Tanyalah sesiapa sahaja, pasti ramai akan mengakui bahawa mereka suka melihat orang yang memiliki lesung pipit apabila tersenyum. Sungguh, memang sangat manis, wajah orang yang mempunyai lesung pipit, apatah lagi ketika golongan ini tersenyum ataupun ketawa.

lesung pipit

Imej via vanillakismis

Lagi dalam lesung pipit itu, lagi bertambah manis senyumannya. Begitulah tanggapan kebanyakan orang. Namun, tahukah andam sebenarnya lesung pipit ini adalah suatu jenis kecacatan. Tetapi ia adalah kecacatan yang mencantikkan.

Bagaimana Lesung Pipit Terjadi?

Lesung pipit terjadi akibat dari variasi otot muka yang dipanggil Zygomaticus Major. Sepatutnya otot ini hanya mempunyai struktur tunggal dari tulang zygomatic. Namun, apabila otot wajah ini terbelah dua, ia akan menyebabkan lesung pipit terbentuk. Selain itu, jika zygomaticus lebih pendek dari normal juga, ia akan menyebabkan kulit tertarik dan terbentuklah lekuk pada pipi.

Lesung pipit atau lekuk kecil yang ada di pipi seseorang memang boleh menambah kecantikan atau ketampanan. Tapi tidak semua orang memiliki lesung pipit di wajahnya. Mengikut kajian, hanya 20% daripada populasi dunia yang mempunyai lesung pipit.

Ada orang memiliki lesung pipit yang dalam dan sangat terlihat, sedangkan yang lainnya hanya samar-samar. Fenomena lesung pipit dipengaruhi oleh faktor genetik dan diperlukan gen lesung pipit yang dominan. Jika salah seorang ibu bapa memiliki lesung pipit, maka ada kemungkinan lesung pipit ini akan diturunkan ke generasi berikutnya. Anak-anak yang lahir dari salah seorang ibu bapa dengan lesung pipit akan memiliki kebarangkalian sebanyak 25-50% untuk memiliki lesung pipit juga.

bayi

Imej via Line Today

Walau bagaimanapun, ada juga anak yang memiliki lesung pipit, sedangkan ibu bapanya tiada lesung pipit. Hal ini berlaku disebabkan oleh faktor ‘Gene Skip Generation’. Ini kerana, banyak gen yang tidak diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Sebaliknya, ia berlaku secara berselang-seli. Jika keadaan ini terjadi, ia bermakna, keturunan anda sebelum ini ada yang mempunyai lesung pipit. Walaupun ibu bapa anda tiada lesung pipit, mungkin datuk nenek atau moyang anda memilikinya. Jadi, anda seorang yang bertuah kerana mewarisi gen tersebut.

Menurut Dr Joel Pessa, seorang ahli bedah plastik di University of Texas Health Science Center dalam majalah NCTimes, Rabu (29/12/2010) yang diterbitkan jurnal Clinical Anatomy tahun 1998, menyatakan bahawa lesung pipit disebabkan oleh kecacatan dari otot zygomaticus utama. Ketika seseorang tersenyum atau bercakap, maka ada daya tarik dari kulit yang membuat lesung pipit muncul akibat efek penarikan kulit tersebut.

Hal ini diketahui setelah peneliti membedah anatomi wajah 50 mayat yang memiliki lesung pipit. Lesung pipit umumnya tidak nampak ketika seseorang sedang diam, kerana otot pipi tersebut tidak mengalami penarikan atau dalam posisi diam. Namun begitu, tidak semua orang yang memilki lesung pipit secara kekal.

Ada sesetengah orang yang hanya memiliki lesung pipit ketika masih bayi atau kanak-kanak. Apabila sudah dewasa, lesung pipit tersebut hilang, seiring proses pertumbuhan dan pembentukan sempurna yang dialami oleh otot Zygomaticus Major.

Jenis Lesung Pipit

1) Lesung Pipit di Pipi

senyum

Imej via siraplimau

Lesung pipit di pipi adalah kebiasaan jenis lesung pipit yang kita tahu. Dan seperti yang telah dinyatakan di atas, lesung pipit ini terjadi kerana kecacatan pada otot wajah (Zygomaticus Major) terbelah dua.

Malah ada juga beberapa kes, otot zygomaticus ini lebih pendek daripada biasa. Oleh sebab itu, ia menyebabkan kulit tertarik dan terbentuklah lekuk pada pipi.

2) Lesung Pipit di Dagu

siti nurhaliza

Imej via tribunnews

Kebiasaannya kita tidak sebut lesung pipit di dagu. Tetapi kita mengistilahkannya sebagai dagu terbelah. Hal ini terjadi kerana pembentukan tulang rahang yang tidak sempurna di bahagian kiri dan kanan ketika masih dalam kandungan. Lekukan pada dagu ini juga dikatakan terjadi atas faktor keturunan seperti mana kejadian lesung pipit di pipi.

3) Lesung Pipit di Punggung

Lesung pipit di punggung juga dikenal sebagai Sacral Dimple. Ia terdapat di sekitar atas belahan punggung atau di sekitar bahagian saraf tunjang berhampiran tulang punggung.

Lesung pipit jenis ini selalu dilihat pada bayi. Lekukan kecil ini tidak membahayakan. Malah, hal ini juga jarang berlaku. Namun, sekiranya lekukan tersebut terlalu besar dan dalam, anda dinasihatkan agar berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut kerana bimbang berlaku kecacatan pada saraf tunjang.

Fakta Berkenaan Lesung Pipit

1) Hanya 20% Populasi Dunia Memiliki Lesung Pipit

Mengikut statistik yang dilaporkan dalam The Daily Health Gene, hanya 20% manusia di dunia memilki lesung pipit.

2) Ramai Yang Tertarik Dengannya

Kajian American Journal of Physical Antropology mendapati lesung pipit merupakan nilai tambah yang menjadi daya penarik bagi seseorang. Anda tidak perlu menata rias wajah anda berlebih-lebihan, cukup sekadar anda senyum dengan lekukan lesung pipit di pipi, ia sudah membuatkan anda kelihatan menarik di mata orang lain.

3) Ramai Selebriti Menjadi Lebih Popular

Laman Time For Healthy Food melaporkan lebih 60% bintang Hollywood memiliki lesung pipit dan ia membantu mereka menjadi lebih popular. Sehinggakan, ada yang sanggup melakukan pembedahan semata-mata untuk membuat lesung pipit jadian.

Kesimpulan

Walaupun lesung pipit adalah suatu kecacatan, tetapi ia juga adalah satu anugerah yang Allah kurniakan kepada sebahagian manusia. Oleh itu, bersyukurlah kepada Allah swt, tidak kiralah sama ada anda memilki lesung pipit ataupun tidak. Ini kerana, semua ciptaan Allah swt, adalah cantik belaka.

Rujukan:

  1. Scriter News
  2. Kelab mama

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Lesung Pipit yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

 

 

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.