Nak tahu petua hubungan adik-beradik yang erat?

Bukan semua orang mempunyai adik-beradik yang ramai. Ada orang yang merupakan anak tunggal dalam keluarganya. Jika anda mempunyai adik-beradik, ia merupakan rezeki yang diturunkan oleh Allah kepada kita. Ada keberkatan yang perlu kita cari.

Dengan adik-beradik kita boleh berkongsi kasih sayang, membesar bersama-sama dan memperkukuh institusi kekeluargaan. Walaupun dilahirkan dalam satu rahim yang sama, setiap anak-anak itu mempunyai sikap yang berbeza-beza.

Namun, mereka tetap darah daging kita. Ketika kecil, dengan adik-beradiklah kita bergaduh, bermanja, merajuk, mengadu dan menangis bersama-sama. Jika adik buat salah, kita akan cuba menyokong mereka.
Jika makanan tak cukup, kita sanggup berkongsi. Janji rezeki tersebut dapat dikongsikan bersama-sama. Tidur dan belajar bersama-sama. Tak hairanlah kalau adik dibuli di sekolah, kita sanggup bergaduh dengan orang yang cari pasal tu.

Sikap mempertahankan adik-beradik memang menjadi tanggungjawab kita. Siapa yang tak sayang adik-beradik bukan? Namun, adakah sikap kita ni akan tetap berterusan apabila sudah dewasa nanti?

Justeru, tajuk perbincangan kita dalam artikel ni akan menjurus soal hubungan adik-beradik. Penulis akan kongsikan beberapa petua tentang cara untuk mengekalkan hubungan adik-beradik agar tidak putus dan kekal bahagia.

 #1 Sentiasa Bertanya Khabar

Apabila dah dewasa, kita akan membawa haluan masing-masing. Ada yang merantau mencari rezeki, ada yang masih duduk dekat dengan ibu bapa. Ada juga yang akan berkahwin awal. Semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing.

Walaupun tinggal jauh, sentiasalah bertanyakan khabar melalui panggilan telefon, menghantar pesanan atau juga buat panggilan video. Walau sesibuk macam manapun, pastikan ahli keluarga anda tahu tentang diri anda.

Kini, sudah ada macam-macam aplikasi dalam telefon pintar untuk mengumpulkan keluarga melalui group mesej. Anda boleh mencuba cara ni. Masukkan sekali semua ahli keluarga termasuk ibu bapa untuk berbual-bual dan bercerita tentang aktiviti harian.

#2 Menjaga Kebajikan

Bukan semua adik-beradik kita ditakdirkan hidup senang. Ada yang hanya bekerja biasa, ada pula yang berjawatan tinggi. Sentiasalah menjaga kebajikan adik-beradik dengan memberikan perhatian dan bantuan.

Jangan sesekali berkira dalam membantu mereka jika anda berkemampuan. Dalam Islam juga digalakkan membantu adik-beradik terlebih dulu berbanding orang lain. Mudahkan urusan mereka jika ada kesulitan.

#3 Elakkan Pergaduhan

Sedangkan lidah lagi tergigit, begitulah dengan hubungan adik-beradik. Ada pasang surutnya. Kadangkala, kita akan ada perbezaan pendapat, perasaan marah dan tak puas hati. Cara yang paling baik ialah duduk berbincang untuk selesaikan masalah.

Jangan simpan dendam dan sakit hati yang berpanjangan. Jika kita tak suka sesuatu perkara yang dilakukan oleh adik-beradik, berterus-terang saja dengan mereka. Ibu bapa kita pun pasti sedih bila melihat hubungan anak-anak yang berantakan.

Jangan masuk campur kehidupan adik-beradik dengan keluarga masing-masing. Elakkan sikap iri hati dan memandang rendah. Seboleh-bolehnya jadilah manusia yang positif. Yang sentiasa mencari kebaikan berbanding keburukan.

#4 Kunjung-Mengunjungi

Pertemuan sesama adik-beradik tak semestinya ketika musim perayaan saja. Anda boleh mengajak mereka bertemu jika kebetulan berada di kawasan berhampiran. Dengan cara ini, hubungan mesra antara adik-beradik tak akan luput.

Ketika berkunjung, jangan lupa membawa sedikit buah tangan yang boleh diberikan kepada anak-anak. Pastinya mereka akan menghormati anda sebagai ahli keluarga yang penyayang dan prihatin.

#5 Hormat-Menghormati

Walaupun kita berpangkat abang atau kakak, hormatilah adik-beradik yang lebih muda. Begitu juga dengan adik-beradik yang jauh lebih tua. Jangan memperlekehkan pandangan nasihat sesama adik-beradik.

Sebagai abang atau kakak yang lebih tua, tunjukkan tauladan yang baik. Jangan membuat perkara-perkara yang akan merenggangkan hubungan kekeluargaan. Jika ada masalah, selesaikan cepat-cepat.

Jika kita sudah mempunyai keluarga dan anak-anak, didik mereka untuk menghormati ibu saudara dan bapa saudara mereka. Ini akan membuatkan anak-anak rapat dengan sepupu mereka.

#6 Buat Aktiviti Bersama

Walaupun tinggal berjauhan, sesekali berkumpullah sesama ahli keluarga. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama-sama misalnya masak bersama, hari keluarga, bercuti dan sebagainya.

Banyak kenangan manis yang akan tercipta melalui aktiviti sebegini. Kita dapat bergurau-senda sambil mengimbas kenangan masa kecil-kecil dulu. Tunjukkan anak-anak kita koleksi gambar keluarga. Jangan lupa mengambil gambar sebagai kenangan pada masa akan datang

#7 Peranan Ibu Bapa

Ibu bapalah yang akan mencorakkan keperibadian anak-anak apabila mereka sudah dewasa kelak. Sebagai orang tua, kita perlulah mendidik anak-anak sejak kecil tentang sikap hormat-menghormati sesama adik-beradik.

Jangan berkasar dan memukul anak-anak kerana ia akan menjejaskan emosi dan mental mereka. Apabila dewasa, hubungan anak-anak dengan ibu bapa juga akan menjadi renggang. Apa lagi sesama adik-beradik.

Jika ada masalah, ibu bapa perlu menjadi hakim atau orang tengah untuk membantu menyelesaikannya. Bersikap adil dan bertimbang rasalah dengan setiap anak-anak. Ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan persekitaran yang baik dan menekankan pendidikan agama akan menghasilkan anak-anak yang berkualiti.

#8 Sepakat dalam Buat Keputusan

Jika perlu mengambil keputusan dalam sesuatu perkara, mintalah pendapat semua orang. Jangan gunakan hak sebagai anak yang lebih tua untuk mengawal semuanya. Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza dan kita perlu menerimanya.

Misalnya dalam urusan pembahagian harta, jika adik-beradik sepakat, harta boleh dibahagikan secara sama rata. Jika ada masalah yang timbul, gunakan pembahagian secara faraid. Jangan mengungkit tentang perkara ni pada masa akan datang.

#9 Pentingkan Urusan Agama

Apabila berkumpul bersama, lakukan aktiviti keagamaan bersama-sama misalnya solat berjemaah atau membaca al-Quran beramai-ramai. Apabila berpeluang untuk pulang ke kampung ketika bulan ramadan, boleh juga masak dan berbuka puasa bersama-sama.

Apabila soal agama diletakkan melebihi segala-galanya, ketakwaan dan keimanan juga akan bertambah. Selain boleh merapatkan hubungan kekeluargaan, kita juga mendidik diri dan keluarga untuk menjadi hamba Allah yang beriman.

Diharapkan 9 petua yang dikongsikan tentang cara menjaga hubungan adik-beradik agar terus kekal dan bahagia, memberi manfaat kepada semua. Masyarakat yang berkualiti dan berakhlak bermula dari didikan di rumah.

Oleh itu, jagalah hubungan sesama adik-beradik. Jangan bermusuh dengan mereka. Ingatlah saat-saat susah dan senang bersama. Apabila ada masalah, orang yang akan menyokong kita dari belakang tentunya adik-beradik sendiri berbanding orang lain. Jemput juga baca tentang tips rapatkan hubungan adik-beradik dan kelebihan membesar bersama adik

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.