Jom ketahui jenis-jenis nafkah kepada isteri yang mungkin suami terlepas pandang.

Nafkah berasal dari perkataan Arab yang bermaksud sesuatu yang dibelanjakan daripada wang atau yang senilai dengannya untuk mencukupi keperluan harian. Nafkah juga didefinisikan sebagai sesuatu yang dibelanjakan untuk melengkapkan apa-apa sahaja yang menjadi keperluan asas isteri seperti makanan, minuman, pakaian dan juga tempat tinggal.

Nafkah menurut istilah pula adalah mengeluarkan perbelanjaan atau sara hidup terhadap golongan yang diwajibkan terhadap seseorang itu. Pendek kata, nafkah ini adalah pemberian seorang suami kepada isterinya yang merangkumi setiap keperluan walaupun isteri tersebut seorang yang kaya, serta mampu membiayai dirinya sendiri.

Nafkah Suami Kepada Isteri

Hukum seorang suami memenuhi nafkah adalah wajib, mengikut kemampuannya. Dan ini jelas dinyatakan dalam surah an-Nisaa’ : 32 yang bermaksud;

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (daripada beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

(an-Nisaa’: 32)


Jelaslah, Islam sangat tegas dalam perintah pemberian nafkah kepada  suami terhadap isteri. Namun seseorang isteri itu tidaklah boleh meminta nafkahnya itu secara berlebihan yang di luar kemampuan suaminya sehingga membebankan. Paling penting nafkah tersebut dari sumber yang halal dan pasti. Allah berfirman dalam surah al-Talaq : 7, yang bermaksud;

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya.”

(al-Talaq:7)

Namun, sekiranya si suami tersebut gagal memenuhi keperluan isterinya, secara tidak langsung dia telah berhutang dengan isterinya, bahkan hutang tersebut wajib dibayar dan tidak gugur walaupun dengan kematian suami ataupun penceraian seperti hutang lain (Muhammad Bagir, 2008).

Hutang nafkah batin hendaklah dibayar dengan cara melakukan pembaikan diri dan sikap terhadap isteri sehingga isteri tersebut sedia dan ikhlas untuk memaafkannya (Miftah Faridl, 2004).

Manakala hutang nafkah zahir pula perlu dibayar dengan wang ringgit, pakaian, penjagaan kesihatan atau apa-apa juga bentuk pemberian yang bersesuaian (Miftah Faridl, 2004). Sekiranya suami benar-benar tidak mampu, maka suami tersebut tidaklah berdosa.

Namun akan jatuh syarat wajib kepada suami untuk memberikan nafkah kepada isterinya apabila suami dan isteri itu telah bernikah secara sah. Selain itu, isteri telah menyerahkan dirinya kepada  suami (tidak menolak permintaan suami untuk melakukan istimta’) dan isteri telah mengikut serta tinggal di tempat yang dipilih suami.

Jenis-jenis Nafkah kepada Isteri

Hak nafkah yang wajib dibahagikan kepada dua jenis, iaitu nafkah zahir dan nafkah batin.

Nafkah Zahir

Nafkah zahir adalah menyediakan semua keperluan hidup, seperti tempat tinggal, makan dan pakai mengikut   kemampuan suami serta bersesuain dengan sesuatu tempat dan peredaran masa.

Menurut Imam an-Nawawi, terdapat tujuh hak-hak yang wajib terhadap isteri, iaitu;

1. Makanan

2. Bahan-bahan seperti rempah-ratus (bahan-bahan memasak)

3. Pembantu bagi isteri yang kebiasaannya mempunyai pembantu

4. Pakaian

5. Pembersih badan dan pencuci pakaian dan sebagainya

6. Perkakas rumah seperti perkakas bilik air dan sebagainya

7. Tempat tinggal (rumah)

Sekiranya suami tidak menjalankan tanggungjawabnya itu walau dia mampu, isteri berhak mengambil harta suami tanpa kebenaran suaminya.

Dari Aisyah r.a berkata: sesungguhnya Hindun datang kepada Rasulullah lalu berkata: ‘wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah orang yang kedekut dan tidak mahu memberikan kepadaku belanja yang cukup untukku dan anakku, sehingga terpaksa aku ambil dari hartanya tanpa pengetahuannya’. Lalu Baginda bersabda: ‘ambillah sekadar cukup untuk dirimu dan anakmu dengan wajar’.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nafkah Batin

Nafkah batin merupakan keperluan rohani atau dalam hal yang selalunya melibatkan emosi. Nafkah batin tidaklah semestinya mengenai hubungan seks sahaja tetapi berkongsi masalah, mendengar luahan, bermesra juga adalah sebahagian daripada nafkah batin yang mesti dipenuhi.

Dalam hal perhubungan, seseorang isteri boleh menolak ajakan untuk bersama tetapi mestilah bersebab yang munasabah, atau kerana keadaan darurat ataupun keuzuran. Mahupun  terdapat masalah kesihatan, terlalu letih dan sebagainya. Lalu suami haruslah memahami dan  mementingkan toleransi dengan pasangan dan bukanlah bertindak dengan kekerasan serta menafikan hak isteri.

Jadi, pangertian nafkah batin bukanlah berkisar perlakuan seksual semata-mata tetapi perkara-perkara lain yang mengembirakan isteri.

Nafkah Bapa kepada Anak-anaknya

Allah SWT berfirman;

 “… Dan kewajiban ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut.

(al-Baqarah :233)

Seorang bapa juga sebenarnya berkewajipan untuk menafkahi anak-anaknya, iaitu anak-anaknya yang masih kecil dan tidak mampu menafkahi diri mereka sendiri. Antaranya anak yang cacat, yang masih kecil, yang belajar dan sebagainya. Ini termasuklah jika berlaku  perceraian, bapa tersebut wajib membayar nafkah kepada anka-anaknya seperti sebelum bercerai.

Namun, jika seseorang anak tersebut telah dewasa (baligh) dan telah berpendapatan sendiri, tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak itu telah selesai. Rasulullah bersabda:

Disampaikan dari Ummu Salamah r.a (yang) berkata, (suatu saat) saya bertanya (kepada Rasulullah SAW), ‘Wahai Rasulullah, apakah saya mendapat pahala apabila saya memberikan nafkah kepada putera-putera Abu Salamah, kerana saya tidak boleh membiarkan mereka begini dan begitu. Sesungguhnya mereka pun anak-anak saya’. Jawab Baginda, ‘ Ya, engkau mendapat pahala terhadap apa yang engkau nafkahkan kepada mereka’.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penutup

Isu pemberian nafkah tidaklah boleh diambil ringan dan mudah. Ia bukan saja sebagai  tanggungjawab tetapi amanah yang mestilah ditunaikan sebagai seorang suami dan bapa. Dengan itu aspek mengenai hukum ini wajib dipelajari agar tidak terabai dan tidak ada golongan yang teraniaya.

Jemput juga baca artikel kami  tentang Tuntutan Nafkah Anakdan Nafkah Isteri

Rujukan:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.