Pokok dukung bukan sekadar tumbuh di dalam semak, tetapi menyimpan pelbagai khasiat.

Jom ketahui khasiat pokok dukung anak dalam artikel ini.

Pengenalan

Pokok dukung anak biasanya tumbuh melata di tepi rumah, di tepi jalan, dan di tepi longkang. Malah ada yang tidak mengenali pokok herba dengan ini dan menyangka ia adalah rumput yang langsung tidak berguna.

Tahukah anda yang sebenarnya pokok dukung anak mempunyai 1001 khasiat dan kebaikan yang pastinya membuatkan anda terkejut?

Pokok dukung anak atau nama saintifiknya Phyllanthus niruri adalah sejenis tumbuhan dari spesis herba berubat yang selalunya dijumpai di kawasan beriklim tropika seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, malah pokok ini juga ada di negara China dan Amerika Syarikat.

Terdapat banyak jenis pokok dukung anak yang telah dikenal-pasti di seluruh dunia, dan di antara yang dijumpai di Malaysia adalah daripada jenis:

  • Phyllanthus amarus
  • Phyllanthus niruri
  • Phyllanthus urinaria
  • Phyllanthus debilis
pokok dukung anak
Sumber: Researchgate

Mungkin juga anda tidak mengenali pokok dukung anak kerana anda memanggil pokok herba ini dengan nama yang lain. Di antara nama lain bagi pokok dukung anak ialah:

  • Buah amin
  • Rami buah
  • Turi hutan
  • Nipon-nipon
  • Chanca piedra
  • Keelaanelli
  • Meniran
  • Quebra pedra
  • Zhen chu cao
  • Ye xia zhu
  • Stone breaker
  • Shatter stone
  • Child pick-a-back
  • Gale of the wind

Apakah kebaikan dan khasiat pokok dukung anak?

Pokok dukung anak sememangnya terkenal dengan kebaikan dan manfaat untuk kesihatan. Ianya digunakan secara meluas di seluruh dunia sejak zaman dulu kala lagi sebagai perubatan alternatif. Di antara khasiat pokok dukung anak ialah:

1. Merawat penyakit berkaitan hati

Hati manusia boleh rosak akibat toksin yang berlebihan. Di antara penyit berkaitan hati yang paling kerap berlaku ialah jaundis atau demam kuning, hepatitis B, dan kanser hati. Salah satu daripada khasiat pokok dukung anak ialah untuk merawat penyakit berkaitan hati dengan cara membantu hati untuk detoks atau menyah toksin. Untuk merawat hati dengan pokok dukung anak, berikut adalah caranya:

  • Ambil secekak pokok dukung anak, bersihkan.
  • Rebus dalam 3 cawan air.
  • Biarkan mendidih sehingga air menjadi separuh.
  • Minum air rebusan pokok dukung anak tadi sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk mendapat hati yang sihat dan bersih dari toksin.

Seawal tahun 1985, kajian berkenaan fungsi pokok dukung anak melawan penyakit ketoksikan hati telah dijalankan. Menerusi kajian bersama para penyelidik India dan Jepun, mereka melaporkan kesan antihepatotoksik atau penawar masalah hati yang mengandungi toksik bahaya, 

Mereka menggunakan ekstrak pokok dukung anak ini dan mengenal pasti sebatian bioaktif yang terlibat untuk tindakan antihepatotoksik ialah phyllanthin, hypophyllanthin, triacontanal dan tricontanol.

2. Mengubati penyakit batu karang

Penyakit batu karang sememangnya menyakitkan. Jika anda terkena penyakit batu karang, anda boleh berikhtiar dengan menggunakan pokok dukung anak.

Caranya ialah dengan minum air rebusa pokok dukung anak seperti yang kami kongsikan di atas, atau boleh juga jadikan pokok dukung anak sebagai ulam dimakan dengan nasi.

Celur pokok dukung anak dan jadikan sebagai ulam. Insya Allah batu karang anda akan hancur jika diamalkan selalu.

Masyarakat dunia menggunakan petua ini bagi merawat masalah batu karang, maka, dari situlah timbulnya nama lain pokok dukung ini yang dikenali sebagai “stone breaker” (pemecah batu) yang dimaksudkan untuk batu karang.

Ulasan oleh para penyelidik dari UPM Serdang pada tahun 2006 melaporkan bahawa menurut ujian pra klinikal, ekstrak pokok dukung anak ini mampu mencegah pembentukan kristal kalsium oksalat. Kristal tersebut merupakan batu karang yang sering dijumpai dalam pundi kencing dan buah pinggang. 

3. Merawat demam malaria

Imej via Bidadari

Mungkin pada masa ini demam malaria agak jarang berlaku. Pada satu masa dahulu, wabak demam malaria adalah satu perkara yang biasa, dan orang lama menggunakan pokok dukung anak sebagai alternatif untuk mengatasi demam tersebut. Caranya:

  • Keringkan pokok dukung anak dengan cara menjemur dibawah panas matahari.
  • Setelah betul-betul kering, tumbuk sehingga halus.
  • Serbuk pokok dukung anak tadi boleh dicampurkan dengan air untuk dijasikan sebagai minuman bagi menurunkan suhu akibat demam dan mengurangkan simptom demam malaria yang lain.
  • Selain itu, serbuk tadi juga boleh dicampurkan ke dalam makanan dan juga dicampurkan dengan sedikit air untuk disapukan keseluruh badan bagi menurunkan suhu badan yang terlampau tinggi.

Selain ulasan saintifik mengenai keupayaan pokok dukung anak mencegah pembentukan batu karang, penyelidik-penyelidik UPM Serdang tersebut turut melaporkan berkenaan keupayaan pokok dukung anak memberikan kesan anti babesial.

Kesan anti babesial ialah kesan melawan parasit yang memasuki tubuh. Mekanisme yang sama turut diperhatikan dalam pencegahan dan penyembuhan demam malaria.

Menurut kajian lepas yang dirujuk mereka, sebatian glukogallin dan nirurisida dalam pokok dukung anak memberikan kesan anti babesial yang sangat baik. 

4. Mengurangkan gejala asma

Jika anda atau orang tersayang mengalami penyakit asma, apa kata anda berikhtiar dengan pokok dukung anak. Caranya ialah dengan mengeringkan pokok dukung anak seperti cara yang kami kongsikan di atas, dan campurkan serbuk dukung anak itu tadi ke dalam makanan dan minuman pesakit asma.

Insya Allah jika diamalkan secara konsisten, semput-semput yang dialami akan berkurangan.

Hal ini turut disokong dalam penulisan jurnal saintifik oleh pengkaji-pengkaji di India pada tahun 2012.

Mereka mencatatkan penggunaan pokok dukung anak sebagai ubatan alternatif turun temurun sejak perubatan ayurveda dan dalam kalangan masyarakat di India hingga ke hari ini. Namun, belum ada kajian klinikal yang konklusif untuk mengesahkan pendapat ini.

5. Menambah selera makan

Jika anda mengalami masalah hilang selera makan, pokok dukung anak boleh membantu mengembalikan selera makan anda. Caranya:

  • Ambil sedikit pokok dukung anak.
  • Rebus dalam 2 cawan air sehingga mendidih.
  • Masukkan sedikit madu atau gula batu.
  • Minum air rebusan tadi.

Selain rasanya yang enak bagi penggemar ulam ulaman, kandungan antioksidan yang tinggi seperti lignan, flavonoid, triterpene, sterol dan alkaloid memberikan nilai tambah dalam hidangan kita.

6. Mengubati batuk

Jika anda mengalami batuk, rebus pokok dukung anak dan minum airnya. Ianya akan melegakan batuk yang anda alami. Dada anda akan berasa lapang.

Pada tahun 2017, sekumpulan penyelidik di universiti awam di Dhaka, Bangladesh telah melaporkan aktiviti anti keradangan oleh pokok dukung anak dalam jurnal berprestij BMC Complementary and Alternative Medicine. 

Ekstrak pokok dukung anak boleh mengurangkan tahap keradangan sehingga 69% selain dijadikan antiradang bagi gejala seperti batuk dan ulser. 

7. Mengurangkan jaundis atau demam kuning bayi

Imej via Bidadari

Jika bayi anda terkena demam kuning, pastinya anda akan berasa susah hati melihat bayi anda menangis setiap kali diambil darah di klinik untuk pemeriksaan bilubirin.

Salah satu daripada petua menghilangkan jaundis yang boleh anda lakukan ialah dengan memandikan bayi anda dengan air rebusan akar pokok dukung anak. Petua ini juga dilaporkan telah diamalkan oleh masyarakat di serata dunia sejak turun-temurun.

Caranya:

  • Ambil akar pokok dukung anak.
  • Cuci sehingga betul-betul bersih dari sebarang kotoran.
  • Rebus selama satu jam.
  • Campurkan air rebusan akar pokok dukung anak tadi dalam air mandian bayi anda.
  • Mandikan bayi anda dengan air rebusan akar pokok dukung anak setiap hari sehingga demam kuning tiada lagi.

8. Menghilangkan kurap

Jika anda terkena kurap, anda boleh berikhtiar menghilangkan kurap dengan menggunakan daun pokok dukung anak.

Caranya, ambil daun pokok dukung anak. Tumbuk sehingga halus. Tampal bahagian yang berkurap. Lakukan selalu sehingga kurap anda hilang.

9. Menghilangkan kudis buta

Untuk penyakit kudis buta, anda boleh juga gunakan daun pokok dukung anak sebagai petua. Caranya, ambil daun pokok dukung anak. Tumbuk bersama sedikit garam halus.

Tampal ke bahagian kudis buta dan biarkan sehingga kering. Amalkan selalu sehingga kudis buta anda tiada lagi.

Keberkesanan pokok dukung anak dalam merawat kurap dan kudis buta adalah disebabkan sifat antimikrob nya yang sangat baik. Panau dan kudis buta masing-masing berpunca daripada jangkitan kulat dan parasit. 

Kajian PhD di University of Slaford, Manchester pada tahun 2015 telah melaporkan beberapa sebatian bioaktif yang bermanfaat dalam dunia perubatan bagi merawat pelbagai masalah dan penyakit disebabkan mikrob dan radikal. Malah, kajian tersebut turut membuktikan satu lagi sebatian yang diberi nama corilagin.

Itulah dia info tentang pokok dukung anak yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Menarik bukan? Jika anda menyukai artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang idea pokok hiasan dalam rumah, khasiat bunga telang, dan khasiat labu kuning.

Rujukan

  1. Bagalkotkar, G., Sagineedu, S. R., Saad, M. S., & Stanslas, J. (2006). Phytochemicals from Phyllanthus niruri Linn. and their pharmacological properties: a review. Journal of pharmacy and pharmacology58(12), 1559-1570. (link)
  2. Mostofa, R., Ahmed, S., Begum, M. M., Rahman, M. S., Begum, T., Ahmed, S. U., … & Begum, R. (2017). Evaluation of anti-inflammatory and gastric anti-ulcer activity of Phyllanthus niruri L.(Euphorbiaceae) leaves in experimental rats. BMC complementary and alternative medicine17(1), 267. (link)
  3. Narendra, K., Swathi, J., Sowjanya, K. M., & Satya, A. K. (2012). Phyllanthus niruri: a review on its ethno botanical, phytochemical and pharmacological profile. Journal of Pharmacy Research5(9), 4681-4691. (link)
  4. Puspita, N. A. (2015). Isolation and characterisation of medicinal compounds from Phyllanthus Niruri L (Doctoral dissertation, University of Salford). (link)
  5. Syamasundar, K. V., Singh, B., Thakur, R. S., Husain, A., Yoshinobu, K., & Hiroshi, H. (1985). Antihepatotoxic principles of Phyllanthus niruri herbs. Journal of ethnopharmacology14(1), 41-44. (link)

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.