi dan kejayaan di blog drInspirasi.com. Seorang yang gemar berkongsi mengenai prinsip Kejayaan dan Bakat. Kebanyakan artikel beliau boleh dibaca di www.drinspirasi.com

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.