“Redha Allah kepada seorang anak terletak pada redha kedua ibu bapanya“. Anda pernah dengar ungkapan ini? Ini adalah bukti betapa pentingnya seorang anak untuk melayan kedua ibu bapanya dengan baik dan berbakti sehingga ke hujung hayat mereka berdua. Sebagai anak, pastinya anda ingin tahu apakah cara untuk berbakti kepada ibu bapa.

Sebagai anak, pastinya walau apa pun yang kita lakukan takkan dapat membalas jasa yang dilakukan oleh kedua ibu bapa dari kita dilahirkan sehingga kita berjaya menjadi insan yang berguna pada hari ini. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan cara untuk berbakti kepada ibu bapa agar mereka berdua redha dengan kita dan kita layak digelar sebagai anak yang soleh dan solehah yang dijanjikan syurga oleh Allah.

Menurut riwayat Bukhari dan Muslim, berbakti kepada kedua ibu bapa adalah lebih utama berbanding berperang di medan perang.

Ibnu Umar berkata : Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW, “Apakah perbuatan yang disukai oleh Allah?”

Lalu Baginda bersabda, “Solat pada waktunya.”

“Kemudian apa?” tanya saya lagi.

Baginda menjawab, “Berbakti kepada kedua ibu bapa.”

Saya bertanya, “Apa lagi?”

Baginda menjawab, “Berjihad pada jalan Allah.”

Sumber: Iproperty

Jadilah seorang manusia yang berjaya di dunia dan akhirat

Percayalah bahawa sesungguhnya ibu bapa tak mengharapkan kita menjadi seorang yang kaya-raya dengan rumah besar dan kereta mewah. Apa yang mereka inginkan ialah agar kita menjadi seorang insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Apakah yang dimaksudkan dengan berjaya di dunia dan akhirat?

Berjaya di dunia bermaksud kita mempunyai kerjaya yang bagus dan dapat membiayai keluarga dengan secukupnya. Tidak semestinya kita perlu mempunyai kerja yang hebat dengan gaji yang besar untuk digelar seorang yang berjaya. Berjaya di dunia juga bermaksud kita mempunyai keluarga yang bahagia dan hidup yang seimbang di antara kerjaya dan keluarga.

Berjaya di akhirat pula bermakna dalam kesibukan kita mengejar dunia, kita tidak lupa akan saham akhirat. Kita sentiasa ingat bahawa akhirat adalah alam abadi. Kita tidak lupa untuk melakukan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan agama. Kita juga tak lupa untuk membimbing ahli keluarga yang lain agar sama-sama dekat dengan Allah.

Sentiasa mengambil berat dan menunjukkan kasih sayang kepada kedua ibu bapa

Apabila kedua ibu bapa kita meningkat tua, tiada lain yang diharapkan selain kasih sayang dan perhatian daripada anak cucu. Salah satu cara untuk berbakti kepada orang tua ialah dengan cara sentiasa menunjukkan kasih sayang kepada mereka dan mengambil berat akan keadaan kedua-duanya, walau sesibuk mana kita dengan urusan seharian.

Yang sebenarnya tak susah pun untuk menunjukkan kasih sayang kepada kedua ibu bapa. Rajinkan diri untuk menelefon dan bermesej untuk bertanya khabar. Ibu bapa kita akan berasa sangat gembira bila kita ambil berat akan kesihatan mereka, oleh itu jangan lupa untuk bertanya sama ada dah makan ubat atau belum.

Hujung minggu, anda boleh luangkan masa untuk pulang ke rumah kedua ibu bapa. Pastinya mereka akan tersenyum lebar sehingga ke telinga menyambut kepulangan anak cucu tercinta. Perhatikan wajah ibu bapa semasa bermain dengan anak-anak kita, pastinya kita akan rasa puas hati melihat kebahagiaan yang terpancar di wajah mereka. Tak susah pun untuk berbakti kepada kedua ibu bapa, kan?

Layan mereka dengan lemah-lembut dan penuh kasih sayang

Cara berbakti kepada ibu bapa yang seterusnya ialah dengan cara melayan mereka dengan lemah-lembut dan penuh kasih sayang. Orang tua akan menjadi sensitif dan mudah terasa hati. Jiwa mereka mudah terusik. Malah emosi mereka juga kurang stabil, lebih-lebih lagi bagi ibu yang sedang mengalami fasa menopause. Sebagai anak sepatutnya kita faham akan perubahan yang berlaku kepada ibu bapa kita.

Oleh itu hati-hati semasa bergaul dengan ibu bapa. Elakkan daripada berkata-kata akan sesuatu yang boleh mengguris hati dan perasaan mereka. Jika ada perbuatan kita yang boleh menyebabkan mereka terasa, elakkan daripada melakukannya. Layanlah mereka dengan baik seperti mana mereka melayan kita semasa kita kecil satu masa dahulu.

Penuhi hajat dan permintaan kedua ibu bapa

Orang tua kita pastinya mempunyai hajat dan permintaan tersendiri. Disebabkan oleh kekangan usia, mungkin mereka tidak dapat memenuhi keinginan yang dirasai tanpa bantuan anak-anak. Oleh itu, luangkan masa untuk bersembang dengan ibu bapa dan sambil-sambil itu selitkan soalan sekiranya ada apa-apa makanan yang mereka teringin untuk makan atau ada tempat yang mereka teringin untuk pergi.

Tak rugi kalau kita tolong bawakan mereka melawat ke tempat yang dihajati atau belikan makanan yang mereka ingin makan. Manalah tahu kalau itu adalah bakti terakhir kita kepada mereka sebelum mereka menghembuskan nafas yang terakhir. Pastinya kita akan berasa puas hati dan lega kerana sempat memenuhi hajat mereka di penghujung usia.

Mendoakan kedua-duanya

Akhir sekali, kita boleh berbakti kepada kedua ibu bapa dengan cara mendoakan kedua-duanya agar berbahagia di dunia dan akhirat. Sentiasa doakan akan ibu bapa kita dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Doakan agar keduanya dimatikan dalam keadaan baik iaitu Husnul Khotimah. Doakan agar kedua ibu bapa kita dimasukkan ke dalam syurga dan dijauhkan dari api neraka. Doakan juga agar kedua ibu bapa kita dijauhi dari azab kubur yang maha dahsyat.

Doa dari anak yang soleh dan solehah adalah bekalan akhirat ibu bapa kita. Satu hari nanti bila kedua-dua sudah tiada di dunia, teruskan berdoa untuk mereka di sana. Doa yang tidak putus-putus adalah bakti yang tidak terhingga nilainya.

Sumber: Salamtoday

Itulah dia info tentang cara berbakti kepada ibu bapa yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian kami, anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang cara menghormati ibu bapa, peranan ibu bapa, dan gaya asuhan ibu bapa.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.