Setiap orang pasti pernah mengalami lecur, bukan? Sama ada di tangan, kaki, perut dan di tempat-tempat lain bahagian anggota badan. Kelecuran berlaku akibat kecuaian seseorang atau kemalangan tidak sengaja semasa melakukan kerja. Sebagai contoh, kerja yang berdekatan dengan api, seterika baju, bermain api dan lain-lain lagi.

Selalu apabila terkena lecuran di anggota badan, orang dulu-dulu akan sapu ubat gigi untuk sejukkan bahagian lecur itu. Tetapi betulkah cara ini dapat mengubati lecur itu?

Mari kami kongsikan info sebenar mengenai rawatan awal untuk lecur. Dr. Kamarul Ariffin, seorang pegawai perubatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Beliau juga merupakan antara barisan doktor di sebalik Medikal Mythbusters Malaysia. Dr. Kamarul Ariffin akan berkongsikan info mengenai merawat kelecuran di badan.

rawatan awal untuk lecur
Image via Keluarga.

Jika anda mengalami kelecuran, jangan letak ubat gigi, minyak gamat, tepung, kicap, telur dan sebagainya di kawasan lecuran.

Ia boleh menyebabkan inflamasi yang lebih teruk dan berisiko terkena jangkitan.

3 tahap kelecuran

Melecur pada kulit di bahagikan kepada 3 tahap:

◾Tahap 1: lecuran lapisan epidermis sahaja. Lapisan dermis tidak tercedera. Kulit kelihatan kemerah-merahan, dan sakit.

◾Tahap 2: lecuran lapisan epidermis dan sebahagian dermis. Lazimnya kulit kelihatan merah dan menggelembung (blister) dan sakit.

◾Tahap 3: lecuran epidermis, dermis dan lebih dalam. Kulit kelihatan putih dan tidak sakit kerana saraf deria sakit telah rosak.

Langkah rawatan awal untuk merawat kelecuran

Rawatan kecemasan awal betul adalah:

1. Jauhi diri atau mangsa daripada sumber bahaya (api/pemanas/air panas/elektrik/dsb). Kekal tenang, tak usah panik.

2. Tanggalkan semua barang kemas, jam, serta pakaian yang terbakar. Kecuali jika ia terlekat pada kawasan lecuran.

3. Alirankan air bersih bersuhu bilik selama 15-20 minit untuk hentikan lecuran daripada terus berlaku. Elak gunakan air sejuk atau ais.

4. Jika terdapat gelembung pada kulit yang melecur, tak usah pecahkan gelembung berkenaan. Hanya tutup dengan kain bersih.

5. Jumpa doktor sekiranya lecuran tahap 2-3, kawasan lecuran lebih besar daripada tapak tangan atau melibatkan muka serta kemaluan.

*Jika berlaku kelecuran yang ringan seperti di tangan akibat terkena benda panas, elakkan daripada sapu ubat gigi seperti yang doktor nasihatkan. Ikut langkah-langkah yang doktor syorkan untuk mengelakkan kelecuran itu lebih teruk. Sebaiknya, kita patut berhati-hati semasa melakukan kerja dan elakkan berlaku kemalangan. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.

Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.

Penulis: aqirah

Seorang yang rajin dan gemar untuk kongsikan sesuatu yang bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.