Nak tahu cara buat telur dadar gebu? Bila penyakit malas datang menyapa, lauk paling mudah disediakan ialah telur dadar. Makan dengan nasi putih lawan kicap dengan hirisan cili padi dan bawang merah. Sudah cukup buat kita makan bertambah.

Penulis sangat yakin kebanyakan pembaca menggemari telur dadar. Ia bukan sahaja enak dimakan dengan nasi putih, malahan juga dengan mi dan nasi goreng. Penyediaan yang pantas dan mudah membuatkan telur dadar menjadi pilihan utama jika kesuntukan masa.

Namun begitu, perasan tak telur dadar yang kita buat biasanya nipis, agak kering dan keras. Berbeza pula dengan yang dibeli di restoran. Ianya lebih gebu, lembut dan tebal. Apakah ada rahsia tertentu yang kita tak tahu?

Tips Telur Dadar Gebu dan Sedap

telur dadar
Imej Via Bidadari

Hasil kajian yang dilakukan oleh penulis, akhirnya berjaya mendapat beberapa tips yang berguna. Lepas mencuba tips ini, pasti anda akan berjaya membuat telur dadar yang gebu dan sedap. Jom semak!

  • Menggunakan telur yang segar

Untuk mendapatkan telur dadar yang gebu, anda mestilah menggunakan telur yang segar. Telur yang segar pastinya tidak akan bercampur di dalam. Bahagian kuning telurnya terpisah dengan yang putih. Malah, lebih baik lagi jika guna telur gred A.

  • Godak telur lebih lama

Telur yang telah dipecahkan perlu dipukul menggunakan garpu sehingga betul-betul kembang. Macam mana nak tahu telur tersebut telah kembang? Apabila digodak dengan lebih lama, ia akan menghasilkan permukaan yang berbuih.

  • Tapis telur yang digodak

Telur yang telah dipukul sehingga kembang perlu ditapis menggunakan penapis. Tujuannya untuk membuang kotoran dan buih-buih yang terhasil. Kemudian, anda boleh memasukkan bahan-bahan yang lain.

  • Tambah susu segar atau susu cair
telur dadar
Imej Via Bidadari

Selepas telur ditapis, masukkan sedikit susu segar atau susu cair. Jangan terlalu banyak, cukuplah sebanyak 3 hingga 4 sudu besar untuk 5 biji telur.

  • Masukkan krim masakan atau yogurt

Jika anda mempunyai stok krim masakan (cooking cream) atau yogurt asli di rumah, anda juga boleh memasukkannya sedikit. Fungsinya sama seperti susu untuk melembutkan lagi telur dadar. Anda tidak perlu memasukkan kesemuanya, pilih salah satu sahaja.

  • Tambah mayonis

Jika tiada susu, krim masakan atau yogurt, anda boleh menambah sedikit mayonis pada bancuhan telur. Mayonis mempunyai kandungan utama seperti telur, minyak, air dan cuka. Ini akan membuatkan telur dadar anda lebih gebu dan sedap.

  • Masukkan air

Anda juga boleh menambah sedikit air ke dalam telur sebelum dipukul sehingga kembang.

  • Tambah perahan jus limau

Tahukah anda asid sitrik yang terdapat di dalam limau dan lemon mampu menggebukan telur dadar? Caranya ialah setelah telur digodak sehingga kembang, perahkan sedikit jus limau. Jangan lupa tambahkan sedikit garam.

  • Campurkan sedikit tepung

Untuk mendapatkan telur dadar yang mempunyai tekstur seakan-akan lempeng, anda boleh menggunakan sedikit tepung. Tepung yang boleh digunakan ialah tepung gandum atau tepung ubi.

  • Tambah susu tepung

Ambil sesudu besar susu tepung dan campurkan ke dalam 2 sudu besar air suam. Kacau sebati dan kemudiannya tuang ke dalam bancuhan telur. Hasilnya telur dadar bukan sahaja gebu tetapi juga lemak rasanya.

  • Tambah hirisan keju
telur dadar
Imej Via Bidadari

Jika ada kepingan keju cheddar di rumah, masukkan ke dalam adunan telur. Caranya ialah potong kepingan keju kecil-kecil dan campurkan ke dalam telur sebelum digoreng. Untuk rasa yang lebih sedap, anda boleh menggunakan keju jenis krim (cream cheese).

  • Masukkan serbuk penaik

Jika anda nak telur dadar yang tebal dan naik tinggi, anda boleh tambahkan sedikit baking powder. Ia menjadikan telur dadar bukan sahaja cantik tetapi juga enak.

  • Goreng telur dengan mentega atau marjerin

Selain minyak masak untuk menggoreng telur, anda boleh menggunakan mentega atau marjerin. Jika menggunakan marjerin atau mentega jenis bergaram (salted butter), anda boleh mengurangkan penggunaan garam di dalam bancuhan telur.

Namun, penggunaan mentega asli (pure butter) lebih enak dan gebu. Baunya juga lebih wangi dan menyelerakan.

  • Goreng telur dengan minyak sapi

Selain minyak masak, marjerin dan mentega, anda juga boleh menggunakan minyak sapi untuk menggoreng telur dadar. Jika anda peminat minyak sapi, pasti anda akan suka tips ini. Baunya sahaja sudah cukup membuka selera.

  • Pastikan minyak betul-betul panas

Sebelum menggoreng telur, pastikan minyak benar-benar panas. Tidak perlu menggunakan api yang terlalu tinggi. Memadai minyak sudah panas.

  • Teknik pukul telur

Biasanya kita akan memecahkan telur ke dalam bekas tanpa mengasingkan bahagian kuning dan putihnya. Namun, teknik memukul telur secara asing selalu dipraktikkan oleh masyarakt barat untuk menghasilkan telur dadar yang gebu.

Caranya ialah asingkan putih telur dan kuning tanpa sedikit pun bercampur antara satu sama lain. Kuning telur perlulah dipukul sehingga kembang dan berbuih sahaja. Manakala, putih telur perlu dipukul sehingga bertanduk umpama meringue (soft peak).

Kemudian, campurkan kedua-dua telur tersebut dengan cara kaup balik sahaja. Tidak perlu dipukul semula. Selepas itu, anda boleh masukkan bahan-bahan lain yang digemari. Masak di atas kuali non stick dengan sedikit minyak.

  • Teknik menuang bancuhan telur

Apa kata anda cuba teknik menggoreng dengan cara yang betul. Setelah minyak panas, tuangkan telur dari jarak yang tinggi (ala-ala buat teh tarik). Kemudian, api dikecilkan sedikit dan tunggu sehingga bahagian bawah masak sepenuhnya sebelum diterbalikkan.

Wah, banyaknya tips membuat telur dadar yang gebu dan sedap! Sebenarnya tidaklah susah untuk membuatnya. Anda hanya tidak tahu teknik yang betul. Lepas baca artikel ini, cuba buat telur dadar untuk ahli keluarga anda.

Pasti mereka akan kagum dan memuji telur dadar yang anda buat serupa di restoran. Paling penting, pastikan telur yang digunakan benar-benar segar dan dipukul dengan lama. Biarkan bancuhan telur menjadi kembang. Kemudian, anda boleh masukkan apa sahaja yang anda suka.

Jangan lupa mencuba

Rujukan

6 Petua Nak Buat Telur Dadar Gebu (link)

Rahsia Telur Dadar Jadi, Gebu, Lembut & Moist (link)

7 Tips & Rahsia Goreng Telur yang Sedap. Macam di Restoran (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.