Perkahwinan adalah satu ibadah serta penyatuan dua jiwa juga pasangan amanah untuk kita. Perkahwinan adalah menyatukan dua buah keluarga dengan satu ikatan. Allah SWT menjadikan perkahwinan ini bertujuan mendapatkan zuriat dan jalan bagi memenuhi tuntutan seksual manusia.

Terdapat tiga jenis dimensi perkahwinan iaitu perkahwinan fitrah manusia, kepentingan dalam masyarakat serta pemilihan hati. Ia telah dinyatakan oleh Dr. Abdullah Nasih al-Ulwan didalam kitabnya iaitu ‘Tarbiyah al-Awlad fi al-Islam’.

Hukum asal perkahwinan adalah harus mengikut Mazhab Imam As-Syafi’e, namun para fuqaha menyatakan bahawa hukum berkahwin berbeza mengikut keadaan seseorang.

Jika niat berkahwin adalah untuk menzalimi pasangannya, maka hukum kahwin tersebut boleh jatuh kepada haram. Akan tetapi jika seseorang berkeinginan untuk berkahwin tetapi masih terpelihara daripada perkara keji jika tidak berkahwin, maka hukum untuk dia berkahwin adalah sunat.

Allah S.W.T. berfirman :

Dan segala sesuatu kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah” (Surah Adz-Dzariyaat 51, Ayat 49)

Imej via [sinarharian]
Imej via [sinarharian]

Perkahwinan Fitrah Manusia

Keinginan untuk berkahwin adalah fitrah manusia yang bermaksud sifat manusia sebagai makhluk Allah S.W.T. Setiap manusia yang sudah dewasa dan sihat fizikal dan rohaninya, pasti memerlukan teman hidup yang berlainan jenis yang dapat memenuhi keperluan biologi seperti cinta mencintai.

Sabda Rasulullah S.A.W. :

“Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin) dan sesiapa tidak sanggup, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat membendung syahwat.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Manusia akan sekaligus bekerjasama untuk mewujudkan ketenteraman, ketenangan dan kesejahteraan hidup berumah tangga. Dalam Agama Islam, perkahwinan itu harus bagi mereka yang mampu.  Selain itu, terdapat banyak lagi hikmah perkahwinan pasangan perlu tahu.

Imej via [villaimpiana]
Imej via [villaimpiana]

1. Menjadi Lebih Berdisiplin

Pasti akan wujudnya kehidupan yang teratur dan berdisiplin di dalam kehidupan berumah tangga. Ia merupakan salah satu hikmah perkahwinan. Ia meliputi rasa tanggungjawab dan pembahagian tugas di antara suami dan isteri, ibu bapa dengan anak-anak dan sebagainya. Anda pasti akan menjadi lebih berdisiplin kelak!

2. Rezeki Bertambah

Tahukah anda, salah satu punca murah rezeki juga adalah dari hikmah perkahwinan? Perkahwinan dapat menambahkan rezeki anda dan pasangan, serta rezeki dari segi ketenangan, kesihatan dan lain-lain lagi.

Rezeki yang dimaksudkan bukan terletak kepada wang dan harta benda sahaja, malahan boleh jadi keceriaan dan kebahagiaan ataupun rezeki menimang cahaya mata yang ramai. Sesungguhnya rezeki itu datang dari Allah S.W.T. dan kita hendaklah istiqamah, berusaha serta berdoa untuk mendapatkan rezeki yang diberikan olehNya kepada kita.

Dari Aisyah R.A., Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda :

Berkahwinlah kamu kerana perempuan itu juga boleh menolong kamu mencari harta dan boleh menjimatkan harta”

(Riwayat Imam al-Bazzar)

3. Zuriat

Hikmah perkahwinan juga adalah dapat melahirkan zuriat dan meneruskan kehidupan sebagai seorang hamba Allah yang bertaqwa, mudah-mudahan ia sungguh disukai oleh Rasulullah S.W.T..

Rasulullah S.A.W. amat berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat nanti dan semoga kita dapat melahirkan zuriat yang beriman serta bertaqwa. Daripada Ma’qal bin Yasar, Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Berkahwinlah kamu dengan wanita pengasih dan subur, kerana aku akan berbangga dengan jumlah kamu yang ramai.”

(Riwayat Abu Daud)

Imej via [pesonapengantin]
Imej via [pesonapengantin]

4. Sunnah Para Nabi dan Rasul

Salah satu hikmah perkahwinannya adalah mengikuti sunnah para rasul dan nabi. Rasul dan para nabi telah diutuskan oleh Allah S.W.T. sebagai pemimpin umat manusia ke jalan kebenaran. Firman Allah yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutuskan Rasul sebelum kamu dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan juga keturunan.”

(Surah Al-Ra’d: Ayat 38)

Untuk pengetahuan anda, para nabi dan rasul adalah model yang harus kita ikuti demi keamanan, kebahagiaan dan kedamaian dalam kehidupan dunia akhirat. Dengan mengikuti sunnah mereka melalui perkahwinan, kita akan memperolehi kebaikan dan keselamatan berpanjangan.

Daripada Aisyah R.A., Rasulullah S.A.W. bersabda :

Perkahwinan itu adalah sunnahku, sesiapa yang tidak suka mengikut sunnahku maka bukanlah dia daripada golongan umatku.”

(Riwayat Ibn Majah)

5. Kehidupan Menjadi Tenang Dan Tenteram

Melalui ikatan perkahwinan, hikmah perkahwinan adalah dapat membuatkan seseorang itu berasa lebih aman, bahagia, tenang dan tenteram dalam kalangan suami isteri serta menimbulkan rasa cinta dan kasih sayang.

Firman Allah S.W.T. bermaksud :

“Dan antara tanda-tanda membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra bersamanya, dan jadikanlah antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang.”

(Surah Ar-Rum : Ayat 21)

6. Dapat Memelihara Iman

Apabila telah berkahwin maka pasangan tersebut telah terselamat daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan dosa, terutama berkaitan dengan nafsu syahwat dan ia merupakan hikmah perkahwinan yang amat bermakna kan? 

Imej via [says]
Imej via [says]

7. Dapat Memelihara Kesucian

Selain itu, hikmah perkahwinan adalah lelaki secara fitrahnya mempunyai keinginan terhadap wanita dan begitu juga dengan wanita. Kerana itulah syaitan sentiasa mencari jalan untuk menggoda kedua-duanya agar melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah S.W.T. Dengan perkahwinan, kita akan terpelihara diri daripada hal-hal yang sedemikian.

8. Membina Suasana Persekitaran Berkeluarga

Hikmah perkahwinan melalui perkahwinan adalah dapat membina persekitaran keluarga. Ia termasuklah mengutamakan perkembangan kanak-kanak. Anak-anak ini mampu membesar menjadi umat Islam yang berjaya serta mereka akan membesar dengan baik dalam persekitaran berkeluarga.

9. Menjaga Masyarakat Dari Penyakit Fizikal

Perkahwinan dapat melindungi sesebuah keluarga dari penyakit fizikal dan akhlak yang tidak baik kerana zina dapat mendatangkan pelbagai penyakit. Hikmah perkahwinan ini amat besar dalam masyarakat kita. Antara penyakit dapat dielakkan adalah AIDS, sifilis dan sebagainya.

10. Melindungi Diri Dari Keruntuhan Moral

Hikmah perkahwinan dapat menutup pintu fitnah dan maksiat yang menjadi punca kerosakan akhlak dalam kalangan masyarakat. Ia juga dapat mengelakkan perbuatan maksiat. Oleh itu, apabila berkahwin, pasangan sudah halal dalam sesebuah hubungan dan boleh bersama ke mana sahaja serta tiada fitnah yang bakal berlaku lagi.

Imej via [cahayakristal]
Imej via [cahayakristal]

11. Dapat Memelihara Umat Manusia

Dengan perkahwinan, hikmah perkahwinan adalah dapat memelihara berkurangnya jumlah manusia di muka bumi ini. Dewasa kini, ramai yang tidak berkahwin kerana mengutamakan kerjaya berbanding memiliki keluarga. Ada juga memilih untuk membujang dan sebagainya. Bagi menyelamatkan jumlah penurunan manusia, anda yang mampu wajib berkahwin okey?

12. Hidup Dalam Keharmornian

Hikmah perkahwinan ramai tak sedar adalah semua rasa cinta yang terbit serta hubungan yang halal di samping peluang menambah amal, serta kehidupan bertambah harmoni dengan kehidupan dalam perkahwinan. Kini, seorang lelaki dan wanita mempunyai teman bagi menghadapi susah senang kehidupan. Hikmah perkahwinan juga mungkin akan menyebabkan segala masalah dapat diselesaikan.

13. Menghalalkan Keinginan Fitrah Masing-masing

Apabila sudah berkahwin dan bergelar suami isteri, tiada lagi kebimbangan dalam menghampiri perkara haram dalam hubungan kerana sudah halal. Apabila bersama pasangan pula, sentiasa mendapat pahala. Seronoknya!

Imej via [says]
Imej via [says]

14. Mengekalkan Ikatan Silaturrahim Dalam Kalangan Keluarga Masing-masing

Dengan perkahwinan, hikmah perkahwinan juga dapat mengeratkan dua keluarga serta mengikat tali silaturrahim sesama saudara Islam. Selain itu, ia dapat menambahkan lagi bilangan keluarga dan saudara-mara. Suasananya juga amat meriah!

15. Dapat Membaiki Diri Ke Arah Yang Lebih Baik

Hikmah perkahwinan turut dapat membina motivasi dalam kalangan pasangan untuk sama-sama berbuat amal kebaikan serta membaiki diri ke arah perbuatan yang lebih baik.

Jika dahulu solat bersendirian, kini seorang isteri menjadi makmum kepada suaminya dan sentiasa mengejutkan suaminya untuk solat bersama. Maka dapatlah dia pahala solat berjemaah. Setiap yang dilakukan bagi pasangan masing-masing mendapat pahala. Anda pasti rasa ‘sweet’ jika sentiasa melakukan perkara-perkara yang baik dan sentiasa mengingati antara satu sama lain.

Kesimpulannya, perkahwinan mendatangkan pelbagai hikmah dan kemanisan, namun setiap individu lelaki dan perempuan mestilah bersedia untuk menempuh ke alam perkahwinan. Jom baca juga Idea doorgift kahwin, Jenis design pelamin kahwin dan Jenis rawatan kesuburan.

Rujukan:

  1. solusi
  2. Iluvislam
  3. wikipedia

Penulis: zulrina

Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.