Ayuh ketahui kisah dan sumbangan Umar al-Khattab kepada Islam.

Nama sebenarnya ialah, Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Riyah bin Qurt bin Razah bin Adi bin Ka’ab bin Lu’ai al-Quraisy, yang berketurunan suku kaum Adi (Suku Kaum Quraisy).

Bapanya iaitu al-Khattab, merupakan seorang tokoh  dari bani Adi yang disegani dalam kalangan masyarakat Mekah. Ibunya iaitu Khanthamah, merupakan anak perempuan Hisham bin al-Mughira, iaitu seorang tokoh yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat Quraisy.

Umar al-Khattab dilahirkan pada tahun 584M, 13 tahun dari tahun Fiel (setelah peristiwa Gajah) iaitu 13 tahun selepas kelahiran Rasullullah SAW. Dipercayai Umar al-Khattab mempunyai tubuh  badan yang tinggi sasa dan tegap, dan terkenal sebagai seorang yang gagah dan garang.  Selain  itu beliau juga mempunyai  keberanian dan ketegasan yang menonjol sehingga tidak ada sesiapa mampu menyainginya.

Beliau juga mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan kepahlawan yang handal selain tergolong dalam golongan yang bijak dan disegani di kota Mekah. Selain berkemahiran dan hebat berperang, beliau juga seorang penunggang dan penjinak kuda yang baik, selain seorang peniaga yang berjaya ketika itu.

Umar al-Khattab akhirnya memeluk Islam dan menjadi orang kuat dalam perjuangan dakwah Rasulullah SAW, sehingga diberi sebagai ‘al-Farouk’ (yang dapat membezakan antara benar dan batil. Bahkan selepas kewafatan Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattablah yang menjadi khalifah kedua umat Islam dan menggunakan gelaran ‘Amirul mukminin’ untuk pertama kalinya.

Umar al-Khattab Memeluk Islam

Ketika Nabi Muhammad SAW, mula menyebarkan Islam di Mekah, Umar al-Khattab merupakan orang yang paling kuat menentang. Beliau begitu bersungguh menghalang perjalanan dakwah Rasulullah sehingga bertindak untuk membunuh Baginda.

Beliau bahkan kuat mempertahankan tradisi budaya dan amalan menyembah berhala dalam kalangan bangsa Arab ketika itu. Sehinggakan suatu hari Umar al-Khattab berfikir bahawa kedatangan Islam telah memecah belahkan masyarakat Arab Quraisy ketika itu, lalu bertindak untuk membunuh Nabi Muhammad SAW yang dipercayai menjadi dalangnya.

Sewaktu dalam perjalanan ke rumah Rasulullah, Umar al-Khattab telah terjumpa dengan Nuaim dan menyatakan hasratnya untuk mencari dan membunuh Baginda. Mendengarkan niat itu,  Nuaim memberitahu bahawa adik Umar al-Khattab sendiri telah pun memeluk Islam, malah lebih baik beliau mengambil kisah hal keluarganya terlebih dahulu.

Tujuan Nuaim adalah untuk menyelamatkan Rasulullah SAW. Sebaik sahaja mendengarkan kata-kata Nuaim itu, Umar al-Khattab menjadi sangat terkejut dan marah. Amarahnya begitu berapi, lalu segera ke rumah adiknya.

Sampai sahaja di rumah adiknya, Umar al-Khattab terdengar adiknya mengalunkan surah Taha.  Berlaku kekecohoan, sehinggga beliau menampar adiknya sehingga terjatuh. Melihat adiknya berdarah, beliau lantas tersedar lalu meminta al-Quran yang dibaca adiknya tadi.

Adik Umar al-Khattab menegah kerana beliau tidak berwuduk ketika itu. Lalu Umar al-Khattab minta diajarkannya berwuduk, kemudian beliau mengamati surah yang dibacakan adiknya tadi. Tidak semena-mena, air matanya mengalir deras;

“Kata-kata ini bukannya kata-kata biasa, tetapi sesungguhnya datang daripada tuhan. Aku bersaksi bahawa Muhammad itu persuruh Allah.”

 Umar al-Khattab akhirnya mengucapkan syahadah dengan lancar dan fasih sekali.

Lalu Umar al-Khattab segera menuju ke rumah Nabi Muhammad SAW, bukan untuk membunuh Baginda tetapi untuk menyatakan keislamannya.  Ternyata doa Rasulullah  SAW telah diterima oleh Allah SWT. Umur Umar al-Khattab ketika itu ialah 27 tahun, dan di tahun ke-6 kenabian Rasulullah SAW.

Umar al-Khattab Sebagai Khalifah Islam Yang Kedua

Sewaktu Abu Bakar as-Siddiq jatuh sakit selama 15 hari, beliau berasakan harus mencari pengantinya. Beliau bimbang jika setelah ketiadaannya akan berlaku pertelingkahan dalam mencari penganti.

Abu Bakar as-Siddiq berasakan Umar al-Khattab adalah pengantinya yang terbaik. Lalu beliau mengumpulkan beberapa para sahabat yang antaranya; Abdul Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan daripada kaum Muhajirin dan Asid bin Khudair dari kaum Ansar.

Abdul Rahman bin Auf mengingatkan mengenai sikap Umar al-Khattab yang keras. Namun, Abu Bakar as-Siddiq menyakinkannya bahawa Umar al-Khattab pasti bersikap lembut apabila memerintah. Lalu semua sahabat setuju dengan pemilihan itu.

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq meminta supaya berita itu tidak dihebahkan dahulu kepada umum serta memerintahkan Uthman bin Affan menulis perlantikan Umar al-Khattab bagi mengantikannya kelak.

Apabila Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia, Umar bin al-Khattab dilantik sebagai khalifah yang kedua  secara rasminya dan dibaiah dalam Masjid Nabawi.

Sumbangan Umar al-Khattab

Selepas memeluk Islam, Umar al-Khattab menjadi seorang mukmim yang benar-benar mentaati agama dan Rasul-Nya, bahkan ini turut mempengaruhi pemerintahannya sebagai seorang khalifah umat Islam ketika itu.

Dalam setiap tindakan dan keputusannya merupakan hal terbaik dan memberi sumbangan yang sangat besar terhadap agama dan umat Islam ketika itu. Terdapat banyak pembaharuan yang dilakukan beliau yang menambaikkan kedudukan Islam dan umatnya, antaranya;

        Politik dan Pentadbiran

#1. Pembahagian Wilayah Islam

  • Membahagi wilayah Islam kepada beberapa bahagian untuk memudahkan pentadbiran.
  • Mewujudkan jawatan amir atau gabenor di setiap jajahan.
  • Melantik pegawai, setiausaha dan ketua jabatan.
  • Setiap gabenor yang dilantik mestilah membuat perjanjian iaitu; tidak boleh menaiki kuda mewah, tidak boleh memakai pakaian yang mahal, tidak boleh memakan tepung yang diayak dan berjanji akan sentiasa membuka pintu untuk rakyat.
  • Pegawai yang dilantik akan diperiksa harta dan keperibadian untuk mengelak berlaku salah guna kuasa.

#2.Membentuk Majlis Syura

Majlis syura yang merupakan lembaga perundangan negara yang tertinggi. Majlis ini  juga berfungsi sebagai;

  1. Menentukan polisi negara.
  2. Menentukan hal berkaitan pemerintahan dan hubungan luar.
  3. Menetapkan perkaitan pentadbiran negara.
  4. Membincangkan masalah politik, sosial dan keselamatan negara.

#3. Pentadbiran Tanah

  • Tanah-tanah awam dijadikan tanah kerajaan dan hasilnya digunakan sebagai pembiayaan negara.
  • Tentera ataupun umat Islam tidak lagi dibenarkan untuk mengambil tanah dari jajahan kecuali melalui cara pembelian.
  • Tanah-tanah dikenakan cukai dan tidak lagi dirampas.
  • Pembahagian tanah umat Islam kepada dua jenis, iaitu;
  1. Tanah Safawi :Tanah yang bertuan yang ditadbir oleh pemegang amanah. Tanah ini tidak boleh dibeli atau dimilik oleh sesiapapun.
  2. Tanah Dhimah : Tanah yang bertuan dan dijaga oleh pemiliknya.

#4. Mengasas Takwim Hijrah

  • Umar al-Khattab telah menetapkan kalendar hijrah sebagai kalendar rasmi umat Islam. Iaitu dengan menjadikan tahun Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah sebagai perkiraan kelendar hijrah tersebut.

#5. Mengasas al-Diwan

  • Al-Diwan merupakan daftar ataupun buku catatan yang mencatatkan nama tentera, keluarga mereka serta jumlah sara hidup masing-masing

        Sosial

#1. Menaik Taraf Kedudukan Golongan Hamba

  • Umar al-Khattab mensyaratkan golongan hamba tidak boleh ditindas serta dalam perkara-perkara tertentu, taraf golongan hamba akan disamakan dengan tuannya.
  • Golongan hamba dibenarkan menjalani hidup seperti orang yang bebas.
  • Kebajikan golongan hamba tetap terjaga seperti golongan bebas.
  • Hamba-hamba yang berkeluarga juga tidak boleh dipisahkan.
  • Hamba yang terdiri daripada golongan ibu tidak boleh dijual sewenang-wenangnya.

#2. Menubuhkan Jabatan Aduan

  • Ditubuhkan sebuah jabatan khas untuk menyiasat setiap aduan kepada gabenor. Ini bagi memberi perkhidmatan yang menyeluruh kepada rakyat.

        Pendidikan

  • Menyediakan guru-guru yang mengajar al-Quran di setiap daerah seluruh negara.
  • Golongan guru ini dibayar gaji lumayan dan diberi keistimewaan lain.
  • Banyak sekolah ditubuhkan untuk mengajar al-Quran.
  • Memperbanyak masjid, dan dijadikan pusat pengajian ilmu agama dan al-Quran.
  • Setiap penduduk digalakkan menghafaz al-Quran dan mendapat penghargaan daripada khalifah.
  • Semasa menjadi khalifah, Umar al-Khattab juga juga sentiasa menggalakkan umat Islam untuk mendalami ilmu-ilmu lain seperti tauhid, tasawuf, fekah dan ilmu dunia lainnya.
  • Menggalakkan ilmu pertahanan diri, ataupun ilmu peperangan kepada penduduk. Antaranya; bermain pedang memanah dan menunggang kuda.
  • Mewajibkan setiap ahli masyarakat mengetahui dan memahami asas perundangan Islam.

         Ketenteraan

  • Mewajibkan setiap tentera mengamalkan ajaran Islam, antaranya mensyaratkan solat lima waktu berjemaah.
  • Menubuhkan sebuah jabatan tentera.
  • Membina pusat ketenteraan di kota-kota utama. Seperti di Madinah, Kufah dan Basrah.
  • Mewujudkan pasukan tentera tetap dan tentera sukarela.
  • Setiap askar yang berkhidmat untuk negara akan dibayar upah.
  • Setiap tentera mempunyai rekod.
  • Mengasaskan latihan untuk pasukan askar.
  • Membina kubu-kubu keselamatan.
  • Semasa pemerintahannya, tentera Islam menjadi tentera paling cemerlang sehingga berjaya meluaskan empayar Islam, antaranya; Iraq, Iran, Armenia, Azerbaijan, Jordan, Georgia, Syria, Palestine, Lebanon, Israel, Mesir, dan sebahagian daripada Afghanistan.
  • Dipercayai lebih daripada 4,050 buah kota telah jatuh ke tangan tentera Islam ketika itu.

          Perundangan dan Kehakiman

  • Prinsip perundangan dan kehakiman yang berlandaskan Islam.
  • Memisahkan jabatan kehakiman dengan jabatan lain bagi memastikan keadilan.
  • Menentukan syarat pemilihan kadi dan hakim seperti, berilmu pengetahuan.
  • Hakim dan kadi dibayar gaji yang bersesuaian.

         Ekonomi

#1. Menambahbaik Baitulmal

  • Baitulmal memudahkan pengurusan harta dan sumber kewangan kerajaan seperti zakat, jizyah, ghanimmah, kharaj dan usyur.
  • Menyimpan semua rekod perbelanjaan dan kewangan negara.
  • Semasa pemerintahannya, sistem baitulmal berada pada tahap yang paling cemerlang.

#2. Memajukan Pertanian

  • Membina tali air, empangan dan terusan.
  • Menggunakan tanah-tanah terbiar sebagai tanah pertanian untuk penduduk.
  • Rakyat digalak membuka tanah baru untuk meluaskan pertanian.
  • Mengubah sistem pungutan cukai yang terdahulu yang membebankan dan tidak adil kepada petani.
  • Memperkenal cukai baru berdasarkan jenis tanaman dan kesuburan tanah.
  • Banyak membuat kajian utnuk tanaman baru yang bersesuaian dengan jenis tanah.

Kematian Seorang Umar al-Khattab

Umar  al-Khattab meninggal dunia pada tahun 644, iaitu pada akhir bulan Zulhijjah tahun 23H ketika berusia 63 tahun. Beliau telah dibunuh dengan ditikam oleh Abu Lu’lu’ah sebanyak enam kali ketika sedang mendirikan solat subuh. Beliau dimakamkan berhampiran makam Rasulullah SAW.

Penutup: Umar al-Khattab, dari seorang penentang menjadi seorang pejuang.

Walaupun Umar al-Khattab sebelum pengislamannya adalah penentang utama dakwah Rasulullah SAW, tetapi setelah memeluk Islam beliau menjadi pembela pertama Islam, sehinggakan sedikit sebanyak perkembanagn Islam ketika itu turut dipengaruhi oleh kekuatan dan keberanian Umar al-Khattab.

Apatah lagi setelah beliau memegang tampok pemerintahan umat Islam dan memegang jawatan khalifah, Islam semakin kuat dan tersebar luas.

Ternyata Umar al-Khattab bukan sahaja seorang sahabat, serta mukmin yang setia tetapi merupakan pemimpin berwibawa yang sangat didambakan oleh umat Islam. Bahkan sehingga kini tokoh seperti Umar al-Khattab masih belum berganti. Semoga akan muncul pemimpin  persis Umar al-Khatab suatu hari nanti demi mengembalikan kegemilangan Islam, Amiin.

 

Jika anda sukakan artikel ini, kami pasti anda akan menyukai artikel  Kisah Baju Raya Anak Saidina Umar al-Khattab  ini juga.

 

Rujukan:

 

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.